Bantah Kenyataan Nazri Dan Keputusan Kabinet

Saturday, April 25, 2009

Lebih 100 NGO-NGO Islam mengeluarkan kenyataan bersama membantah kenyataan Dato’ Seri Nazri Abdul Aziz dan keputusan kabinet dalam kes Mohd Ridhuan Abdullah lwn M. Indra Ghandi. Satu sidang akhbar telah diadakan di pejabat Persatuan Peguam Syar’ie Malaysia pagi tadi. Berikut adalah kenyataan media bersama mereka:

Isu ini bermula daripada sebuah konflik keluarga yang menyaksikan sebuah keluarga telah terpecah. Dalam situasi sebegitu, kami berpandangan bahawa kepentingan, hak dan kebajikan semua pihak iaitu anak-anak, ibu dan bapa perlu diambil-berat dan diutamakan. Kes seumpama ini menjadi lebih kompleks kerana ia turut melibatkan elemen pertukaran agama yang terkait dengan soal isu pertukaran agama, bidangkuasa berkaitan Islam dan Mahkamah Syariah.
Kami menegaskan apa-apa cadangan perubahan yang berkaitan mesti mengambil-kira undang-undang yang sedia ada dan pandangan semua pihak yang berkenaan. Proses ini harus melibatkan perbincangan yang menyeluruh dan lengkap serta tidak terlalu reaktif kepada tekanan mana-mana pihak. Jika tidak, ada dibimbangi keputusan atau cadangan perubahan yang dikemukakan akan tetap gagal berlaku adil kepada semua pihak yang terlibat. Sebagai contohnya, kami tidak bersetuju dengan keputusan kabinet yang menetapkan agama anak-anak adalah berdasarkan agama asal perkahwinan kerana ini akan menafikan hak pihak yang memeluk Islam.

Mengambil kira sensitiviti yang tinggi berkaitan dengan kes-kes seumpaman ini, kami menyeru semua pihak untuk menangani isu ini secara bersama dan saksama. Kami pertubuhan-pertubuhan Islam sekali lagi menyatakan kesediaan kami untuk turut terlibat dalam proses ini. Untuk keterangan lanjut sila layari blog http:/membelaislam.wordpress.com

Shah Alam

jam 3.59 pagi

Berlindung di sebalik...

Friday, April 24, 2009

Dengan menaiki kenderaan saya dan isteri saya melalui beberapa buah bangunan mencari tempat yang ada menawar perkhimatan urut. Saya sebenarnya kurang berminat untuk berurut,lebih-lebih sekarang ini badan sudah semakin menguncup. Tersilap sentuh berkecai tulang dari badan. Makanya saya memilih urutan secara reflexology di mana urutannya tertumpu kepada kedua telapak kaki sahaja. Rupanya berdekatan dengan taman perumahan tempat saya tinggal tidak kurang daripada empat pusat reflexology. Tempatnya begitu cantik, kemas tersusun atur. Setiba sahaja saya di pintu masuk salah sebuah bangunan tersebut seorang gadis penyambut tetamu yang sedang duduk di depan kaunter, bangun berdiri, mengalu-alukan kedatangan saya dan isteri dengan senyum simpulnya, kemudian menerangkan perkhimatan urutan reflexology yang disediakan dengan kadar bayaran yang tertentu. Setelah persetujuan dibuat maka saya pun dipersilakan masuk ke dalam dewan mengurut. Alangkah terperanjatnya saya, saya fikir tukang urutnya lelaki, rupanya seorang gadis cina dari negeri cina yang tidak tahu berbahasa Malaysia dan juga tidak tahu berbahasa Inggeris.

Sedang dia menyediakan alat-alat untuk mengurut seperti bekas air, towel dan lain-lain lagi, saya pangggil pelayan kaunter dan bertanya kepadanya, apakah yang mengurut saya nanti si gadis tersebut? Jawabnya, Ya. Terserentak saya dengan jawapan tersebut lalu mengucap, Astaghfirullah! Saya minta gadis tersebut menyediakan tukang urut lelaki. Dia kata tak ada tukang urut lelaki. Kalau perlu juga dia boleh buat temu janji dengan tukang urut lelaki tersebut. Setelah membuat temu janji dengan tukang urut lelaki ini, maka tertunailah niat saya untuk diurut secara reflexology. Tiga hari saya berulang alek ke pusat tersebut. Nampaknya cara mengurutnya tidak memuaskan hati saya. Lalu saya bagitahu jiran saya apa yang berlaku ke atas diri saya, lalu dia mencadangkan ada suatu tempat yang agak baik kerana dia dan isterinya pernah berurut di tempat yang dicadangkannya itu. Dia pun telepon dan buat temujanji.

Masuk sahaja ke dalam bangunan tersebut, saya dan isteri semakin terpegun dengan indahnya ruang tamu seperti hotel bertaraf tiga bintang. Sejurus sahaja sampai saya terus dibawa masuk ke dalam bilek urut dan tukang urutnya lelaki. Tentunya hal ini telah dimaklumkan oleh sahabat saya ketika membuat temujanji. Saya kagum sekali lagi, begitu selesa kerusi tempat berurut. Lebih cantik dari pusat urut sebelum ini. Cara mengurutnya pun lebih baik dari tempat sebelum ini tapi bayarannya agak mahal, satu jam hamir RM80.00.

Saya beria-ia sangat nak berurut secara reflexology ini atas galakan kedua-dua orang anak saya kerana mereka berdua dah kerap kali berurut secara reflexology dan mereka mendapati ada kesan agaknya. Anak saya yang tua, sejurus baru sampai dari KL pada penghujung bulan Mac 09 dan mendapat tahu saya sudah mula berjinak-jinak dengan reflexology, dia terus membawa saya ke tempat yang terkenal di bandar sekalipun jam telah menunjuk 11 malam. Seperti biasa tukang urut saya seorang lelaki. Setelah hampir 15 minit saya diurut, datanglah empat orang lelaki berbual-bual dengan penyambut tetamu di kaunter. Mereka tak kenal saya dan saya pun tak mengenali mereka. Dari perbualan mereka dalam bahasa inggeris saya dapat menggagak mereka bukan orang tempatan. Tempat saya berurut dengan kaunter pelayan tamu berdekatan. Dari perbualan mereka saya faham mereka minta diurut secara pakej. Apa yang dimaksudkan dengan istilah pakej yang mereka gunakan itu, wallauaklam, saya tidak faham dan nampaknya mereka dah macam pelanggan tetap di situ. Tidak menampakkan kekekokan mereka. Kemudian mereka masuk di bilek khas masing-masing dengan diiringi oleh gadis seramai empat orang sambil tersengih-senggih. Tempat saya berurut terdedah, bukan dalam bilek khas dan tertutup. Biasanya ada empat lima buah kerusi urut. Dan kebetulan waktu saya berurut ditempat sebelum ini dan yang sekarang ini pun saya seorang diri-tidak ada pelanggan lain. Alhamdulillah.

Minggu kedua bulan April 09 setelah saya berada di Shah Alam saya diajak pula oleh anak saya yang tua pergi reflexology di HARTAMAS, tempat anak saya tinggal. Isteri saya ikut sama tetapi tidak berurut, hanya duduk beristirehat di tempat duduk khas yang di sediakan. Di sini tempatnya santai, satu floor sahaja. Tukang urutnya ada uniformn khas. Tempatnya terdedah. Cara mengurut lebih baik dari tempat-tempat yang tersebut di atas. Bayarannya lebih mahal.

Ibrah

Setelah lima kali berurut secara reflexology, Allah belum mengizinkan sakit saya sembuh di mana kedua-dua bahagian paha hingga kedua-dua bahagian betis saya masih rasa tegang/otot terasa keras. Kesannya bila melangkah agak berat sedikit, jalan pun menjadi perlahan. Kencing manis, darah tinggi dan cholestrol semuanya terkawal. Begitu juga bahagian jantong. Yang kurang pada saya ialah senaman sekalipun ringan. Jika sekiranya di antara anda yang ada pengalaman atau tahu pengubatannya sila hubungi saya dengan email awangpon@hotmailcom.

Saya bercadang tidak mengunjungi lagi pusat reflexology seumpama itu. Kalau nak pergi pun mungkin ke tukang urut reflexology di kaki lima. Selain daripada bayarannya murah, tukang urutnya pastinya seorang lelaki seperti yang pernah kita tonton melalui kaca TV. Juga ia dilakukan di khalayak ramai dan sudah pasti ia tidak menimbulkan sebarang fitnah. Walau bagaimanapun saya mendapatinya ada ibrah dan hikmah daripada pengalaman tersebut di atas di mana sebelum ini. Kerajaan telah mengambil tindakan tegas dengan menutup beberapa buah pusat seperti ini yang berselindung dengan nama pusat rawatan kesihatan dan seumpamanya lantaran menyalahgunakan permis dan permit kebenaran yang dikeluarkan untuk tujuan maksiat.

Saya sebelum berurut, sempat juga menjengok-jengok beberapa buah bilik-bilik lain-bilik khas untuk seorang pelanggan sahaja. Dari segi pandangan mata kasar selain daripada pakaian tukang urut perempuan yang memakai pakaian serba pendek, bilik tempat mengurutnya memang memudahkan berlakunya mukaddimah zina (bunga-bunga zina). Sesetengah bangunan tersebut ada yang menyediakan apartment dan hotel. Bisa sahaja, kata orang Indonesia urut mengurut lebih daripada reflexology boleh berlaku di sini.

Cuba anda bayangkan bagaimana keadaan empat orang lelaki muslim yang saya ceritakan di atas tadi jika di urut oleh permpuan yang halal nikah dengannya ditempat yang tertutup dapat mengilak diri daripada perbuatan yang terkutuk itu kalau sudah orang ketiga Syaitan mencelah duduk disamping mereka. Sudah pasti di mana Allah? Di mana maruah Islam di hadapan orang bukan muslim. Di mana kepercayaan yang diberikan oleh seorang isteri, sudah pasti semunya dilupakan. Makanya selain daripada berdakwah kepada mereka yang lalai, bukan sahaja kerana hal yang tersebut sahaja malah dalam hal-hal yang lain juga pihak kerajaan perlu konsisten; mempastikan persekitaran maksiat dan mungkarat dihapuskan, agar tidak menghambat dan menjejaskan usaha dakwah. Peranan amar makruf nahi mungkar hendaklah serentak dilaksanakan. Bukan hanya makruf sahaja digalakkan, sedangkan pintu maksiat dibuka seluas-luasnya. Mana mungkin masalah denggi dapat dihapuskan dengan sekadar penyamburan asap anti denggi kalau punca merebaknya nyamuk denggi tidak bersihkan.

Jadi, anda jangan mudah terpedaya oleh keindahan yang bersifat luaran sahaja. Perlu berhati-hati. Banyak perkara yang berselindung di sebalik nama itu dan ini tetapi ada udang di sebalik mee. Cara mengesannya ialah dengan memantapkan sifat takwa kerana sifat takwa itu semacam radar yang boleh mengesan. Firman Allah yang mafhumnya, "Hai orang yang beriman, jika kamu bertakwa kepada Allah, nescaya Dia akan memberi kepadamu furqan/petunjuk yang dapat membedakan antara yang hak dan batil (S:al-Anfal:8:29). Insya Allah dengan izin Allah banyak lagi perkara yang berselindung di sebalik itu dan ini akan menjadi bahan Dewan Syura akan datang.

Wallahu aklam.

Shah Alam 24.4.09

Di mana Allah?

Tuesday, April 21, 2009

Bergambar kenangan pada 4.3.07 bersama-sama dgn
Pro. Datuk Dr Sidek Fadhil, sdra Hj Abd Rahim dan sdra Abd.Rahman
ketika mereka bersilaturrahim ke rumah saya.


Dr. As-Sayyid Muhammmad Nuh dalam bukunya Taujihat Nabawiyah ala’ ath-Thariq ada menceritakan tentang kisah seorang guru, Abu Al-Qasim Al-Junaid dengan murid-muridnya yang mana beliau cuba hendak menguji sejauh mana keyakinan mereka tentang perasaan selalu diawasi oleh Allah swt.

Besoknya Abu Al-Qasim memberitahu murid-muridnya supaya pergi ke padang sahrak yang sunyi sepi. Guru meminta murid-muridnya masing-masing membawa anak seekor burung. Dan burung tersebut hendaklah disembelih di mana-mana sahaja tempat asalkan tiada dilihat oleh sesiapapun. Selepas burung tersebut disembelih mereka masing-masing diminta menyerahkannya untuk dimasak dan dimakan bersama-sama.

Mereka pun berangkat ke tempat yang telah ditetapkan. Pada keesokan harinya murid-murid Abu Qasim pun datang dan membawa bersama-sama mereka anak burung yang telah disembelih seperti yang telah diperintah oleh guru mereka; Abu Al-Qasim kecuali seorang muridnya yang datang dengan anak burung yang masih hidup-tidak disembelihnya, lalu gurunya pun bertanya kepadanya; Kenapa tidak disembelih burung tersebut seperti yang diperintah?. "Mana mungkin saya dapat menyembelih tanpa diketahui oleh sesiapa pun. Ketika saya hendak menyembelih burung ini, Zat Allah tetap bersama saya. Ketika saya naik ke bahagian atas rumah saya, saya dapati Zat Allah Yang Maha Esa bersama saya. Dan jika saya pergi ke tempat yang kosong, saya dapati juga Zat Yang Maha Esa juga bersama saya.” Mendengar jawapan muridnya tersebut si guru pun bertanya kepada muridnya itu; "Siapakah yang dimaksudkan dengan zat itu? Si murid tersebut menjawab dengan tegas, "Allah”. Tanpa berlengah-lengah murid tersebut dipeluk erat-erat oleh gurunya, sambil berkata kepadanya ”Engkau benar, wahai anakku”

Cerita yang sama juga pernah diriwayatkan oleh Abdullah bin Dinar bahawa pada satu hari dia berjalan dengan Khalifah Umar Ibn al-Khattab RA dari Medinah menuju ke Mekah. Di tengah perjalanan mereka berjumpa dengan seorang anak gembala, yang sedang turun dari tempat pengembalaan kambing-kambing yang banyak. Khalifah ingin menguji sampai di mana anak gembala itu bersifat amanah. Antara keduanya terjadi percakapan sebagai berikut:

Khalifah: Wahai pengembala, juallah kepadaku seekor anak kambing ternakan mu ini.
Pengembala: Aku ini hanya seorang budak/hamba.
Khalifah: Katakanlah saja nanti kepada tuanmu, anak kambing itu telah dimakan serigala.
Pengembala berkata: Fa inalllah? "Kalau begitu di mana Allah”. Amat pendek jawapannya, Fa inallah. Di mana Allah.’. Mendengar jawapan tersebut bercucuranlah air mata Khalifah Umar RA lantaran terharu. Lalu Khalifah pun pergi bersama-sama pengembala itu menjumpai yang empunya ternak itu. Ditebuskannya kemerdekaan anak pengembala itu dan lalu berkata, ”Dengan kalimah ini Fa inallah telah memerdekakan kamu di dunia ini. Semuga kalimah ini pula akan memerdekakan kamu di akhirat kelak”.

Bagi Khalifah Allah dan bagi anggota jemaah muslimin di kala itu umumnya pertanyaan yang sependek itu sudah cukup untuk menggerakkan dhamir/hati, meremangkan bulu roma. Fa inallah? Itu sudah cukup memancing ingatan mereka kepada bunyi jawapan seperti termaktub dalam surah al-Hadid:4 yang mafhumnya ” …..Dan dia (Allah) berserta kamu di mana pun kamu berada. Dan melihat apa yang kamu perbuat.” (sumber;Fikqud-dakwah).

Ibrah dari kisah yang tersebut di atas.

Ibrah dari kisah yang tersebut di atas tiada lain melainkan menunjukkan kepada kita betapa pentingnya keyakinan yang bulat tentang Ilmu Allah yang tiada sempadan dan batasan. Allah yang tidak mengantuk dan tidak tidur pula. Allah mengetahui apa-apa yang dihadapan kita dan di belakang kita. Tahu sahaja tentang adanya Allah, dan luasnya ilmu Allah. Tahu sahaja tentang adanya alam akhirat dan hari pembalasan. Tahu sahaja tentang akibat dari pelanggaran larangan Allah dan tahu sahaja tentang kebaikan hukum hakam Allah tetapi tidak meyakininya dengan sepenuh hati tidak akan menjadi benteng dari sifat-sifat mazmumah.

Untuk mengetahui sama ada kita yakin atau sebaliknya, menurut Abu Akla al-Maududi mudah sahaja, iaitu beliau memberi contoh dengan mengemukan soalan. Kenapa kita tidak membiarkan kanak-kanak kanak kecil bermain pisau. Kerana kita yakin pada kebiasaannya pisau itu akan melukakan. Kalau begitu bagaimana tahap keyakinan kita terhadap Allah dan ajaran-ajaran yang dibawa oleh Rasulullah saw?

Jadi, untuk menumbuhkan perasaan selalu diawasi oleh Allah swt, maka kita perlu

1. YAKIN Allah Tahu apa sahaja yang kita lakukan ketika sendirian atau bersama-sama orang lain.

2. Yakin apa sahaja yang kita lakukan akan dicatat oleh Malaikat Raqib dan Atid dan kita akan menerima pembalasannya di alam akhirat nanti. Bagaimana caranya untuk mencapai keyakinan itu?. Wallahu aklam.

Shah Alam

Berita bergambar

Sunday, April 19, 2009

Alhamdulillah dengan digagahkan semangat saya dengan ditemani anakanda Hafiz dapat melawat pameran buku antarabangsa pada 17hb April 09 yang diadakan di PWTC. Lorong jalan di antara kedai buku terlalu sempit, silap-silap bergesel bahu kerana ramainya pengunjung. Keadaan ini sudah pasti kuang menyenangkan. Diharap pihak penganjur pada masa hadapan dapat mengadakannya ditempat yang lebih luas lagi. Selain daripada itu disediakan peta setiap kedai buku bagi memudahkan pengunjung terus pergi ke kedai buku yang terpilih sahaja supaya menjimatkan masa. Kepada pemilik-pemilik kedai buku kemudahan kaunter bayaran perlu diperbanyakkan agar masa tidak terbuang kerana lineup urusan pembayaran. Saya sempat berkunjung ke beberapa buah kedai buku sahaja disebabkan masa banyak terbuang kerana berhimpit-himpit .

Sempat melawat ke kedai buku Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam. Dalam gambar, saya dan Awang Hj Yakob, Ketua Pegawai Perhubungan Awam.

Singgah di kedai PTS dan sempat bergambar bersama-sama dengan penulis Dr. Danial zainal Abidin.

Gambar di bawah, gambar kenangan dengan Doktor Farid Mohd Shahrudin dan sdra Azril Mohd Amin sebelah kiri saya dan sdra. Afham sebelah kanan saya ketika mereka bersilaturrahim ke rumah saya bulan Mac 09.


Sesi perbincangan pengunjong dengan penulis terkenal tanahair. Di antara mereka ialah saudara Abdul Kadir Yasin