Hukum Orang Kafir Membaca Al-Quran

Friday, April 17, 2009

Berkaitan isu ini, Ustaz Azmi Ahmad berpendapat ulama-ulama silam dalam fatwa mereka lebih terbuka dan berpandangan jauh, berbanding sesetengah golongan yang mendakwa kononnya mereka bertamadun (hadari) tetapi sebenarnya jumud fikiran. Mereka sepatutnya menampilkan islam kepada orang bukan islam dengan gaya yang ramah, bukan dengan nada yang marah. Mendekatkan mereka kepada islam bukan menjauhkan mereka daripada islam.

Ustaz Azmi Ahmad memetik beberapa pendapat ulama-ulama silam yang bermazhab Syafii berkenaan hukum orang kafir membaca al-Quran. Fatwa-fatwa mereka ini boleh dimanfaatkan untuk bertujuan dakwah terhadap non-muslim pada masa kini.

Syeikh Muhammad al-Khatib al-Syarbini menjelaskan: “Adapun orang kafir, maka dia tidak ditegah daripada membaca al-Quran, kerana dia tidak beriktikad tentang haramnya perbuatan demikian, sebagaimana kata al-Mawardi” (Mughni al-Muhtaj, jilid 1 halam 72) Pengarang kitab I’ana al-Talibin telah memetik keterangan dari kitab Busyra al-Karim seperti berikut: “Maka tidak ditegah orang kafir daripada membaca al-Quran, jika dia tidak bersikap menentang dan diharap dia akan memeluk islam” (I’anah al-Talibin, jilid 1 halaman 85)

Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari berkata: “dan hanyasanya ditegah kafir daripada menyentuh mashaf kerana haram menyentuh dia itu terlebih muakkad dengan dalil haram menanggung dia serta hadas dan haram menyentuh ia dengan najis bersalahan dengan membaca Quran kerana harus membaca dia serta hadas dan harus membaca dengan mulut yang kena najis” (Sabil al-Muhtadin, jilid 1, halaman 112)

Syeikh Daud al-Fatani berkata: “dan keluar dengan kata muslim orang kafir maka jangan ditegahkan dia daripada membaca Quran kerana tiada iktikad akan haramnya tetapi jika kita harap akan islamnya” (Bughyah al-Tullab, jilid 1, halaman 49)

Dicatat oleh DRS. KHALIL IDHAM LIM di 7:18 AM

Sekalung Tahniah


Sekalung Tahniah
Kepada Y.B. Mejar Jeneral
Dato’ Jamil Khir bin Hj Baharon(B)
di atas perlantikan sebagai Menteri di JPM

Insya Allah dengan kerjasama yang irat dari Staff Jakim yang sedia ada di samping memanfa’atkan tenaga pakar dari para Mufti, Para Ilmuan di Pusat-Pusat Pangajian Tinggi Awam dan Swasta, YB akan berjaya dalam kerjaya YB. Seperkara yang amat penting, harap tidak terlepas pandang program khusus Tarbiah Ruhiyah yang disampaikan oleh ulamak yang bebas, untuk ahli-ahli kabinet yang beragama Islam dan Pegawai-Pegawai Tinggi Kerajaan kerana mereka pembuat dasar supaya Negara Malaysia mengikut Acuan Islam dan sekaligus menjadi Negara Malaysia Negara Baldatun Thaiyibatun WaRabbun Ghafur.

Sikap Keterbukaan

Gambar hiasan Feb 07 bersama dgn Mantan
Mufti Wilayah Persekutuan
Prof. Datuk Hj Md Hashim Hj Yahya

No More ‘Government knows best

Keterbukaan salah satu sifat tawadhuk yang perlu dimiliki oleh setiap Muslim. Orang yang bersikap keterbukaan bersedia mendengar apa jua pandangan dan buah fikiran dari sesiapa juapun, samada dari mereka yang lebih muda darinya, atau sebaliknya samada dari kawan, maupun lawan, samada ianya dari mereka yang berjawatan tinggi atau sebaliknya, kemudian dia pula bersedia melaksanakannya. Lawan kepada sikap terbuka ialah sikap tertutup dengan alasan dia "Tahu Segala-galanya”.

Akibatnya dia akan menutup pintu perbincangan. Kalau pun ada perbincangan ia tidak lebih sekadar untuk mengesahkan fikirannya dan pendiriannya. Penyertaan orang lain dalam perbincangan tidak lebih sekadar mengangguk kepala dan menjadi orang tukang angguk/Yes Man. Seandainya sikap ini dimiliki oleh seorang pemimpin ia menjadi seorang pemimpin yang diktator. Cepat melenting bila ditegur. Percanggahan pendapat biarpun betul akan ditolak. Lawannya dianggap musuh dan akan dilanyak, secara halus maupun secara kasar.

Puncanya dia tahu segala-galanya. Dengan kata lain dia takabbur kerana dia tahu segala-galanya sehingga tertutup segala kebenaran. Mereka yang tidak terbuka mindanya sama dengan hati orang Kafir yang telah dikritik oleh Allah swt apabila mereka enggan menerima kebenaran. Firman Allah yang mafhumnya: (Dan mereka berkata:Hati Kami Tertutup. Tetapi sebenarnya Allah telah mengutuk mereka kerana keingkaran mereka;maka sedikit sekali mereka yang beriman) S:al-Baqarah:2:88.

Setinggi mana melangitnya ilmu seseorang dan kepakaranya, dia tidak boleh menepok dada apatah lagi dengan dakwaannya dia tahu segala-galanya. Sebenarnya ilmu yang Allah kurniakan kepadanya terlalu sedikit. Bagi orang yang tawadhuk semakin khazanah ilmu digalinya semakin terasa cetek ilmunya. Benarlah firman Allah swt dalam S:al-Kahf:(18:109) yang mafhumnya: Katakanlah: “Sekiranya lautan menjadi alat untuk menulis kalimat-kalimat Tuhanku, sungguh habislah lautan itu sebelum habis (ditulis) kalimat-kalimat Tuhanku, meskipun Kami datangkan tambahan sebanyak itu (pula). Dan firman Alllah lagi dalam S:al-Israa:17:85 yang mafhumnya: “Dan tidaklah kamu diberi pengetahuan melainkan sedikit”

Siapalah kita kalau dibandingkan dengan Nabi Musa a.s dari segi maqamnya dan dari ilmunya yang sanggup belajar dengan Khaidir dengan penuh minat dan sanggup bersabar dalam pencarian ilmu itu. Cerita Nabi Musa dan Khaidir termaktub dalam surah al-Kahfi:18:66-82. Demikian juga siapa tak kenal dengan ketokohan Imam Abu Hanifah yang terkenal seentero dunia dan mempunyai pengikut seluruh dunia dan menjadi rujukan kepada alam sejagat, bersedia menerima ilmu dan pembetulan dari seorang tukang pencukur rambut bagi Jemaah Haji yang hendak bertahallul. Begitu juga dengan kisah Khalifah Saidina Uthman RA yang hampir hendak menjatuhkan hukuman ke atas seorang lelaki yang didakwa berzina dengan seorang perempuan dengan dakwaan bahawa air mani yang melekat pada bajunya itu adalah air mani yang tertuduh tetapi keputusan Saidina Uthman RA itu dibantah oleh Saidina Ali KW di mana menurut Saidina Ali air mani itu kena uji dahulu. Mana tahu ianya suatu fitnah yang sengaja dilemparkan perempuan itu terhadap pemuda tersebut. Untuk meringkaskan ceritanya, setelah air panas yang mendidih itu dicurah ke atas ayer mani pemuda tersebut, menurut dakwaan perempuan tersebut, ternyata ia beku dan berwarna putih. Jelas, air itu bukan ayer mani, sebaliknya ia putih telur. Jika air itu air mani pemuda tersebut tentu ia akan hilang begitu sahaja. Ternyata pendapat Saidina Ali KW tepat. Di sini membuktikan Jawatan Khalifah Saidina Uthman RA tidak menghalang sikap keterbukaan beliau menerima teguran dan pandangan Saidina Ali KW.

Sikap keterbukaan ini ada dinyatakan oleh Allah swt dalam firmannya, melalui surah:az-Zumar39:18 yang mafhumnya: "Yang mendengarkan perkataan lalu mengikuti apa yang paling baik di antaranya. Mereka itulah orang-orang telah diberi Allah petunjuk dan mereka itulah orang-orang yang mempunyai akal”.

Dari penjelasan ayat yang tersebut di atas jelas menunjukkan sikap keterbukaan ada kaitan dengan iman dan sesiapa yang memiliki sifat tersebut dia dianggap orang yang berakal budi dan mendapat petunjuk dan hidayah daripada Allah swt kerana dia bersedia mendengar ucapan Al-Qawl dari Allah swt, juga dari Sabda Rasulullah saw dan juga pendapat sesama manusia, kemduian dia berusaha memahaminya apa yang didengarinya itu dengan baik dan teliti, lalu kemudian mengikuti mana yang terbaik.

Kesimpulannya; Sikap keterbukaan, sikap orang yang bijaksana kerana dia Tahu dia tak tahu segala-galanya. Yang tahu segala-galanya adalah sifat mutlak bagi Allah swt. Dalam kitab-kitab Tauhid ungkapan orang bijaksana yang berbunyi : ”Man ’arafa nafsahu,’arafa rabbahu”. Ertinya Barang siapa yang TAHU DIRINYA MAKA DIA AKAN TAHU TUHANNYA”’ sering kita temui. Orang yang tahu dirinya serba kekurangan dan keterbatasan membuatkan dirinya selalu merendah diri dan bersedia menerima pandangan, teguran dan kebenaran dari sesiapa sahaja dengan berlapang dada. Tidak ego dengan ilmu dan jawatan yang disandang sehingga membuatnya tuli, bisu dan pekak dengan kebenaran yang disampaikan kepadanya. Apakah ucapan Perdana Menteri Malaysia yang ke enam No More ‘Goverment Knows Best keluar dari hati yang tulus ikhlas.. Kalau benar apa yang dikata syukur Alhamdulillah.

Surat Kepada YB Nga Kor Ming

Sunday, April 12, 2009

YB Encik Nga Kor Ming
EXCO Kerajaan Negeri Perak
Pejabat EXCO Negeri Perak
30000 Ipoh
PERAK DARUL RIDZUAN.

Menemui YB Encik Nga dengan ucapan salam sejahtera

Yang Berhormat,

Alhamdulillah, dengan izin Allah, saya telah mengikuti isu di sekitar percubaan YB untuk mengenali Islam melalui pembacaan Ayat-Ayat Al-Quran dengan tekun. Saya juga terharu mendengar keluhan YB yang berbunyi “saya berasa amat kesal apabila masyarakat Tionghua yang cuba mengenali Islam dan Al-Quran melalui kitab berkenaan, tiba-tiba dihalang.”

Saya boleh memahami dan menyelami perasaan kecewa yang sedang melanda hati YB. Mudah-mudahan dengan sikap “tidak mesra Umno” dan pemimpin-pemimpin Umno tentang kecenderungan masyarakat Tionghua dan India yang sihat ini, ia akan meningkatkan lagi kesedaran Non-Islam untuk lebih mengkaji, mendalami dan mengadakan forum serta wacana mengenai Islam dengan cara yang lebih meluas.

Saya mempunyai sebuah impian. Dalam tempoh tidak berapa lama lagi mudah-mudahan akan muncul lebih ramai orang dari kalangan masyarakat Tionghua, India, Siam, Bajau dan Kadazan yang tampil menjadi Qari, Ustaz, Khatib dan Imam di seluruh negara. Kalau Jenghiz Khan yang mengetuai tentera Moghul menyerang dan memusnahkan hampir seluruh Kerajaan dan tamadun Islam di Kota Baghdad, tetapi sempat ditebus semula keagungan Islam melalui cucunya yang bernama Aurangzeb yang menegakkan empayar Islam di India kemudiannya. Maka saya mempunyai keyakinan yang kuat bahawa Islam akan kembali gemilang di negara kita melalui kaedah dan insiden yang hampir sama. Mudah-mudahan YB lah orangnya yang akan meletakkan batu asas pertama ke arah menyusun batu bata yang kukuh ini untuk terus bertumpang tindih.

Mari kita bina asas ini dengan mengatur langkah-langkah permulaan melalui seminar, muzakarah, muqabalah, dialog dan wacana. Tajuk-tajuk seperti “di mana tak kenanya Islam” atau “apa mesej al-Quran kepada orang bukan Islam” bolehlah difikirkan. Anggota panel boleh terdiri daripada tokoh-tokoh PAS, Umno, DAP, PKR dan pemimpin-pemimpin NGO, pensyarah serta pendakwah bebas. Ia boleh dijadikan sesi kuliah bersiri yang boleh dianjurkan di PWTC, di masjid-masjid, surau-surau, kuil-kuil dewan-dewan perhimpunan, di universiti-universiti, baik di IPTS atau IPTA.

Sekali lagi saya mengucapkan syukur kepada Allah S.W.T di atas kekuatan dan keberanian yang ada pada YB. Terus tekun dan beristiqamahlah dalam mengharungi ujian-ujian ini. Insya Allah saya seakan-akan sedang melihat sekerdip lilin yang bercahaya di hujung sana. Marilah kita sama-sama ke sana.
*MEMBANGUN BERSAMA ISLAM*


(TUAN GURU DATO’ HAJI NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT)
Menteri Besar Kelantan
Merangkap
Mursyidul Am PAS