Cerita Gajah Dengan Orang Buta

Tuesday, March 31, 2009

Saya percaya anda pernah mendengar cerita yang tersebut di atas sebagaimana saya pernah mendengarnya ketika saya masih kecil lagi meskipun tanpa mengetahui pengajarannya. Kali ini saya jadikannya bahan blog, bukan berniat untuk menga’ibkan mereka yang cacat penglihatan, malah kita tabik dengan kempulan ini kerana hati mereka tetap celik, malah ada di antara mereka yang telah berjaya sampai ke menara gading dan mengusai bidang-bidang disiplin ilmu-ilmu yang tertentu. Di antara golongan yang menjadi bahan bakar api nereka dan lebih hina kedudukannya dari binatang ialah golongan yang celik penglihatan dan sebagainya. Firman Allah yang mafhumnya: "Dan sesunguhnya Kami jadikan untuk isi neraka Jahannam kebanyakan dari Jin dan Manusia, mereka mempunyai hati, tetapi tidak dipergunakannya untuk memahami ayat-ayat Allah dan mereka mempunyai mata tetapi tidak dipergunakannya untuk melihat tanda-tanda kekuasaan Allah, dan mereka mempunyai telinga tetapi tidak dipergunakannya untuk mendengar ayat-ayat Allah. Mereka itu sebagai ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi. Merek itulah orang yang lalai” (S:ala’araf:7;179) Jadi, ianya saya jadikan bahan bacaan ringan sesuai dengan kekangan masa yang ada pada anda. Cerita orang buta dengan seekor gajah seperti berikut:

Orang Buta pertama menyentuh badan gajah, lalu beranggapan gajah seperti tembok. Kemudian orang buta yang kedua pula berpendapat gajah bukan seperti tembok, sebaliknya ia seperti tombak sebab dia menyentoh gadingnya. Lalu orang buta yang ketiga pula berpendapat, gajah bukan seperti tembok dan bukan juga seperti tombak. Ia sepeti seekor ular, sebab dia menyentuh belalainya. Orang buta yang keempat memegang kaki gajah, lalu dia beranggapan gajah sebenarnya tak ubah seperti sebatang pokok. Orang buta yang kelima pula tidak sependapat dengan fahaman orang-orang buta sebelumnya. Menurut dia memang sah gajah seperti sebuah kipas, sebab dia menyentuh kupingnya. Lalu orang buta yang keenam dengan tegas berpendapat; gajah adalah seutas tali kerana dia memegang ekornya.

Bebagai-bagai persepsi, tanggapan dan pemahaman dari cerita tersebut boleh dibuat tetapi bagi saya, kalau ianya dikaitkan dengan pemahaman segelintir muslim mengenai Islam samalah seperti orang Buta dengan cerita seekor gajah. Sama ada ianya kesan dari penjajahan Barat melalui sistem pendidikan warisan yang mereka warisi sehingga menyebabkan mereka tidak jelas konsep Islam atau kerana sebab-sebab yang lain. Salah faham terhadap Islam panjang lebar disentuh oleh Muhammad Qutub dalam bukunya SYUBHAAT HAULAL ISLAM.

Di antara contoh silap faham dalam memahami Islam ialah memisahkan Islam dari urusan kemasyarakatan, politik, ekonomi, pendidikan dan seumpamanya. Islam hanya menitik berat soal-soal kerohanian/tarikat dan akhlak dalam pengertiannya yang sempit. Seolah-olah dakwah Islamiah hanya berkisar dari sudut ibadah khususiah-tidak lebih daripada itu. Akibat dari itu makanya ada yang tidak berminat mendengar syarahan, ceramah, kuliah, forum yang menyentuh perkara selain daripada fardu ain dan tasauf. Pun demikian juga dari segi tumpuan pelajaran ada yang hanya belajar dalam satu bidang sahaja seperti fiqh, bacaan al-quran, marhaban, mengamalkan tariqat dan lain-lain lagi. Dari segi organisasi ada yang menghad matlamatnya dalam bidang kebajikan sahaja, demikian juga ada organisasi dakwah tumpuannya hanya dari segi fadailul akmal dan lain-lain lagi. Namun demikian minat dalam bidang-bidang tertentu atau sebagai sebuah organisasi tumpuan hanya diberi dalam skop-skop tertentu, tidak menjadi masalah kalau keupayaan terbatas atau ianya dirancang tidak lebih daripada saling lengkap melengkapi dalam rangka perancangan Islam yang menyeluruh.

Mengamalkan Islam secara serpihan-juziyah, bukan kulliah tidak akan dapat menyelesaikan masalah. Ia akan melumpuhkan kekuatan Islam dan sekaligus umat Islam sendiri. Maka jadilah umat Islam seperti kerbau dicucuk hidong. Dalam hal ini mari kita ikuti penjelasan dari Fathi Yakan dalam bukunya ABJADDAIYYAT ATTASAUWUR ALHARAKI LILAMAL ALISLAMI. Dukacita saya tidak dapat menyalin tulisannya itu dengan bahasa arab kerana pc yang saya gunakan ini tidak ada kemudahan tulisan jawi kerana saya sekarang berada diluar kawasan dan menggunakan pc orang. Sebahagian daripada maksudnya ialah mengambil Islam dalam sudut-sudut yang tertentu samalah seperti menceraikan alat yang lengkap dari bahagian-bahagian yang lain dan akibatnya akan tergendalalah pergerakannya.

Apakah nilai tangan, kaki, mulut, telinga atau lain anggota tubuh manusia sekiranya telah putus dan tidak berada ditempatnya. Apakah nilai politik sekiranya ia tidak mengambil tempatnya dan bentuknya yang semestinya. Demikian juga apa nilainya kerja-kerja pendidikan sekiranya ia terpisah dari matlamat dan sistem kerja gerakan Islam untuk perubahan. Nilai semua kerja ini akan tetap kekal dan unggul, manakala pemisahan Islam dari sifatnya yang menyeluruh akan terdedah kepada hakisan dan lenyap dilanda kemusnahan.

Prof Dr Yusuf Qardhawi dalam bukunya ALHILLUL ISLAMI menyeneraikan beberapa perkara yang menghalang kejayaan gerakan Islam. Di antaranya ialah kejahilan massa mengenai Islam. Oleh kerana itu beliau menyeru agar Islam sebagai addin di sebar luas di kalangan massa dan di merata tempat. Ia bukan milik eksklusif ahli gerakan. Manusia akan manjadi musuh kepada perkara yang dia tidak mengetahuinya. Supaya massa tidak manjadi musuh kepada anda dan kepada gerakan Islam sebarkannya dengan berbagai-bagai cara.

Berubah, jika tidak kita rebah

Perkataan yang tersebut di atas, kita dengar baru-baru ini keluar dari mulut pemimpin tertinggi sebuah parti politik di tanah air sebagai peringatan kepada ahli parti supaya perlu berubah untuk kemenangan piliharan raya yang akan datang. Perubahan yang perlu dilakukan menurut pemimpin tersebut ialah perubahan dari segi menentukan pemimpin,membendong masalah politik wang dan mengemaskinikan pendidikan dan pengkadiran poltik untuk anggota. Berbeza dengan perubahan menyeluroh yang dibawa oleh Assyahid Hassan Albanna untuk anggota Ikhwan Muslimin iaitu dengan memperkenalkan Rukun Bai’ah. Bukan sahaja pendokongnya perlu berubah dari segi fikrahnya, malah organisasi dan sistemnya sekali.

Rukun Bai’ah

Yang dimaksudkan dengan rukun ialah salah satu perkara yang mendasari sesuatu binaan atau satu bahagian yang apabila ditinggalkan terbatallah sesuatu amalan seperti rukun solat. Sekiranya salah satu rukun solat tertinggal batallah solat tersebut seperti tertinggal bacaan fatihah dan begitu juga binaan tidak dapat didirkan jika binaan tersebut tanpa tiang dan seumpanya. Manakala bai’ah pula ialah perjanjian untuk memberikan keta’atan tanpa berbelah bagi samaada yang melibatkan harta, tenaga atau jiwa selama mana ia diredhai oleh Allah s.w.t. Dengan kata lain tujuan bai’ah tersebut adalah sebagai pernyataan dan aku janji ta’at setia untuk berjihad di jalan Allah sehinggalah manhaj dan peraturan Allah memimpin kehidupan manusia. Ianya bukan suatu yang direkacipta atau ia suatu pilihan oleh kaum muslilin, sebaliknya ia adalah tuntutan syara’ sebagaimana termaktub dalam surah at-Taubah;111 dan surah al-Fath;18-19.

Apakah perkara yang dibai’ahkan

Ada 10 perkara yang manjadi rukun bai’ah dalam gerakan Islam Ikhwanul muslimin dimana ianya mula ditulis oleh as-Syahid Hassan Albanna dalam tahun 1943 masehi. 10 perkara tersebut seperti berikut;

1. Memahami Islam. 2. Ikhlas kerena Allah swt. 3. Beramal kerana Islam. 4. Berjihad di jalan Allah dengan mengorbankan sepenoh masa,tenaga dan harta sehingga kalimah Allah berada ditempatnya yang paling tinggi. 5. Menta’ati Allah dan Rasul serta semua ulamak kaum muslimin serta pemimpin mereka,selagi tidak pada perkara maksiat. 6. Teguh di atas kebenaran. 7. Berdakwah kepada Allah swt walau bagaimana sekalipun halangan dan dugaan. 8. Menjauhi segala seruan dan penggabungan yang selain daripada seruan kepada Allah swt dan penggabungan dengan agama yang murni ini. 9. Bersaudara kerana Allah swt semasa di atas jalan yang hak. 10. Saling mempercayai antara pemimpin dan pengikut.

Apabila kita melihat urutan nombor rukun bai’ah yang tersebut di atas jelas kepada kita betapa beratnya perhatian almarhum as-Syahid Hassan al-Banna kepada rukun pertama daripada sepuluh rukun tersebut ia itulah rukun faham. Faham yang dimaksudkan di sini ialah kefahaman yang menyeluruh tentang Islam sebagai sistem hidup yang yang syumul, menyeluruh mencakupi seluruh bidang kehidupan. Di bawah rukun faham itu beliau menekankan permasalahan akidah, ibadah, muamalat secara meluas, jika dibandingkan dengan rukun-rukun yang lain kerana ia adalah perkara usul dan asas yang mendasari rukun-rukun bai’ah yang lain. Kemudian beliau perincikan rukun faham itu secara detail sehingga manjadi usul isyriin/usul 20 iaitu Islam adalah; (1) Negara dan tanah air atau kerajan dan umat. (2) Akhlak dan kekuatan atau rahmah dan ke’adilan. (3) Kebudayaan dan undang-undang atau ilmu dan kehakiman.(4) Material dan kekayaan atau hasil usaha dan kecukupan dari segala/sebahagian keperluan. (5) Jihad dan da’awah atau tentera dan fikrah. (6) Sepertimana ia adalah akidah yang sebenar dan ibadah yang sahih, sama sahaja tanpa ada perbezaan.

Kesimpulan yang dibuat oleh Dr. Ali Abdul Halim Mahmud tentang rukun faham iaitu kita hendaklah memahami Islam secara yang sahih dan sempurna sepertimana yang difahami oleh Ahli Sunnah wal Jemaah pada batasan prinsip dan usul dua puluh yang telah ditetapkan oleh as-Syahid Hassan Al-Banna yang telah menghimpunkan di dalamnya semua perkara yang wajib seorang Muslim memahami tentang agamanya. Said Hawa pula dalam bukunya aafaq fi risalah taklimnya pula menyaran agar setiap pendakwah dan pendokong gerakan Islam hendaklah menghadhamkan intipati dari risalah taklim tersebut dan mengamalkannya kerana ia umpama jantong kepada gerakan Islam. Maka tidak peliklah sebelum beliau menjelaskan rukun bai’ah tersebut as-Syahid berpesan dengan katanya: Wahai Ikhwan yang benar, terdapat sepuluh rukun bai’ah hendaklah kamu memeliharanya. Dimaksudkan memelihara sini, oleh Dr Ali Abdul Halim Mahmud ialah setelah ada kesedaran dan kefahaman selepas menghafalnya, lalu membuahkan kefahaman, kemudian beramal dengan tuntutannya iaitulah penyeliaan, pemeliharaan dan pelaksanaan.

Akhir kalam marilah kita sama-sama membetulkan salah faham kita terhadap Islam jika ada, jangan seperti cerita orang buta dengan seekor gajah kalau kita serius untuk melakukan perubahan menyeluruh. Islam tidak akan dapat dibangunkan dengan hanya berteori dan berbangga dengan kegemilangan masa lalu sebaliknya kita perlu bertindak/beramal, sesuai dengan firman Allah swt dalam surah; aT-Taubah: ayat 105.

Kita hendaklah menjadi pemimpin amal di dalam jama’ah dan di dalam ’amal Islami seluruhnya. Wallahu aklam

Ibrah wajah dari wajah gambar

Sunday, March 29, 2009

Gambar adalah sebahagian daripada sejarah yang tidak mungkin dibohongi kebenarannya. Kalau kurang percaya cuba anda ambil albam anda dan buka lambarannya demi lambaran. Pasti anda akan tersenyum simpul tanda gembira terkenang nostalgia di sebalik kisah gambar tersebut. Namun demikian kegembiraan itu rupanya sebentar sahaja bilamana anda melihat betapa jauh bezanya paras dan wajah anda pada masa dahulu dengan keadaan wajah anda pada masa kini. Itulah namanya proses perubahan yang pasti dilalui oleh setiap makhluk yang bergelar manusia. Yang tidak berubah kewujudannya, yang tiada ada permulaan dan tiada ada penghujungnya. Itulah Allah swt. Semua makhluk bermula dengan tiada, kemudian ada, kemudian tiada ada pula. Semuanya akan binasa dan menerima perubahan. Lantaran itu anda jangan cuba berangan-angan hendak kembali kepada keadaan anda seperti sediakala dahulu. Teringat saya ketika belajar nahu dengan tok-tok guru saya di madrasah aljunid Singapura dahulu yang menyuruh saya mengikrab 'LAITAS SYABABA YA’UDU' Ertinya; semuga zaman muda kembali semula”. Yang sudah berlalu tetap berlalu. Makanya terimalah perubahan itu dengan redha kerana ia sunnatullah.

Yang penting bila anda melihat wajah anda melalui gambar tersebut ia dapat menimbulkan kesedaran dan keinsafan; betapa umur itu sendiri adalah hakikat kehidupan diri sebenarnya. Ia menuntut tindakan yang derastik; Apa yang patut dilakukan untuk mengisi umur yang berbaki ini yang diibaratkan seperti matahari yang terbenam perlahan-lahan di waktu senjakala. Sebagai seorang muslim, biarpun sisa umur pada hukum adatnya hanya tinggal sedikit sahaja lagi, ia tidak manjadi masalah. Yang penting manfa’atkan ianya sebaik mungkin. Dalam hal ini Rasulullah saw meninggalkan pesan melalui sabda baginda yang mafhumnya, "Jika sa’at kiamat tiba dan anda sedang menyemai benih tanaman, teruskanlah semaian anda itu.’ Kata Ibnu Umar ra yang mafhumnya, "Apabila Engkau berada di waktu petang maka janganlah menunggu sampai waktu pagi."

Ada sebuah Al-Kisah tentang seorang lelaki yang sudah lanjut usianya sedang menanam pokok kelapa. Ia hanya akan menghasilkan buahnya mengambil beberapa tahun di mana pada perkiraan adat; orang tua tersebut belum sempat merasa hasil tanamannya itu, dia akan menemui ajalnya lebih awal dan anak yang mempusakainya pun tidak ada pula. Apa jawapan orang tua tersebut; "Saya telah pernah memakan kelapa yang ditanam orang, maka saya menanam kelapa ini bukan untuk saya, tetapi kiranya orang akan dapat pula memakan apa yang saya tanam."

Khusus kapada para remaja dan para beliawanis dan siapa sahaja yang sudah hampir ke garis penamat, manfa’atkanlah dua nikmat yang selalu diabaikan oleh kebanyakan manusia iaitu nikmat kesihatan dan masa lapang dengan kegiatan-kegiatan untuk meraih kecemerlangan di dunia di akhirat. Saidina Umar r.a pernah bertanya kapada anak-anak Harima bin Sinam, "Apa yang diberikan Zuhair kapada mu dan apa yang kamu berikan kepadanya?” Mereka manjawab, "Mereka telah memuji kami dan kami memberinya harta benda.” Saidina Umar ra berkata: "Demi Allah, lenyap sudah apa yang kamu berikan kepadanya dan akan tetap lastari apa yang dia berikan kepadamu.” Maksud perkataan Saidina Umar ra bahawa pujian itu akan kekal abadi selamanya.” Itulah maksud yang sebenarnya umur yang panjang. Jadi umur yang panjang bukan diukur dengan tarikh, minggu, bulan dan tahun. Umur yang panjang ialah bilamana nama anda meniti dari bibir ke bibir menjadi sebutan kerana pengorbanan yang anda sumbangkan, sama ada ianya berbentuk fikiran, ilmu dan tulang empat kerat. Contoh yang paling dekat ialah sirah Rasulullah saw dan para sahabat radiallahu anhum. Biarpun Rasulullah saw dan para sahabat telah berabad-abad wafat namun mereka semacam masih hidup bersama-sama dengan kita kerana pengorbanan mereka. Demikian juga para ulamak dan cendikawan yang telah meninggalkan hasil karya masing-masing dan amal bakti mereka, mereka tetap kita kenang, lebih-lebih lagi bila kita membaca hasil karya mereka, seolah-oleh mereka sedang berada di hadapan kita dan sedang berbicara dengan kita. Rasulullah saw bersabda yang mafhumnya: "Sebaik-baik manusia adalah orang panjang usianya dan bagus amal perbuatannya. Seburuk-buruk manusia adalah orang yang panjang umurnya dan buruk amal perbuatannya.” Dengan kata lain, usia lanjut tidak wajar dijadikan alasan untuk anda tidak menyumbang sesuatu demi pembangunan Islam.

Wallahu uklam.