Punca suami mudah jemu

Wednesday, May 6, 2009

Bergambar bersama-sama dgn tiga orang cucu;Mohd Irfan,
Nur 'Adilah dan siti Sarah Amirah ketika berada di Doha Qatar
12 Dec07-3 Jan 09

Jawapan kepada soalan madam x Suami mudah Jemu

Perasaan jemu atau bosan memang perkara lumrah dialami oleh semua orang, baik kaum lelaki maupun kaum wanita samada yang bergelar suami mau pun yang bergelar isteri, pelajar atau guru, pekerja maupun majikan. Jemu bukan sahaja berlaku dalam menguruskan pekerjaan harian malah berlaku juga dalam menunaikan ibadah kepada Allah s.w.t. kalau dilakukan semata-mata ikutan, tanpa iman dan ilmu. Punca dan sebab jemu berbagai-bagai sebab, bergantung dengan tugasan. Jemu seorang pelajar tentu tidak sama dengan jemu yang dialami oleh seorang pekerja. Demikian juga punca seorang suami jemu kepada seorang isteri sudah pasti tidak sama dan tidak semestinya ia dikaitkan dengan tempoh masa, lama atau baru perkahwinan tersebut. Ada pasangan yang baru berkahwin beberapa bulan bercerai-berai, berbanding dengan pasangan yang bertahun-tahun lama mendirikan rumah tangga terus ceria dan bahagia. Sebenarnya ia bergantung kepada kebijaksanaan menguruskan perasaan jemu itu.

Puncanya

Berbalik kepada persoalan anda, kalau suami berasa jemu kepada isterinya apa puncanya. Banyak sebab-sebabnya. Ada yang berpunca dari sejuknya perhubungan kelamin dan ada juga kerana sikap negatif isteri seperti suka melitir, terlalu demand, memandang rendah suami, bersikap kasar, cuai dalam menguruskan rumah tangga, tidak mahir dalam penyediaan makan minum, tidak menghormati keluarga suami dan lain-lain lagi.

Akibatnya.

Akibatnya perasaan cinta dan sayang suami kepada isterinya semakin sehari semakin luntur, bukan semakin sehari semakin sayang dan akhirnya menimbulkan perasaan jemu dan bosan si suami. Akhirnya kalau tidak bijak mengendalikannya menyebabkan perceraian atau si suami akan menjadikannya sebagai alasan untuk berpoligami. Cara mengatasinya si isteri perlu sedia berubah ke arah kebaikan.

2. Dalam hidup berumah tangga kesilapan dan kesalahan tidak dapat dielakkan, sedangkan lidah lagikan tergigit, inikan pula manusia. Bumi mana yang tidak ditimpa hujan. Yang pentingnya suami isteri hendaklah sentiasa berlapang dada, mencari punca masalah dan coba menyelsaikannya,saling bermaafan di antara satu sama lain. Jangan kerana kesilapan kecil boleh menguncang kerukunan rumah tangga sehingga tidak nampak kebaikan yang dilakukan oleh pasangan. Sekiranya si isteri menyedari ia telah melakukan kesilapan hendaklah segera meminta ma’af dan jangan mengulangi nya lagi. Sekiranya kerap kali mengulangi kesalahan tersebut, apatah lagi kesalahan yang dilakukan itu perkara yang besar yang boleh menyentuh maruah dan kesucian agama. Jika membiarkannya ia boleh menjadi dayus, ini yang menyebabkan si suami agak sukar untuk mema’afkan kesalahan si isteri. Kalau kesalahan-kesalahan kecil biasanya si suami sedia mema’afkannya.

Memang ada kerana karenah negatip isteri yang berterus-terusan menjadi sebab suami menggugut malah tanpa ada ugutan pun ada suami yang terus berpoligami tanpa diketahui si isteri.

. Namun demikian poligami tidak menyelsaikan masalah jika tidak diurus dengan bijaksana dan berbekalkan ilmu dan sifat jujur.

Nasihat
Apa nasihat tuan sekiranya ada lelaki yang hendak berpoligami? Jawapan saya:Kepada lelaki yang bergelar suami yang bercadang untuk berpoligami sebaik-baiknya perlu lah memahami dan menghayati surah al-Nisak yang berikut: “Maka kahwinilah wanita-wanita lain yang kamu senangi:dua, tiga atau empat. Kemudian jika kamu takut tidak akan dapat berlaku adil, maka kahwinilah seorang sahaja”(an-Nisak:4:3:). Dari segi ilmu usul fikh perkataan “Kahwinlah” bukanlah suruhan atau perintah yang wajib dilaksanakan dan jika meninggalkannya pula menjadi berdosa dan kahwin poligami juga bukan merupakan perintah sunat di mana kalau ianya ditinggalkan tidak berdosa dan melakukannya dapat pahala kecuali nikah bukan poligami ada ketika hukumnya sunat, wajib ,makruh, haram dan mubah.

Poligami bukan sunnah Nabi mengikut setengah pendapat.

Sandaran bagi mereka yang berpendapat poligami merupakan sunnah Nabi tidak tepat kerana Nabi Muhammad s.a.w. sepanjang tempoh berumah tangga dengan Siti Khadijah r.anha selama 28 tahun tidak pernah pun berpoligami. Kalau sunnah hukumnya sudah pasti Rasulullah saw berpoligami lebih awal lagi. Setelah dua tahun kewafatan Khadiiah r.anha baharulah Nabi berpoligami. Dan perkahwinan Nabi dengan ummahat mukminin (Isteri-isteri yang dipoligami Rasulullah sa.w.) sekitar lapan tahun dari sisa-sisa hidup baginda. Kebanyakan mereka adalah janda, kecuali Aisyah,r.anha. Selain daripada itu, Rasulullah s.a.w berpoligami bukan kerana perkara-perkara remeh temeh dan didorong oleh nafsu sebaliknya kerana menghuraikan dan menyelesaikan persoalan sosial ketika itu. Makanya kahwin poligami bukan merupakan keistimewaan bagi kaum lelaki tetapi ia merupakan tanggungjawab yang berat dan hukumnya bukan perintah/suruhan/anjuran dan bukan sunnah tetapi mubah/harus tetapi dengan syarat mampu berlaku adil. Jika berkahwin juga dalam keadaan tidak mampu, nikah tersebut sah dari segi hukum fikh tetapi ia berdosa jika tidak berlaku adil. Untuk berlaku adil dalam berpoligami adalah perkara yang sukar sebagaimana ditegaskan oleh Allah dengan firmannya yang bermaksud, “Dan kamu sekali-kali tidak akan dapat berlaku adil di antara isteri-isteri kamu walaupun kamu sangat ingin berbuat demikian kerana itu janganlah kamu terlalu cenderung (kepada yang kamu cintai) sehingga kamu biarkan yang lain terkatung-katung:.(S;an-Nisak:4:129). Suami yang tidak berlaku adil akan bergelumang dengan dosa dan di akhirat nanti separuh badannya akan lepas dan terputus, sebagaimana sabda Rasul yang mafhumnya, “Barang siapa yang mengawini dua perempuan, sedangkan ia tidak berlaku adil kepada keduanya, pada hari akhirat nanti separuh tubuhnya akan lepas dan terputus.”

Di antara syarat berpoligami dan akibat daripadanya jika tidak berlaku adil.

1. Sebelum berpoligami pastikan terlebih dahulu sama ada anda berupaya dari segi mental, emosi dan berlaku adil dari segi penyediaan makan minum,tempat tinggal isteri yang sedia ada, isteri yang bakal dimadu, belanja perubatan, giliran bermalam, pendidikan anak-anak dan sebagainya. Kalau tidak yakin atau anda ragu-ragu tidak akan dapat berlaku adil, fikir dua kali sebelum meneruskan cadangan berpoligami sekalipun anda melepasi syarat-syarat berpoligami seperti isteri anda mandul, berpenyakitan yang tidak membolehkan anda melakukan perhubongan kelamin dan sebagainya namun syarat keadilan tetap wajib. Kalau diteruskan juga hasrat anda itu sedang anda tidak mampu berlaku adil, maka dikhuwatiri anda akan bergelumang dengan dosa setiap hari sekalipun anda orang yang ta’at mendirikan solat dan seumpamanya.

2. Boleh menimbulkan perasaan curiga-mencurigai, hasad dengki di kalangan isteri-isteri yang dimadu. Demikian juga ia akan mempengaruhi perkembangan anak-anak juga.

3. Boleh menjejaskan ekonomi rumah tangga kerana terpaksa menanggung nafkah keluarga yang sedia ada dan isteri yang dimadu dan anak-anak yang bakal lahir.

4. Lumrahnya kehidupan berpoligami tidak ada keharmonian dan ketenangan dan akibatnya akan menjejaskan pertumbuhan minda dan pembelajaran anak-anak kerana sering berhadapan dengan karenah-karenah yang negatif yang dipertontonkan oleh ibubapa sehingga menyebabkan anak tidak berasa aman tinggal dirumah.

Pengalaman mereka yang berpoligami.

Saya pernah bertanya kepada mereka yang telah dan sedang berpoligami yang muda atau yang sudah berumur tentang pengalaman mereka berpoligami.Malah ada di antara sahabat-sahabat saya yang berkahwin poligami di atas persetujuan isterinya,malah isterinya meminang bakal isteri yang kedua. Jawapan mereka, sesiapa yang hendak berpoligami kena fikir dua kali. Bagi mereka sukar untuk mendapat kemanisan dalam bermadu samada ia berpunca dari pihak si suami atau isteri-isteri yang dimadu . Banyak cabarannya sama ada dari segi kewangan, mental, emosi, layanan dan sebagainya. Demikian juga saya dapati ada golongan yang berpoligami bukan kerana alasan syarie sebaliknya kerana terpengaruh oleh unsur-unsur kebendaan seperti kecantikan luaran, pergaualan bebas, nafsu yang tidak terurus dan sudah terlanjur; kata P.Ramlee, “Makan dahulu baharu baca doa selamat”

Dengan kata lain kalau hendak berpoligami fikir dahulu samada sumber kewangan anda kukuh dan kuat, pendidikan anak-anak yang sedia ada sudah beres atau sebaliknya. Kena maklumkan kepada isteri tentang cadangan anda hendak berpoligami. Alasan-alasan untuk berpoligami mestilah berdasarkan syarak dan sebagainya. Kalau belum bersedia carilah jalan untuk menghindarkan diri dari berpoligami. Kalau ada masalah dari pihak isteri yang tidak menyenangkan perlu diselesaikan dan isteri pula hendaklah sedia berubah. Kalau diteruskan juga niat tersebut ia tidak akan menyelesaikan masalah malah ia akan mengundang masalah baru sama ada dengan isteri yang sedia ada atau dengan isteri baru. Apatah lagi kalau berpoligami secara sulit tanpa kebenaran dari mahkamah ia telah melakukan kesalahan jenayah dan boleh di ambil tindakan di bawah undang-undang jenayah syariah. Selain daripada perkahwinan tersebut, kalau tidak didaftar ia tidak sah dari segi undang-undang keluarga Islam. Perkahwinan itu hanya dianggap sah dari segi undang-undang setelah didaftarkan dan setelah pasangan menjalani hukuman denda. Kalau perkahwinan tersebut tidak didaftarkan dan berlaku perceraian atau sebaliknya pihak isteri yang baru dikahwin tidak berhak mendapat haknya sebagai seorang isteri dan hak nafkah anak kalau si suami mengabaikan tanggungjawabnya apatah lagi kalau ia diceraikan sebelum perkahwinan belum didaftarkan maka si isteri tidak berhak mendapat hak nafkahnya samada harta sepencarian atau hak-hak yang lain. seperti nafkah iddah atau nafkah anak. Begitu juga kelahiran anak sukar untuk didaftar di Jabatan Pendaftaran Negara dan lain-lain lagi kerana perkahwinan itu dianggap tidak sah di bawah undang-undang keluarga Islam. Seorang wanita yang dipujuk-pujuk oleh seorang lelaki yang bergelar suami untuk menjadikannya isterinya yang kedua dan pernikahan tersebut dijalankan secara sulit atau nikah keluar negeri tanpa kebenaran mahkamah berfikirlah dua kali supaya tidak menyesal di belakang hari nanti. Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya kecualilah anda kenal hati budinya dan rumahtangganya yang sedia ada terurus dan terpimpin.

Di bawah sebahagian dari petikan undang-undang poligami di seluruh Malaysia.

1. Apabila menerima permohonan itu, Mahkamah hendaklah memanggil pemohon dan isteri atau isteri-isteri yang sedia ada supaya hadir apabila permohonan itu didengar, yang hendaklah dilakukan dalam mahkamah tertutup, dan Mahkamah boleh memberi kebenaran yang dipohon itu jika berpuas hati-

a. bahawa perkahwinan yang dicadangkan itu adalah patut dan perlu, memandangkan kepada antara lain, hal-hal keadaan yang berikut, iaitu, kemandulan, keuzuran jasmani, tidak layak dari segi jasmani untuk persetubuhan, sengaja engkar mematuhi perintah untuk pemulihan hak-hak persetubuhan, atau gila di pihak isteri atau isteri-isteri yang sedia ada.

b. Bahawa pemohon mempunyai kemampuan yang membolehkan dia menanggung, sebagaimana dikehendaki oleh hukum syarak, semua isteri dan orang tanggungannya, termasuk orang-orang yang akan menjadi orang-orang tanggungannya berikutan dengan perkahwinan yang di cadangkan itu.

c. Bahawa pemohon akan berupaya memberi layanan sama rata kepada semua isterinya mengikut kehendak hukum syarak dan

d. Bahawa perkahwinan yang dicadangkan itu tidak akan menyebabkan darar syarie kepada isteri atau isteri-isteri yang sedia ada.

Dari penjelasan secara ringkas dan tidak tersusun itu harap sekurang-kurangnya dapat menjawab pertanyaan anda. Wallahu’alam.

Peristiwa I May 1968

Monday, May 4, 2009

Perasmian Kongress Melayu setimur tengah di Mesir buat pertama kalinya.
Perasmian berlansung di markaz parti sosialis Arab kerana itu saya direkod sebagai penganut faham sosialis.
Masya Allah. Kongres berlansung pada 15-22 bulan?70. Saya duduk sebelah kanan sekaili.
Di tengah Encik Aziz setiuasaha 1 wakil Kedutaan Malaysia,Kaherah. Lain-lain wakil parti dan wakil
University Alazhar.Kertas kerja yang dibincangkan ialah; Pentingnya Bank Islam di Malaysia,
Mencipta Perpaduan dan Keharmonian Rakyat Malaysia,Pembentukkan Moral Rakyat
Malaysia dan Peranan Mahasiswa Melayu Timur Tengah.

Sewaktu belajar di Mesir dahulu saya pernah tinggal setahun setengah di Madinah Bu’uth surghra iaitu asrama khusus untuk menempatkan pelajar-pelajar pemegang biasiswa Universiti Al-azhar dari seluruh dunia. Bilangan penghuninya tidak kurang seribu orang. Kebanyakan penghuninya dari negara-negara Afrika. Ada di antara pelajar-pelajar Malaysia kurang bersetuju saya tinggal di sini kerana kemudahan asramanya kurangkan lengkap. Demikian juga dengan penyediaan makan minumnya.

Memang benar apa yang dikatakan oleh sahabat-sahabat saya itu kalau dibandingkan dengan kemudahan yang terdapat di Asrama Melayu, Jalan Abbasiah yang disediakan oleh Kerajaan Malaysia. Semuanya lengkap dan agak mewah tetapi yang menyebabkan saya meninggalkan Asrama Melayu buat seketika dan bersedia beradapan dengan karenah pelajar-pelajar dari Afrika dan juga pelajar-pelajar dari negara Arab adalah dengan tujuan untuk dapat menguasai sedikit sebanyak bahasa Arab di samping mengambil peluang keemasan bersilaturrahim dengan pelajar-pelajar yang datang dari seentero dunia.

Seingat saya, pelajar-pelajar Malaysia yang tinggal di Madinah Bu’uth, baik surgha maupun kubra tidak ramai, bolih dibilang dengan jari. Di antara mereka yang masih saya ingat Ustaz Abd.Ghani Shamsuddin, pimpinan tertinggi parti PAS pusat sekarang ini. Ustaz Mahmud Abdul yang sering menjadi MC bahasa Arab musabaqah al-Quran peringkat antarabangsa, Ustaz Mohd Darus Senawi yang telah lama berpisah dengan beliau tetapi dipertemukan oleh Allah swt, secara kebetulan dengan beliau pada 23 April 09 baru-baru ini. Melalui business card yang beliau bagi kepada saya, beliau orang kuat dalam HALUAN dengan jawatanya timbalan Presiden Haluan. Selain daripada mereka bertiga, yang pernah tinggal di asrama tersebut juga Prof Dr. Abdullah Bakar, bekas pensyarah UIA, Prof Dr. Abdul Halim Hj.Uthman Muhammady, mantan pensyarah UKM dan aktivis ABIM, Ustaz Umar Abu Bakar, mantan Ketua Pandakwa Syarie, Jabatan Agama Pahang dan Ustaz Sulaiman Sujak, mantan Guru Besar Ma’ahad Muar J.B.

1 May 1968 yang menjadi tajuk bahan blog Dewan Syura kali ini tidak ada kaitan dengan sejarah hari buruh atau hari pekerja. Tarikh tersebut mengundang kembali suatu peristiwa yang membuat suara saya agak tinggi sedikit daripada suara sahabat saya Mahmud bin Ahmad dari Sudan yang tinggal bersebelahan bilik saya di Madinah bu’uth surgha. Beliau pelajar fakulti usuluddin. Puncanya sedikit sahaja iaitu beliau mempelawa saya datang ke Sudan. Saya jawab Insya Allah. Rupanya dia tak puas hati dengan jawapan saya itu, malah beliau paksa saya pergi dengan menggunakan perkataan LAZIM!!!. Lazimnya erti wajib. Dengan perkataan lain, dia tak puas hati dengan jawapan insya Allah saya itu. Mungkin jawapan saya itu bagi beliau agak longgar, rapuh, tidak kuat atau sebuah harapan yang tidak pasti akan menjadi suatu kenyataan. Beliau hendak suatu jawapan yang pasti, tegas atau dengan kata lain padamkan/tiadakan perkataan insya Allah dalam jawapan saya. Memadai dengan Na’am atau ya saya akan pergi. Apakah itu maksud yang tersirat darinya? Wallahu aklam. Rupanya budaya orang Sudan ini sama dengan budaya orang melayu kita. Kalau amalan zahir ini sama dengan amalan batin ia suatu kesilapan.

Merancang sesuatu perkara untuk hari esok dan pada bila-bila masa termasuklah dalam bab ikhtiar, tidak bercanggah dengan konsep tauhid, malah ia merupakan tindakan orang yang bertakwa. Firman Allah dalam surah al-Hasy:59:18 yang mafhumnya: "Hai orang yang beriman, bertaqwalah kepada Allah dan hendaklah setiap diri memperhatikan apa yang telah diperbuatnya untuk hari esok (akhirat) dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.”

Yang penting kejayaan perancangan tidak boleh disandar secara mutlak di atas usaha kita. Sebaliknya ia bergantong dengan keizinan Allah swt. Jadi Islam melarang kita sama sekali dari mempastikan bahawa kita akan dapat melakukan sesuatu perkara pada masa hadapan pada hal ia belum pasti boleh berlaku. Sikap yang demikian menunjukkan sikap sombong dan bongkak dan menolak sekaligus sifat takdir dan kudrat Allah swt. Lantaran itu, ketika Malaysia mempopularkan slogan Malaysia Boleh, ada warga Malaysia mencadangkan; hendaklah ditambah sebelum slogan tersebut dengan perkataan Insya Allah; Insya Allah Malaysia Boleh.

Pengajaran dari surah al-Kahf

1. Mengucapkan Insya Allah adalah ajaran al-Quran sebagaimana dinyatakan oleh Allah dalam firmannya menerusi surah: al-Kahf:18:23 yang mafhumnya, ”Dan jangan sekali-kali mengatakan terhadap sesuatu: Sesungguhnya aku akan mengerjakan itu besok pagi, kecuali (dengan menyebut): Insya Allah. Dan ingatlah kepada TuhanMu jika kamu lupa dan katakanlah: Mudah-mudahan Tuhanku akan memberiku petunjuk kepada yang lebih dekat kebenarannya daripada ini."

2. Merancang sesuatu perkara dengan serapi mungkin sebahagian daripada ikhtiar dan asbab kejayaan dan kita dituntut melakukannya. Namun demikian penyebab kejayaan itu tidak akan terjadi seperti yang dirancangkan, kalau tidak dengan izin dan kuasa Allah swt. Kerana itu kita di suruh bertawaqal kepada Allah swt.

3. Dengan mengucapkan Insya Allah adalah tanda sifat tawadhuk, rasa rendah diri dan sedar siapalah diri ini kalau dibanding dengan kudrat dan iradat Allah swt. Dan jangan rasa ego dengan kekuasaan, kecerdikan dan kepandaian yang dimiliki dan dikuasai, lalu mendabik dada bahawa kejayaan tersebut hasil daripada usaha dan penguasaan ilmu tetapi sebenarnya kita tidak sendirian dalam menempuh kehidupan ini melainkan ada hubung jalinnya dengan seluruh ciptaan Allah swt yang lain, sesuai dengan takdir dan iradah Allah swt.

Sumber rujukan Pintu-pintu menuju Tuhan

Wallahu a’lam
Shah Alam

Habit Suka Berhutang

Sunday, May 3, 2009

Mantan Menteri Pelajaran Malaysia YAB Dato Hj Abdul Rahman Ya'akub sedang
bercakap dgn saya ketika beliau melawat Kaherah dalam tahun 70an.
Gambar tengah Ust Haji Ismail Abd Halim, Mantan Pengarah Kusza Trengganu


Jawapan ke atas pertanyaan Dd melalui emailnya

Sikap empati anda terhadap kawan anda itu wajar dipuji. Dalam Islam kita disuruh membantu orang yang dalam kesusahan. Firman Allah yang bermaksud, "Dan tolong menolonglah kamu dalam mengerjakan kebajikan dan takwa dan jangan tolong menolong dalam berbuat dosa dan pelanggaran” (S:al-Maaidah:5:2).

1. Sabda Rasul yang mafhumnya, "Di antara perkara yang memestikan dapat keampunan dari Allah ialah engkau memasukkan kegembiraan ke dalam hati saudaramu yang muslim. (H.T. at-Thabrani)

2. Sabda Rasul yang bermaksud, "Orang yang paling dikasihi Allah ialah orang yang paling berguna kepada orang ramai dan amalan yang paling disukai Allah ialah kegembiraan yang kau masukkan ke dalam hati kepada Muslim, kau melepaskannya dari kesusahan, kau tunaikan (bayar) hutangnya atau kau usir kelaparannya. Sesungguhnya jika aku berjalan bersama seorang saudara dalam usaha menyempurnakan (makanan) keperluannya itu lebih baik aku sukai dari beriktikaf dalam masjid.

Namun demikian sikap berhati-hati juga perlu kerana ada orang yang sengaja mengambil kesempatan dari sifat sangka baik dan ambil berat kita terhadapnya. Lebih-lebih lagi kawan anda itu di mana berhutang baginya sudah menjadi amalannya biarpun alasannya itu sukar untuk diterima. Rasulullah s.a.w. berdoa agar dijauhkan dari belenggu hutang. Sebagaimana doa’ Rasulullah saw yang mafhumnya, “Aku berlindung daripada belenggu hutang”.

Takkanlah selalu kehilangan wang menjadi sebab dia selalu berhutang. Berhutang dalam Islam tidak boleh menjadi amalan kecuali kerana keadaan terdesak yang tidak boleh dielakkan. Sekiranya seorang itu benar-benar dalam kusulitan kewangan, pihak Baitulmal akan bersedia membantu jika sebab-sebab yang munasabah malah sebahagian daripada kutipan zakat fitrah wajib diberi kepada mereka yang berhutang kerana kepentingan agama. Janganlah alasan kecurian menjadi sebab untuk berhutang. Firman Allah, “Sesungguhnya zakat zakat itu hanyalah untuk orang-orang fakir, orang-orang miskin, amil-amil, para muallaf yang dibujuk hatinya, untuk memerdekakan budak (hamba) orang-orang yang berhutang untuk jalan Allah……” (S:at-Taubah:9:60) .

Yang menjadi kemusykilan saya bagaimana kawan anda ini suka berhutang dengan alasan barangnya selalu dicuri orang. Apakah dia tidak memaklumkan perkara yang terjadi ini kepada orang tuanya atau sudah dimaklumkannya tetapi ternyata orang tuanya tidak mampu membantunya kerana kemiskinan. Kalau betul kawan anda itu orang yang susah elok anda berbincang dengannya dan juga dengan pihak-pihak yang tertentu untuk sama-sama menyelesaikan kesempitan hidupnya dan juga kepada pihak warden tentang musibah yang sering menimpanya. Saya rasa kalau benar ia seorang pelajar yang miskin tetapi prestasi pelajarannya baik saya kira ada jalan keluarnya. Jangan anda sendirian menyelesaikan masalahnya. Bincangkan dengan pihak-pihak yang lain dan pihak yang berwajib agar dapat merungkai kesulitan yang dihadapinya.

Dalam Islam, orang yang berhutang tetapi sengaja tidak menjelaskannya, ia tidak akan terlepas daripada menanggung beban hutang sekalipun selepas meninggal dunia. Sebab itu bila seorang hamba meninggal dunia di antara perkara yang perlu diselesaikan lebih awal ialah hutang piutangnya. Rasulullah s.a.w mencela orang yang berhutang tetapi sengaja tidak mahu membayar hutang dan berhutang kerana mengikut hawa nafsu.

Dalam sebuah hadis, roh orang yang mati dikatakan tidak akan naik ke langit melainkan selepas hutangnya selesai. Menunda-nunda menjelaskannya padahal mampu menjelaskannya termasuk perbuatan yang zalim. Dan jika ditunda-tunda pembayaran hutang, pada hal ia mampu membayarnya maka bertambah satu dosa baginya setiap hari. Rasulullah s.a.w. bersabda, "Barangsiapa (yang berhutang) di dalam hatinya tidak ada niat untuk membayar hutangnya, maka pahala kebaikannya akan dialihkan kepada yang memberi hutang. Jika masih belum terpenuhi, maka dosa-dosa yang memberi hutang akan dialihkan kepada orang-orang yang berhutang” (HR.Baihaqi)

Kesimpulannya anda hendaklah menyelidiki sebab dan punca sebenarnya kawan anda berhutang. Kalau benar kawan anda itu bermasalah memang wajarlah anda membantunya. Namun demikian perkara ini sepatutnya tidak menjadi bebanan pada anda sepanjang masa. Anda harus berkongsi masalah ini seperti yang saya nyatakan di atas dengan kawan- kawan anda dan dengan pihak pihak yang lain agar problemnya dapat di selesaikan. Berhutang hanya boleh menyelesaikan masalah buat seketika tetapi jangka panjangnya ialah dengan mencari puncanya,kemudian cuba menyelesaikannya.

Kepada mereka yang belum terlibat dengan hutang, elakkan diri anda dari suka berhutang kecuali kerana sebab-sebab yang sangat mendesak. Lebih-lebih lagi buat masa sekarang, pintu berhutang dibuka seluas-luasnya untuk siapa sahaja yang mahu, tanpa wang pendahuluan dan cagaran anda dengan mudah memiliki sesuatu yang anda sukai.

Akibat dari suka berhutang akan menghilangkan kepercayaan orang terhadap diri anda. Anda akan menyisihkan diri dari orang ramai bimbang terserempak dengan orang yang memberi hutang. Anda akan berterusan dengan sikap bohong anda dengan berbagai-bagai alasan untuk berhutang, malah tidak mustahil anda akan terjebak lebih jauh lagi dalam kencah jenayah seperti mencuri, rasuah dan seumpamanya untuk melangsaikan hutang. Juga ia membahayakan keselamatan diri anda jika anda berhutang dengan Ah Long tetapi gagal melunaskannya dalam masa yang telah ditetapkan.

Berhutang akan mencabutkan kemerdekaan diri anda kerana dibelenggukan oleh hutang yang melilit pinggang. Keadaan yang sama juga akan berlaku kepada sesebuah negara yang banyak berhutang di mana akhirnya ia tidak bebas untuk menentukan hala tuju negara. Wallahu aklam.

Shah Alam, 3 May Jam:2.30 ptg.