Peristiwa I May 1968

Monday, May 4, 2009

Perasmian Kongress Melayu setimur tengah di Mesir buat pertama kalinya.
Perasmian berlansung di markaz parti sosialis Arab kerana itu saya direkod sebagai penganut faham sosialis.
Masya Allah. Kongres berlansung pada 15-22 bulan?70. Saya duduk sebelah kanan sekaili.
Di tengah Encik Aziz setiuasaha 1 wakil Kedutaan Malaysia,Kaherah. Lain-lain wakil parti dan wakil
University Alazhar.Kertas kerja yang dibincangkan ialah; Pentingnya Bank Islam di Malaysia,
Mencipta Perpaduan dan Keharmonian Rakyat Malaysia,Pembentukkan Moral Rakyat
Malaysia dan Peranan Mahasiswa Melayu Timur Tengah.

Sewaktu belajar di Mesir dahulu saya pernah tinggal setahun setengah di Madinah Bu’uth surghra iaitu asrama khusus untuk menempatkan pelajar-pelajar pemegang biasiswa Universiti Al-azhar dari seluruh dunia. Bilangan penghuninya tidak kurang seribu orang. Kebanyakan penghuninya dari negara-negara Afrika. Ada di antara pelajar-pelajar Malaysia kurang bersetuju saya tinggal di sini kerana kemudahan asramanya kurangkan lengkap. Demikian juga dengan penyediaan makan minumnya.

Memang benar apa yang dikatakan oleh sahabat-sahabat saya itu kalau dibandingkan dengan kemudahan yang terdapat di Asrama Melayu, Jalan Abbasiah yang disediakan oleh Kerajaan Malaysia. Semuanya lengkap dan agak mewah tetapi yang menyebabkan saya meninggalkan Asrama Melayu buat seketika dan bersedia beradapan dengan karenah pelajar-pelajar dari Afrika dan juga pelajar-pelajar dari negara Arab adalah dengan tujuan untuk dapat menguasai sedikit sebanyak bahasa Arab di samping mengambil peluang keemasan bersilaturrahim dengan pelajar-pelajar yang datang dari seentero dunia.

Seingat saya, pelajar-pelajar Malaysia yang tinggal di Madinah Bu’uth, baik surgha maupun kubra tidak ramai, bolih dibilang dengan jari. Di antara mereka yang masih saya ingat Ustaz Abd.Ghani Shamsuddin, pimpinan tertinggi parti PAS pusat sekarang ini. Ustaz Mahmud Abdul yang sering menjadi MC bahasa Arab musabaqah al-Quran peringkat antarabangsa, Ustaz Mohd Darus Senawi yang telah lama berpisah dengan beliau tetapi dipertemukan oleh Allah swt, secara kebetulan dengan beliau pada 23 April 09 baru-baru ini. Melalui business card yang beliau bagi kepada saya, beliau orang kuat dalam HALUAN dengan jawatanya timbalan Presiden Haluan. Selain daripada mereka bertiga, yang pernah tinggal di asrama tersebut juga Prof Dr. Abdullah Bakar, bekas pensyarah UIA, Prof Dr. Abdul Halim Hj.Uthman Muhammady, mantan pensyarah UKM dan aktivis ABIM, Ustaz Umar Abu Bakar, mantan Ketua Pandakwa Syarie, Jabatan Agama Pahang dan Ustaz Sulaiman Sujak, mantan Guru Besar Ma’ahad Muar J.B.

1 May 1968 yang menjadi tajuk bahan blog Dewan Syura kali ini tidak ada kaitan dengan sejarah hari buruh atau hari pekerja. Tarikh tersebut mengundang kembali suatu peristiwa yang membuat suara saya agak tinggi sedikit daripada suara sahabat saya Mahmud bin Ahmad dari Sudan yang tinggal bersebelahan bilik saya di Madinah bu’uth surgha. Beliau pelajar fakulti usuluddin. Puncanya sedikit sahaja iaitu beliau mempelawa saya datang ke Sudan. Saya jawab Insya Allah. Rupanya dia tak puas hati dengan jawapan saya itu, malah beliau paksa saya pergi dengan menggunakan perkataan LAZIM!!!. Lazimnya erti wajib. Dengan perkataan lain, dia tak puas hati dengan jawapan insya Allah saya itu. Mungkin jawapan saya itu bagi beliau agak longgar, rapuh, tidak kuat atau sebuah harapan yang tidak pasti akan menjadi suatu kenyataan. Beliau hendak suatu jawapan yang pasti, tegas atau dengan kata lain padamkan/tiadakan perkataan insya Allah dalam jawapan saya. Memadai dengan Na’am atau ya saya akan pergi. Apakah itu maksud yang tersirat darinya? Wallahu aklam. Rupanya budaya orang Sudan ini sama dengan budaya orang melayu kita. Kalau amalan zahir ini sama dengan amalan batin ia suatu kesilapan.

Merancang sesuatu perkara untuk hari esok dan pada bila-bila masa termasuklah dalam bab ikhtiar, tidak bercanggah dengan konsep tauhid, malah ia merupakan tindakan orang yang bertakwa. Firman Allah dalam surah al-Hasy:59:18 yang mafhumnya: "Hai orang yang beriman, bertaqwalah kepada Allah dan hendaklah setiap diri memperhatikan apa yang telah diperbuatnya untuk hari esok (akhirat) dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.”

Yang penting kejayaan perancangan tidak boleh disandar secara mutlak di atas usaha kita. Sebaliknya ia bergantong dengan keizinan Allah swt. Jadi Islam melarang kita sama sekali dari mempastikan bahawa kita akan dapat melakukan sesuatu perkara pada masa hadapan pada hal ia belum pasti boleh berlaku. Sikap yang demikian menunjukkan sikap sombong dan bongkak dan menolak sekaligus sifat takdir dan kudrat Allah swt. Lantaran itu, ketika Malaysia mempopularkan slogan Malaysia Boleh, ada warga Malaysia mencadangkan; hendaklah ditambah sebelum slogan tersebut dengan perkataan Insya Allah; Insya Allah Malaysia Boleh.

Pengajaran dari surah al-Kahf

1. Mengucapkan Insya Allah adalah ajaran al-Quran sebagaimana dinyatakan oleh Allah dalam firmannya menerusi surah: al-Kahf:18:23 yang mafhumnya, ”Dan jangan sekali-kali mengatakan terhadap sesuatu: Sesungguhnya aku akan mengerjakan itu besok pagi, kecuali (dengan menyebut): Insya Allah. Dan ingatlah kepada TuhanMu jika kamu lupa dan katakanlah: Mudah-mudahan Tuhanku akan memberiku petunjuk kepada yang lebih dekat kebenarannya daripada ini."

2. Merancang sesuatu perkara dengan serapi mungkin sebahagian daripada ikhtiar dan asbab kejayaan dan kita dituntut melakukannya. Namun demikian penyebab kejayaan itu tidak akan terjadi seperti yang dirancangkan, kalau tidak dengan izin dan kuasa Allah swt. Kerana itu kita di suruh bertawaqal kepada Allah swt.

3. Dengan mengucapkan Insya Allah adalah tanda sifat tawadhuk, rasa rendah diri dan sedar siapalah diri ini kalau dibanding dengan kudrat dan iradat Allah swt. Dan jangan rasa ego dengan kekuasaan, kecerdikan dan kepandaian yang dimiliki dan dikuasai, lalu mendabik dada bahawa kejayaan tersebut hasil daripada usaha dan penguasaan ilmu tetapi sebenarnya kita tidak sendirian dalam menempuh kehidupan ini melainkan ada hubung jalinnya dengan seluruh ciptaan Allah swt yang lain, sesuai dengan takdir dan iradah Allah swt.

Sumber rujukan Pintu-pintu menuju Tuhan

Wallahu a’lam
Shah Alam

0 Komen: