Hari Pekerja 1 May 09

Friday, May 1, 2009

Bergambar bersama-sama dengan YBhg Dato' Hj Talha Hj Abd.Rahman
pada 1 May09 sejurus selesai solat Jumaat di Masjid Ubudiah.

Khutbah Juma’at

Dari semenjak minggu lepas saya telah memasang niat untuk solat Juma’at minggu ini 1 May 09 di Masjid ‘Ubudiah Seksyen 19 Shah Alam. Selain daripada bersolat Juma’at saya juga ingin hendak bertemu dengan Yang Berbahagia Dato’ Hj Talha Hj Abdul Rahman dan keluarga beliau di mana sudah sebulan saya berada di Shah Alam saya belum berkesempatan ziarah beliau dan keluarga beliau. Masjid Ubudiah terletak dalam kawasan perumahan beliau. Sebelum ini saya ada menghubungi Dato dengan telepon. Rasanya itu belum puas, melainkan kalau saya dapat bertemu dan bersua muka dengan beliau dan keluarga beliau kerana keakraban saya dan keluarga beliau sudah semacam sebuah keluarga.

Saya mengenali beliau semenjak tahun 80an lagi ketika beliau menjadi Yang Di Pertua Jais Selangor. Saya kerap berjumpa dengan beliau dalam mesyuarat Majlis Islam seMalaysia di mana ketika itu saya menjawat jawatan Setiausaha Majlis. Beliau seorang yang aktif dalam bidang dakwah dan pernah memegang jawatan yang tinggi dalam NGO-NGO Islam. Dalam setiap persidangan dan seminar kalau beliau hadir, beliau tidak berkeberatan melontar idea-idea beliau yang bernas. Umur beliau sekarang sudah mengjangkau 80. Namun demikian faktor umur dan kesihatan beliau yang sudah agak terjejas tidak menghalang beliau terus berkhimat untuk agama, bangsa dan tanahair..

Alhamdulilah, dengan izin Allah swt saya dengan ditemani anakanda Hafiz telah menunaikan solat Juma’at 1 May 09 di Masjid Ubudiah dan secara kebetulan dia menjadi Khatib dan juga Imam Solat Juma’at pada hari yang tersebut di atas. Selepas solat saya terus bersalam dengan beliau, kemudian beliau mempelawakan saya dan Hafiz dengan diiringi oleh menantu beliau Haji Roslan terus masuk ke dalam bilik khas beliau. Saya difahamkan beliau sebagai Imam Satu di Masjid Abudiah. Di antara isi khutbah yang beliau sampaikan adalah seperti berikut:

1. Islam mewajibkan umatnya berusaha mencari rezeki bagi menampong kehidupan di dunia ini tanpa mengira jenis pekerjaan asalkan bertepatan dengan syari’at Islam seperti disarankan oleh Allah dalam surah al-a'araf: 10

2. Dalam masa mencari nafqah jangan lupa urusan akhirat. Perkara ini dijelaskan oleh Allah dalam surah: al-Qasas: 77

3. Pekerjaan yang dikategorikan sebagai ibadat menurut Imam Ghazali dalam kitab ihya ulumuddin beliau seperti berikut:

• Niat dan tujuan kerja itu mestilah untuk menjunjong perintah Allah swt.
• Kerja yang dilakukan tersebut tidak bercanggah dengan syari’at Allah swt
• Kerja yang dilakukan itu adalah dengan sungguh-sungguh dan tidak memudharatkan.
• Kerja tersebut tidak menghalang daripada menunaikan syari’at Allah swt seperti solat,puasa dan sebagainya.

Asas utama kerja yang dapat diterima sebagai ibadat ialah kerja yang dilakukan dengan niat ikhlas kerana Allah swt. Tanpa ikhlas pekerjaan itu tidak dianggap sebagai ibadah. Selain daripda niat yang suci pekerjaan tersebut tidak bercanggah dengan syari’at Allah swt. Hari ini ramai pekerja mengakui bekerja kerana Allah swt, namun demikian dalam masa mereka bekerja, mereka melakukan perkara yang bertentangan dengan syari’at Allah swt seperti membuka ’aurat, kerja ditempat yang diharamkan seperti tempat perjudian, kelab-kelab malam dan seumpamanya.

Demikian juga terdapat pekerja-pekerja yang tidak menjaga perhubungan dengan Allah swt dan manusia seperti mengamalkan rasyuah, salah guna kuasa, menipu, hasad dengki sesama rakan sekerja dan sering mengadu domba. Mereka ini tergolong dalam golongan mereka yang rugi sebagaimana dinyatakan oleh Allah dalam surah HUD: 15.

Seterusnya supaya pekerjaan itu sebagai satu ibadah, pekerja hendaklah mempastikan kerja yang dilakukan itu dapat memenuhi kehendak pelanggan dan meningkatkan produktiviti serta memenuhi tanggungjawab yang diamanahkan. Setiap pekerja perlu berusaha dengan sebaik mungkin dan sedia menghadapi segala karenah dengan bersikap sabar, tekun, berwawasan dan seumpmanya. Adalah merupakan satu kesalahan jika kerja yang diamanahkan itu dibuat sambil lewa. Islam begitu tegas berkaitan kerja secara bersungguh-sunguh. Sabda rasul yang mafhumnya, ”Sesungguhnya Allah swt suka apabila seseorang di antara kamu melakukan sesuatu pekerjaan ia melakukan dengan tekun dan bersungguh-sungguh.” (H.R.Thabrani)

Apapun kedudukan kita dalam pekerjaan, kita akan dipersoalkan dan akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah swt. Sama ada kita sebagai majikan ataupun sebagai pekerja, kita wajib untuk melaksanakan segala amanah yang dipikul. Kita juga wajib mematuhi segala peraturan dan hukum yang telah digariskan oleh islam.

Wallahu ’aklam.
Shah Alam

TURBA; Pemimpin di semua peringkat perlu turun ke bawah menemui golongan fakir miskin

Mina-musim haji 78. Sebelah kiri sekali Dato Seri Haji Harussani (Mufti Perak sekarang).
Sebelah kanan beliau Encik Ismail dan sebelah kanan saya Ustaz Hj Jais Anwar, menantu Dato Asri,
menetap di London.


Teladanilah Keperihatinan Rasulullah saw dan para sahabat terhadap gulongan fakir miskin

1. Ketika Rasulullah saw pergi ke Kaabah bersama-sama sahabatnya, ada di antara sahabatnya yang bernama Sa’ad bin Abi Waqas bersikap kasar kepada orang miskin dan membangga-banggakan diri, lalu ditegur oleh Rasulullah saw, “Kejayaan dan kemewahan yang engkau kecapi itu disebabkan oleh orang miskin tersebut.”

2. Rasulullah saw berkata kepada Aisyah r.anha, “Ya Aisyah, jangan biarkan orang yang memerlukan (miskin) pergi dari pintu rumah engkau dengan tangan yang kosong. Berikanlah sesuatu walaupun setengah biji buah tamar. Cintailah orang miskin, dekatilah mereka kepadamu, nescaya Allah akan membawa kamu dekat kepadanya pada hari kebangkitan semula.”

3. Penyertaan Rasulullah saw di dalam perperangan (ghazwah) tidak lain menunjukkan betapa perihatinnya Rasulullah saw terhadap agama dan umatnya. Keperhatinan Rasulullah saw terhadap Islam, umatnya. Perperangan Badar dengan jelas membuktikan betapa sensitifnya Rasulullah terhadap agama Islam seperti dalam doanya, “Ya Allah, aku nantikan janji mu, ya Allah. Jika pasukan ini kalah, nescaya tidak ada lagi orang yang akan menyembah Mu di Bumi ini.”

4. Surah al-Fath :48:29 yang mafhumnya, “Muhammad itu adalah utusan Allah dan orang-orang yang bersama dengan dia adalah keras terhadap orang orang Kafir tetapi berkasih sayang sesama mereka”. Ayat tersebut mengandungi pengajaran pengajaran berikut:

1. Orang Islam yang sama seakidah saling sayang menyayangi, tidak menghinakannya dan tidak mengkecewakannya.

2. Sikap berlembah lembut sesama mereka, kata Pak Hamka tidaklah mudah saja buat di sudu dan kerasnya tidak mudah buat di kutik. Dia bersikap baik kepada orang lain, tetapi akidahnya jangan dipermainkan, agama jangan dihinakan. Orang yang beradab pastilah pandai menghormati keyakinan orang lain, walaupun dia sendiri tidak sesuai dengan keyakinan itu.

Keperihatinan Saidina Abu Bakar r.a.

Ketika menjadi Khalifah rezeki dan harta negara melimpah ruah tapi kehidupannya seperti rakyat biasa. Dia boleh menerima harta dari Baitulmal lebih dari keperluannya tetapi dia hanya mengambil sekadar yang perlu dan kehidupannya tidak lebih daripada kehidupan kaum muslimin yang lain.

Saidina Abu Bakar sebelum dilantik menjadi Khalifah memiliki harta yang banyak tetapi dia bertanya kepada dirinya sendiri, “Mengapakah saya menikmati harta benda yang banyak, sedangkan kaum muslimin dalam kemiskinanan” Kerana keperihatinannya kepada Islam dan kaum muslimin semua hartanya di infak fisabilillah sehingga Rasulullah bertanya kepadanya, “Apakah yang kau tinggalkan untuk keluargamu hai Abu Bakar?”. Jawab Abu Bakar “Untuk mereka yang saya tinggalkan Allah dan Rasul kepada mereka”.

Sejurus sebelum meninggal Saidina Abu Bakar berpesan kepada anaknya Aisyah r.anha supaya menyerahkan harta peninggalannya kepada kaum muslimin. Rupanya harta peninggalanya itu tidak lebih daripada seekor unta untuk membawa air, alat pemerah susu dan baju luar untuk menyambut tetamu. Apabila harta itu diserahkan kepada Saidina Umar, Amirul mukminin terus meleleh air matanya seraya berkata “Semoga Allah menyayangi Abu Bakar…… Sesungguhnya dia memayahkan orang yang datang selepasnya”.

Saidina Abu Bakar selalu mengamalkan doa yang menjadi amalan Rasulullah saw “Wahai yang membalikkan hati, teguhkanlah hatiku pada agamamu” Khutbah saidina Abu Bakar ketika dilantik menjadi Khalifah “Wahai manusia…sesungguhnya saya dilantik sebagai pemimpin kamu tetapi saya bukanlah orang yang terbaik diantara kamu…… Jika saya berbuat baik maka sokonglah saya. Sebaliknya jika saya berbuat perkara yang tidak baik maka perbetulkanlah saya. Ketahuilah orang yang lemah di kalanganmu adalah kuat disisiku sehingga saya mengembalikan haknya baginya. Ketahuilah orang yang kuat di kalanganmu adalah lemah di sisiku sehingga saya mengambil hak dari orang itu. Ta’atlah kepadaku selama saya ta’at kepada Allah dan rasul. Apabila saya durhaka, maka tidak ada ketaatan kepadaku”

Keperihatinan Saidina Umar r.a

Ketika Pemerintahan Saidina Umar r.a. pernah umatnya menghadapi kemarau yang panjang. S. Umar r.a. amat perihatin dan empati nasib yang menimpa rakyatnya sehingga mukanya pucat masai kerana hanya makan buah Zaitun sahaja. Melihat kesihatan S. Umar r.a. terganggu lalu para sahabatnya mencadangkan kepada beliau supaya mengambil harta dari Baitul Mal untuk keperluannya tetapi dia enggan malah S. Umar menegaskan ”Bagaimana aku dapat memerhatikan kepentingan rakyat apabila aku tidak merasakan derita yang mereka rasakan”. Malah S. Umar r.a. menyamar seperti rakyat biasa-turun padang- untuk melihat sendiri kehidupan rakyatnya.

Pesan Saidina Ali r.a.kepada Gabenornya

Saidina Ali bin Abi Thalib sewaktu melantik Malik bin Al-Haris Al-Ashtar sebagai Gabenor Mesir berpesan kepadanya dengan katanya, “Awas! Takutilah Allah, apabila kamu berdepan dengan masalah fakir miskin yang tiada pembela, yang hidup terbiar, miskin dan tidak berdaya-orang orang yang menjadi mangsa perubahan peristiwa. Antara mereka, ada beberapa orang yang tidak menyesal untung nasib mereka dalam kehidupan ini walaupun mereka hidup susah, mereka tidak pergi meminta sedekah. Atas nama Allah, lindungilah hak mereka kerana kamulah yang bertanggungjawab menyelamatkan. Untuk meringankan beban hidup mereka, berilah bahagian mereka yang ada di baitulMal, tanpa mengira di mana sahaja mereka berada samada dekat maupun jauh. Hendaklah kamu berlaku ‘adil kepada hak mereka. Janganlah kamu lalai sehingga kamu lupa akan tanggungjawab kamu terhadap mereka, kerana Allah tidak akan menerima sebarang alasan atas pengabaian kamu terhadap hak mereka. Janganlah kamu menganggap kesejahteraan mereka kurang penting daripada kesejahteraan kamu dan janganlah kamu melupakan mereka apabila kamu membuat sebarang ketetapan yang penting dan pulaukan orang yang memandang rendah pada fakir miskin dan orang yang tidak menceritakan perihal kehidupan fakir kepada kamu.

Pilihlah di kalangan pegawai pegawai kamu, orang yang benar benar ta’at dan bertaqwa kepada Allah supaya mereka dapat memberitahu kamu keadaan hidup fakir yang sebenarnya. Hendaklah kamu menyediakan bantuan untuk orang-orang fakir dan miskin agar kamu tidak perlu berdolak dalik di depan Allah di akhirat kelak kerana fakir miskinlah yang paling memerlukan belas ihsan kamu. Usahakanlah untuk mendapatkan ganjaran daripada Allah dengan memberikan hak tiap-tiap orang yang empunya diri dan anggaplah tugas menyempurnakan keperluan orang orang tua yang tidak mempunyai mata pencarian tetapi tidak rela meminta sedekah sebagai satu amanat dan tugas yang mulia. Dan kewajipan inilah yang biasanya sukar disempurnakan oleh para pemerintah. Tetapi dalam sesebuah masyarakat yang berpandangan jauh, tugas ini dilaksanakan dengan penuh kerelaan. Hanya bangsa atau kelompok masyarakat seperti ini sahaja yang benar-benar taat akan perintah Allah dalam melaksanakan kewajipan mereka terhadap fakir miskin.

Shah Alam
8.56 pagi

Jawapan Kepada Pertanyaan Si A Melalui Emailnya kpd Saya

Wednesday, April 29, 2009

Bergambar kenangan bersama Prof Dr Hj Uthman
Muhammady ketika bersilaturrahim kerumah 2004


Kehebatan seorang lelaki seperti yang anda ceritakan dalam email anda itu, yang boleh mengetahui apa yang telah terjadi, sekarang dan pada masa akan datang dan dalam masa yang sama suka membuat kebajikan dengan membantu orang yang susah dengan menghulurkan wang, suka bersilaturrahim, berpengetahuan dalam bidang agama dan ilmu homeopathy, juga telah mencipta ubat penyembuh penyakit kanser dengan menggunakan ginseng dan macam-macam lagi memang mengkagumkan bukan sahaja anda malah orang lain juga turut mengkaguminya termasuk saya tetapi dalam masa yang sama pula menimbulkan tanda-tanya pula pada anda bagaimana dia boleh mengetahui perkara-perkara yang telah, sedang dan yang akan berlaku. Apakah dia menggunakan ilmu hitam? Itu pertanyaan anda.

Mengetahui perkara yang akan berlaku termasuk perkara ghaib hanya Allah swt, para Rasul dan Nabi sebagai mukjizat sahaja yang mengetahuinya dan firasat/kassyaf bagi Wali-wali Allah dan orang yang beriman sahaja yang boleh mengetahuinya. Dalilnya:

1. Firman Allah yang mafhumnya, “Katakanlah: “Aku tidak mengetahui, apakah azab yang diancamkan kepadamu itu dekat ataukah Tuhanku menjadikan bagi (kedatangan) azab itu masa yang panjang? (Dia adalah Tuhan) Yang Mengetahui yang ghaib, maka Dia tidak memperlihatkan kepada seorang pun tentang yang ghaib itu.” (S:al-Jin:25-26).

2. Firman Allah, “Katakanlah: “Wahai Allah, Pencipta langit dan bumi, Yang Mengetahui barang ghaib dan yang nyata, Engkaulah Yang memutuskan antara hamba-hamba Mu tentang apa yang selalu mereka memperselisihkannya.” (S:az-Zumar:39:46).

3. Firman Allah yang mafhumnya, “Katakanlah wahai Muhqammad : Aku tidak berkuasa menarik kemanfaatan bagi diriku dan tidak (pula) menolak kemudharatan kecuali yang dikehendaki Allah. Dan sekiranya aku mengetahui yang ghaib, tentulah aku membuat kebajikan sebanyak-banyaknya dan aku tidak akan ditimpa kemudharatan. Aku tidak lain hanyalah pemberi peringatan, dan pembawa berita gembira bagi orang-orang yang beriman.” (S: al-Akraf:7:188)

4. Khidir /Nabi Khidir mengetahui perkara yang akan terjadi. Firman Allah, “Lalu mereka bertemu dengan seorang hamba (khidir) Kami, yang telah kami berikan kepadanya rahmat dari sisi kami, dan yang telah Kami ajarkan kepadanya ilmu dari sisi Kami” (S:al-Kahfi:18:65). Yang dimaksudkan dengan ilmu di sini ialah ilmu tentang perkara yang akan berlaku/ghaib;

(a) dia mengetahui kapal yang mereka naiki itu akan dirampas oleh seorang Raja yang zalim jika perahu yang baik. Untuk mengelak ianya dirampas, ia dibocorkan supaya kelihatan rosak atau buruk. Dengan yang demikian perahu dan mereka akan terselamat dari rompakan.

(b) Khidir membunuh seorang kanak-kanak kerana dia tahu anak tersebut pada suatu masa nanti akan memalukan kedua ibubapanya yang salih dengan mendurhakai mereka berdua. Sebelum kedurhakaan dan kekufurannya menyusahkan orang tuanya, maka Khidir bertindak membunuhnya.

(c) Khidir mendirikan dinding rumah yang runtuh, pusaka dari seorang ayah yang telah meninggal dunia yang meninggalkan dua orang anak yatim. Di bawah rumah tersebut, Khidir mengetahui ada harta terpendam kepunyaan keduanya. Harta tersebut terdiri dari emas dan perak. Supaya harta tersebut terlindung oleh bangunan rumah tersebut, Khidir pun membetulkan rumah tersebut untuk melindungi harta tersebut yang terpendam di bawah rumah tersebut supaya ianya tersembunyi dan terselindung dari pandangan orang lain dan selamat dari pemilikan mereka. Apabila anak-anak yatim sudah dewasa nanti mereka akan memanfa’atkan harta tersebut.

5. Cerita tentang Khalifah Umar ibn al-Khattab r.a. ketika sedang menyampaikan khutbah Jumaat beliau nampak pasukan tentera Islam hendak di serang oleh tentera musuh, lalu Khalifah Umar ibnul Khattab RA dari atas mimbar menyeru tentera Islam itu supaya naik ke atas bukit supaya terselamat dari serangan musuh. Seruan Umar ibn Khattab r.a. dapat didengar oleh tentera Islam. Lantaran itu dengan izin Allah tentera Islam terselamat dari serangan musuh.

6. Sayyidina Uthman bin Affan r.a telah berkata kepada salah seorang yang datang menemuinya telah melakukan zina. Beliau mengetahuinya melalui matanya. Ada di antara yang hadir bertanya, “Adakah wahyu turun selepas Rasulullah s.a.w. wahai amirulmuminin?” Soalan ini dijawab oleh beliau dengan katanya, “Tidak, malah ia adalah firasat orang mukmin.”

Dari keterangan yang serba ringkas seperti yang tersebut di atas dapat disimpulkan bahawa selain daripada mereka yang tersebut di atas tidak akan dapat mengetahui sama ada perkara yang telah berlaku, kini, sekarang dan yang akan datang. Kalau demikian bagaimana lelaki tersebut boleh mengetahuinya? Kecualilah kalau dia seorang yang beriman dalam erti kata yang sebenarnya atau dia seorang wali Allah. Ciri-ciri Wali Allah hendaklah dia seorang yang beriman, beramal salih, meninggal perkara yang haram, perkara yang makruh, tidak takabbur dan riyak (tidak bercerita tentang kehebatan luar biasanya), tidak ada kepentingan dunia; kedudukan, pangkat, harta benda dan sebagainya. Seorang wali sebenarnya tidak tahu dirinya seorang wali. Dia tidak menunjuk-nunjuk kehebatan luar biasanya. Kalau lelaki tersebut bukan terdiri daripada mereka yang disebut di atas sudah pasti lelaki tersebut menggunakan khidmat Jin/makhluk halus. Apakah Jin boleh mengetahui perkara yang telah, sedang dan akan berlaku? Dan apakah manusia dapat menggunakan/memperalatkan/menjadikan Jin sebagai orang suruhannya untuk memenuhi permintaannya? Sebelum pertanyaan tersebut dijawab elok diketahui asal perkataan Jin dan unsur-unsur kejadian nya.

Makna Jin dari segi bahasa.

Dalam al-Mukjam al-Mufahras/kamus quran, tidak kurang daripada 22 perkataan Jin, 7 Jan dan 10 jinnah. Ia berasal dari kata kerja Janna yang bererti menutup. Sebagai contoh firman Allah yang bermaksud, “Ketika malam telah menutupinya/menjadi gelap………..”. Surah al-Anam 6;76. Dalam Kamus Dewan Bahasa Jin bererti sejenis makhluk halus. Perkataan majnun, jannah, janin, jannan, junnah dan seumpamanya juga berasal dari kata kerja Janna. Orang gila dikatakan Majnun kerana akalnya tertutup. Syurga dinamai Jannah kerana keindahan dan kecantikannya tertutup dan tersembunyi dari penglihatan dan tidak dapat dikhayalkan rupa bentuknya oleh manusia. Firman Allah, “Di sana ada hal-hal yang tidak pernah dilihat oleh mata, tidak juga terdengar oleh telinga dan tidak pula terlintas dalam benak hati manusia.” Bayi yang masih dalam perut dinamakan Janin kerana ia tertutup oleh perut ibunya. Perisai dinamakan Al-Junnah kerana ia menutupi seseorang dari gangguan orang lain. Orang munafiq menjadikan sumpah mereka sebagai Junnah/perisai sebagai penutup/menyembunyi kesalahan agar mereka tidak dibunuh atau ditawan atau dirampas harta mereka. Jadi jin dinamakan Jin kerana kejadiannya terlindung dan tersembunyi dari pandangan mata kasar manusia dalam bentuk asal kejadiannya sebagaimana firman Allah, “sesungguhnya ia dan pengikut-pengikutnya melihat kamu dari suatu tempat yang kamu tidak dapat melihat mereka.” (S:ar-Rahman:7:27) Namun demikian ia boleh dilihat jika ia menyerupai bentuk makhluk yang dapat dilihat oleh manusia seperti peristiwa yang berlaku ke atas Abu Hurairah r.a. di mana dalam peristiwa tersebut Abu Hurairah r.a. telah didatangi oleh Jin yang menjelma sebagai manusia sebanyak tiga kali kerana hendak mencuri zakat buah kurma yang diamanahkan oleh Rasulullah s.aw. kepada Abu Hurairah r.a. untuk menyimpannya. Abu Hurairah r.a. menyangka pencuri tersebut manusia biasa. Setelah diberitahu oleh Rasululllah s.a.w. barulah Abu Hurairah tahu pencuri tersebut rupa-rupanya Jin. Begitu juga jin Syaitan yang berlagak sebagai orang kenamaan dari negeri Najd telah berjaya menyeludup masuk dalam mesyuarat yang dihadiri oleh pembesar-pembesar Kota Mekah yang sedang membincang tindakan yang patut diambil ke atas Rasulullah s.a.w. Jin tersebut mencadangkan supaya Rasulullah s.a.w. dibunuh. Cadangan tersebut diterima dengan sebulat suara oleh ahli mesyuarat. Demikian juga Rasulullah s.a.w. pernah memberitahu para sahabat ketika baginda sedang solat, jin yang menyerupai manusia telah menganggu solat baginda dan cuba membatalkannya. Akhirnya Jin tersebut berjaya ditangkap oleh baginda dan terus diusir oleh baginda. Penjelmaan jin sebagai seekor ular yang ditemui oleh seorang pemuda yang sedang melingkar di atas tempat tidurnya, lalu menikamnya dengan anak panahnya sehingga menembusi perutnya, kemudian dia pun keluar dari bilik tidur lalu memacak panah itu di tengah rumah, tiba-tiba rumah itu bergoncang dengan kuatnya. Tidaklah diketahui siapa yang mati dahulu pemuda itukah atau si ular? Kisah diriwayatkan oleh Abu Said al-Khudri. Sila rujuk akidatul mukmin.

Apakah manusia dapat tahu sejarah latar belakang seseorang itu?

Jawapannya dapat asalkan berminat dalam sejarah dan ingatan masih kuat samada sejarah yang berkaitan dengan para ambiak, sejarah sebuah Negara atau pemimpin-pemimpin dunia dan sebagainya. Apatah lagi kalau sejarah tersebut dibukukan dan direkodkan lagi mudah mengetahuinya. Contoh yang paling mudah seorang penjenayah atau seorang yang menggugat keselamatan Negara, kegiatan kehidupan harian mereka sentiasa dipantau, kemudian direkodkan. Semua rekod mereka dari sekecil-kecil perkara hinggalah ke sebesar-besar perkara semuanya ada dalam rekod simpanan pejabat cawangan jenayah atau pejabat cawangan khas. Kalau diperlukan bila-bila masa sahaja latar belakang dan sejarah mereka dapat diketahui secara terperinci. Begitu juga bagi mereka yang terlibat dalam amalan ilmu hitam. Kalau diri memang menjadi salah seorang target atau sasaran yang akan menjadi mangsanya kerana tujuan-tujuannya yang tertentu ada dua cara untuk pengamalnya mengetahui latar belakang hidup diri dalam usaha mereka untuk menimbulkan keyakinan dan kepercayaan diri tentang kebolehan luar biasanya sehingga diri terperangkap dalam jaringannya lalu mengakuinya sebagai seorang wali padahal kemampuan seperti ini juga dimiliki oleh penganut-penganut agama lain.

Cara yang pertama memang dia mengenali diri tetapi diri tidak mengenalinya sangat atau melalui keluarga diri sendiri (yang percaya dengan amalan bomoh dan lurus bendol) yang sudah tentu mengenali kehidupan diri atau menyuruh orang lain (kuncu-kuncunya/kakitangannya) untuk mengumpul sebanyak mungkin rahsia dan latar belakang diri kalau diri memang menjadi target sasarannya. Apabila dia mendatangi diri dan berbual dengan diri atau melalui jurubicaranya/orang suruhannya, dia akan menceritakan latar belakang hidup diri. Cara inilah yang biasanya dilakukan oleh sindiket-sindiket yang berkenaan. Cara yang kedua ialah dengan menggunakan /memperalatkan jin. Apakah hal ini boleh terjadi? Berbagai-bagai pendapat ulama dalam hal ini. Ada yang berpendapat hanya Nabi Sulaiman sahaja yang dapat memperalatkan jin. Rujuk S;Shad:38:37-38 S:al-Ambia:21:82 S:Sabak:34:13 S:an-Namal:27:38.

Ibn Taimiyah pula berpendapat manusia mampu menggunakan/memerintahkan jin samada ada dalam perkara yang diperintahkan oleh Allah atau dalam perkara yang yang dilarang oleh Allah. Menurut Syekh Muhammad Mutawalli Asy-Sya’rawi pula jin yang boleh ditunduk/diperalatkan manusia ialah jin yang jahat yang pastinya akan mendatangkan akibat yang buruk kepada pengamal/manusia itu sendiri, sebagaimana ditegaskan oleh Allah s.w.t. dalam firmannya yang bermaksud “Dan bahawasanya ada beberapa orang laki-laki di antara manusia meminta perlindungan kepada beberapa laki-laki di antara jin, maka jin-jin itu menambah bagi mereka dosa dan kesalahan.(S:al-Jin:72:6)

Menurut Dr.M. Quraish Shihab, manusia yang memperalatkan jin yang jahat pastilah manusia durhaka pula, bahkan tanpa sedar bukan dia yang memperalat jin, tetapi justeru jinlah yang memperalatnya. Bukankah salah satu sifat jin yang jahat itu/syaitan adalah memperindah dan menghiasi amal buruk manusia(:S:6:43). Dari segi realitinya, peramal-peramal yang mendakwa tahu latar belakang seseorang kadangkala bukanlah terdiri orang yang bertakwa. Bahkan ada di antara mereka orang yang fasik, terlibat dalam pembohongan, penipuan, meninggalkan solat dan seumpamanya.

Apakah jin dapat mengetahui perkara yang telah, sedang dan yang akan berlaku?

Melihat kepada unsur asal kejadian jin yang telah diciptakan daripada api Nar Samum, iaitu panas yang amat sangat lahir dari suatu tenaga panas yang amat tinggi darjahnya berkuasa menembusi segala lubang-lubang yang paling halus seperti firman Allah dalam surah al-Hijr:15:27: yang bermaksud, "Dan kami telah menciptakan Jin sebelum (Adam) dari Nar Samum” dan dalam surah al-Rahmaan:55:15 Allah menjelaskan pula jin dicipta dari Marij” dan api yang sangat menyala. “Marij” ialah lidah api berwarna biru dari bahan yang menyala mempunyai kadar suhu panas yang amat tinggi. Juga merupakan api yang tidak berasap. Dan dalam hadis riwayat Bukhari dan Muslim Rasulullah saw turut menjelaskan unsur kejadian jin dari api yang berkobar. Sabda Rasul yang mafhumnya, “Malaikat diciptakan dari cahaya, Jin diciptakan dari api yang berkobar, sedangkan Adam (manusia) diciptakan sebagaimana apa yang telah dijelaskan kepada kamu.” Makanya dengan kudrat dan iradat Allah dan dengan asal unsur kejadian mereka dari api, kata Syeikh Sheikh Abu Bakar al-Jazairi, Allah telah memberi keupayaan kepada para jin dan syaitan untuk naik ke langit tinggi sebagaimana juga para Malaikat dapat naik/turun dari langit ke bumi dan sebaliknya untuk mendengar percakapan para Malaikat, kemudian menyampaikannya pula kepada manusia yang terdiri dari tukang tilik dan yang lain-lainnya, yang sudah pasti percakapan para Malaikat itu sudah ditokok tambah seratus peratus sebagai rekaan dari mereka sendiri dengan tujuan untuk menimbulkan fitnah dan menyesatkan manusia. (Sila rujuk S;al-Jin:72:8) dan sila rujuk juga hadis hadis riwayat al-Bukhari. Setelah Rasulullah saw diutuskan menjadi Rasul jin tidak dapat naik ke langit lagi. Kemampuan mereka sudah terbatas, hanya dapat mencuri percakapan dari Malaikat dari jauh. Jika mereka cuba mendekati langit mereka akan ditembak oleh penjaga-penjaga yang kuat. Masing-masing mempunai panah dari api. Setiap kali jin jahat cuba mendekati dinding langit, tiap itu pula penjaga yang kuat itu bertindak memanahnya. Sila rujuk surah al-Jin:72:8-9)

Dengan kemampuan jin mengharungi angkasa atau kecepatannya bergerak, menurut Dr. M. Quraisy Shihab boleh jadi dia mengetahui sesuatu yang terjadi pada masa lalu dan masa kini, yang tidak diketahui manusia tertentu. Namun demikian jin tidak mengetahui perkara yang ghaib. Contohnya kematian Nabi Sulaiman di mana jin tidak mengetahui nabi Sulaiman telah wafat kecuali setelah anai-anai memakan tongkatnya, sehingga lapuk dan tidak dapat menahan badan Nabi Sulaiman sehingga akhirnya beliau jatuh ketika itu baharulah mereka sedar Nabi Sulaiman telah wafat. Kerana kebolehan luar biasa jin bergerak dengan cepat dan dan berpindah randah dengan mudah dari suatu sudut di bumi atau di langit, menurut kesimpulan yang dibuat oleh Abd. Razak Naufal, “merupakan faktor-faktor yang mendorong sesetengah golongan manusia cuba menggunakan jin dan mempergunakan mereka malah meminta perlindungan serta mematuhi mereka yang akhirnya mereka dirosakkan oleh jin” lebih-lebih lagi terkadang yang disampaikan oleh jin itu kadang kala sesuatu yang benar dan secara kebetulan. Sabda Rasulullah saw yang diriwayatkan dari Aisyah r.anha bahawa sebahagian kaum muslimin bertanya kepada Rasulullah saw tentang peramal . Baginda menjawab “Mereka tidak ada apa-apa”. Mereka berkata “Wahai Rasulullah, terkadang mereka membicarakan sesuatu yang benar”. Maka Rasulullah saw menjawab” Itulah sebuah kalimat kebenaran yang dicuri oleh jin, lalu disampaikan kepada telinga walinya/peramal, lalu wali-wali/peramal-peramal itu mencampurinya dengan seratus kebohongan”.(H.R. Bukahri dan Muslim)

Peringatan

Berhati-hati dengan lelaki tersebut sekalipun dia ada pengetahuan agama. Sekadar pengetahuan agama sahaja tidak cukup dan tidak memadai sebagai ukuran orang itu boleh dipercayai seandainya dia tidak mengamalkannya. Saya juga turut meragui tentang kebenaran dakwaannya yang dia pernah berguru dengan ulama yang terkenal itu. Kalau memang betul dia berguru dengan ulama tersebut dan selalu membaca tafsir karangan beliau sudah pasti dia tidak terlibat dengan dakwaan tersebut kerana ulama tersebut tidak percaya dan tidak mengamalkan pengetahuan yang didakwanya itu. Begitu juga kandungan tafsir tersebut menyenggahi pendirian lelaki yang anda perkatakan itu. Berhati-hati, takut ada udang disebalik mee. Yang paling ditakuti kepercayaan kepada dakwaannya itu boleh menjejaskan kewangan dan membatalkan akidah. Minta dilindungi oleh Allah swt.

Hukum Peramal

Hukum peramal ada diterangkan oleh Rasulullah saw dalam sabdanya yang bermaksud, “Sesiapa yang mendatangi “Urraf” (orang yang mendakwa mengetahui perkara ghaib) dan bertanya kepadanya serta membenarkan perkhabanrnya, maka, tidak diterima solatnya selama empat puluh hari” (H.R. Tirmizi). Sabda Rasulullah saw lagi “Sesiapa yang mendatangi tukang tenung atau “urraf” lalu membenarkan apa yang dikatakannya, maka sesungguhnya ia mengkufuri apa yang telah diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w.”(H.R. Muslim)

Wallahu’alam.