Hari Pekerja 1 May 09

Friday, May 1, 2009

Bergambar bersama-sama dengan YBhg Dato' Hj Talha Hj Abd.Rahman
pada 1 May09 sejurus selesai solat Jumaat di Masjid Ubudiah.

Khutbah Juma’at

Dari semenjak minggu lepas saya telah memasang niat untuk solat Juma’at minggu ini 1 May 09 di Masjid ‘Ubudiah Seksyen 19 Shah Alam. Selain daripada bersolat Juma’at saya juga ingin hendak bertemu dengan Yang Berbahagia Dato’ Hj Talha Hj Abdul Rahman dan keluarga beliau di mana sudah sebulan saya berada di Shah Alam saya belum berkesempatan ziarah beliau dan keluarga beliau. Masjid Ubudiah terletak dalam kawasan perumahan beliau. Sebelum ini saya ada menghubungi Dato dengan telepon. Rasanya itu belum puas, melainkan kalau saya dapat bertemu dan bersua muka dengan beliau dan keluarga beliau kerana keakraban saya dan keluarga beliau sudah semacam sebuah keluarga.

Saya mengenali beliau semenjak tahun 80an lagi ketika beliau menjadi Yang Di Pertua Jais Selangor. Saya kerap berjumpa dengan beliau dalam mesyuarat Majlis Islam seMalaysia di mana ketika itu saya menjawat jawatan Setiausaha Majlis. Beliau seorang yang aktif dalam bidang dakwah dan pernah memegang jawatan yang tinggi dalam NGO-NGO Islam. Dalam setiap persidangan dan seminar kalau beliau hadir, beliau tidak berkeberatan melontar idea-idea beliau yang bernas. Umur beliau sekarang sudah mengjangkau 80. Namun demikian faktor umur dan kesihatan beliau yang sudah agak terjejas tidak menghalang beliau terus berkhimat untuk agama, bangsa dan tanahair..

Alhamdulilah, dengan izin Allah swt saya dengan ditemani anakanda Hafiz telah menunaikan solat Juma’at 1 May 09 di Masjid Ubudiah dan secara kebetulan dia menjadi Khatib dan juga Imam Solat Juma’at pada hari yang tersebut di atas. Selepas solat saya terus bersalam dengan beliau, kemudian beliau mempelawakan saya dan Hafiz dengan diiringi oleh menantu beliau Haji Roslan terus masuk ke dalam bilik khas beliau. Saya difahamkan beliau sebagai Imam Satu di Masjid Abudiah. Di antara isi khutbah yang beliau sampaikan adalah seperti berikut:

1. Islam mewajibkan umatnya berusaha mencari rezeki bagi menampong kehidupan di dunia ini tanpa mengira jenis pekerjaan asalkan bertepatan dengan syari’at Islam seperti disarankan oleh Allah dalam surah al-a'araf: 10

2. Dalam masa mencari nafqah jangan lupa urusan akhirat. Perkara ini dijelaskan oleh Allah dalam surah: al-Qasas: 77

3. Pekerjaan yang dikategorikan sebagai ibadat menurut Imam Ghazali dalam kitab ihya ulumuddin beliau seperti berikut:

• Niat dan tujuan kerja itu mestilah untuk menjunjong perintah Allah swt.
• Kerja yang dilakukan tersebut tidak bercanggah dengan syari’at Allah swt
• Kerja yang dilakukan itu adalah dengan sungguh-sungguh dan tidak memudharatkan.
• Kerja tersebut tidak menghalang daripada menunaikan syari’at Allah swt seperti solat,puasa dan sebagainya.

Asas utama kerja yang dapat diterima sebagai ibadat ialah kerja yang dilakukan dengan niat ikhlas kerana Allah swt. Tanpa ikhlas pekerjaan itu tidak dianggap sebagai ibadah. Selain daripda niat yang suci pekerjaan tersebut tidak bercanggah dengan syari’at Allah swt. Hari ini ramai pekerja mengakui bekerja kerana Allah swt, namun demikian dalam masa mereka bekerja, mereka melakukan perkara yang bertentangan dengan syari’at Allah swt seperti membuka ’aurat, kerja ditempat yang diharamkan seperti tempat perjudian, kelab-kelab malam dan seumpamanya.

Demikian juga terdapat pekerja-pekerja yang tidak menjaga perhubungan dengan Allah swt dan manusia seperti mengamalkan rasyuah, salah guna kuasa, menipu, hasad dengki sesama rakan sekerja dan sering mengadu domba. Mereka ini tergolong dalam golongan mereka yang rugi sebagaimana dinyatakan oleh Allah dalam surah HUD: 15.

Seterusnya supaya pekerjaan itu sebagai satu ibadah, pekerja hendaklah mempastikan kerja yang dilakukan itu dapat memenuhi kehendak pelanggan dan meningkatkan produktiviti serta memenuhi tanggungjawab yang diamanahkan. Setiap pekerja perlu berusaha dengan sebaik mungkin dan sedia menghadapi segala karenah dengan bersikap sabar, tekun, berwawasan dan seumpmanya. Adalah merupakan satu kesalahan jika kerja yang diamanahkan itu dibuat sambil lewa. Islam begitu tegas berkaitan kerja secara bersungguh-sunguh. Sabda rasul yang mafhumnya, ”Sesungguhnya Allah swt suka apabila seseorang di antara kamu melakukan sesuatu pekerjaan ia melakukan dengan tekun dan bersungguh-sungguh.” (H.R.Thabrani)

Apapun kedudukan kita dalam pekerjaan, kita akan dipersoalkan dan akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah swt. Sama ada kita sebagai majikan ataupun sebagai pekerja, kita wajib untuk melaksanakan segala amanah yang dipikul. Kita juga wajib mematuhi segala peraturan dan hukum yang telah digariskan oleh islam.

Wallahu ’aklam.
Shah Alam

0 Komen: