Hukum Orang Kafir Membaca Al-Quran

Friday, April 17, 2009

Berkaitan isu ini, Ustaz Azmi Ahmad berpendapat ulama-ulama silam dalam fatwa mereka lebih terbuka dan berpandangan jauh, berbanding sesetengah golongan yang mendakwa kononnya mereka bertamadun (hadari) tetapi sebenarnya jumud fikiran. Mereka sepatutnya menampilkan islam kepada orang bukan islam dengan gaya yang ramah, bukan dengan nada yang marah. Mendekatkan mereka kepada islam bukan menjauhkan mereka daripada islam.

Ustaz Azmi Ahmad memetik beberapa pendapat ulama-ulama silam yang bermazhab Syafii berkenaan hukum orang kafir membaca al-Quran. Fatwa-fatwa mereka ini boleh dimanfaatkan untuk bertujuan dakwah terhadap non-muslim pada masa kini.

Syeikh Muhammad al-Khatib al-Syarbini menjelaskan: “Adapun orang kafir, maka dia tidak ditegah daripada membaca al-Quran, kerana dia tidak beriktikad tentang haramnya perbuatan demikian, sebagaimana kata al-Mawardi” (Mughni al-Muhtaj, jilid 1 halam 72) Pengarang kitab I’ana al-Talibin telah memetik keterangan dari kitab Busyra al-Karim seperti berikut: “Maka tidak ditegah orang kafir daripada membaca al-Quran, jika dia tidak bersikap menentang dan diharap dia akan memeluk islam” (I’anah al-Talibin, jilid 1 halaman 85)

Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari berkata: “dan hanyasanya ditegah kafir daripada menyentuh mashaf kerana haram menyentuh dia itu terlebih muakkad dengan dalil haram menanggung dia serta hadas dan haram menyentuh ia dengan najis bersalahan dengan membaca Quran kerana harus membaca dia serta hadas dan harus membaca dengan mulut yang kena najis” (Sabil al-Muhtadin, jilid 1, halaman 112)

Syeikh Daud al-Fatani berkata: “dan keluar dengan kata muslim orang kafir maka jangan ditegahkan dia daripada membaca Quran kerana tiada iktikad akan haramnya tetapi jika kita harap akan islamnya” (Bughyah al-Tullab, jilid 1, halaman 49)

Dicatat oleh DRS. KHALIL IDHAM LIM di 7:18 AM

0 Komen: