Berlindung di sebalik...

Friday, April 24, 2009

Dengan menaiki kenderaan saya dan isteri saya melalui beberapa buah bangunan mencari tempat yang ada menawar perkhimatan urut. Saya sebenarnya kurang berminat untuk berurut,lebih-lebih sekarang ini badan sudah semakin menguncup. Tersilap sentuh berkecai tulang dari badan. Makanya saya memilih urutan secara reflexology di mana urutannya tertumpu kepada kedua telapak kaki sahaja. Rupanya berdekatan dengan taman perumahan tempat saya tinggal tidak kurang daripada empat pusat reflexology. Tempatnya begitu cantik, kemas tersusun atur. Setiba sahaja saya di pintu masuk salah sebuah bangunan tersebut seorang gadis penyambut tetamu yang sedang duduk di depan kaunter, bangun berdiri, mengalu-alukan kedatangan saya dan isteri dengan senyum simpulnya, kemudian menerangkan perkhimatan urutan reflexology yang disediakan dengan kadar bayaran yang tertentu. Setelah persetujuan dibuat maka saya pun dipersilakan masuk ke dalam dewan mengurut. Alangkah terperanjatnya saya, saya fikir tukang urutnya lelaki, rupanya seorang gadis cina dari negeri cina yang tidak tahu berbahasa Malaysia dan juga tidak tahu berbahasa Inggeris.

Sedang dia menyediakan alat-alat untuk mengurut seperti bekas air, towel dan lain-lain lagi, saya pangggil pelayan kaunter dan bertanya kepadanya, apakah yang mengurut saya nanti si gadis tersebut? Jawabnya, Ya. Terserentak saya dengan jawapan tersebut lalu mengucap, Astaghfirullah! Saya minta gadis tersebut menyediakan tukang urut lelaki. Dia kata tak ada tukang urut lelaki. Kalau perlu juga dia boleh buat temu janji dengan tukang urut lelaki tersebut. Setelah membuat temu janji dengan tukang urut lelaki ini, maka tertunailah niat saya untuk diurut secara reflexology. Tiga hari saya berulang alek ke pusat tersebut. Nampaknya cara mengurutnya tidak memuaskan hati saya. Lalu saya bagitahu jiran saya apa yang berlaku ke atas diri saya, lalu dia mencadangkan ada suatu tempat yang agak baik kerana dia dan isterinya pernah berurut di tempat yang dicadangkannya itu. Dia pun telepon dan buat temujanji.

Masuk sahaja ke dalam bangunan tersebut, saya dan isteri semakin terpegun dengan indahnya ruang tamu seperti hotel bertaraf tiga bintang. Sejurus sahaja sampai saya terus dibawa masuk ke dalam bilek urut dan tukang urutnya lelaki. Tentunya hal ini telah dimaklumkan oleh sahabat saya ketika membuat temujanji. Saya kagum sekali lagi, begitu selesa kerusi tempat berurut. Lebih cantik dari pusat urut sebelum ini. Cara mengurutnya pun lebih baik dari tempat sebelum ini tapi bayarannya agak mahal, satu jam hamir RM80.00.

Saya beria-ia sangat nak berurut secara reflexology ini atas galakan kedua-dua orang anak saya kerana mereka berdua dah kerap kali berurut secara reflexology dan mereka mendapati ada kesan agaknya. Anak saya yang tua, sejurus baru sampai dari KL pada penghujung bulan Mac 09 dan mendapat tahu saya sudah mula berjinak-jinak dengan reflexology, dia terus membawa saya ke tempat yang terkenal di bandar sekalipun jam telah menunjuk 11 malam. Seperti biasa tukang urut saya seorang lelaki. Setelah hampir 15 minit saya diurut, datanglah empat orang lelaki berbual-bual dengan penyambut tetamu di kaunter. Mereka tak kenal saya dan saya pun tak mengenali mereka. Dari perbualan mereka dalam bahasa inggeris saya dapat menggagak mereka bukan orang tempatan. Tempat saya berurut dengan kaunter pelayan tamu berdekatan. Dari perbualan mereka saya faham mereka minta diurut secara pakej. Apa yang dimaksudkan dengan istilah pakej yang mereka gunakan itu, wallauaklam, saya tidak faham dan nampaknya mereka dah macam pelanggan tetap di situ. Tidak menampakkan kekekokan mereka. Kemudian mereka masuk di bilek khas masing-masing dengan diiringi oleh gadis seramai empat orang sambil tersengih-senggih. Tempat saya berurut terdedah, bukan dalam bilek khas dan tertutup. Biasanya ada empat lima buah kerusi urut. Dan kebetulan waktu saya berurut ditempat sebelum ini dan yang sekarang ini pun saya seorang diri-tidak ada pelanggan lain. Alhamdulillah.

Minggu kedua bulan April 09 setelah saya berada di Shah Alam saya diajak pula oleh anak saya yang tua pergi reflexology di HARTAMAS, tempat anak saya tinggal. Isteri saya ikut sama tetapi tidak berurut, hanya duduk beristirehat di tempat duduk khas yang di sediakan. Di sini tempatnya santai, satu floor sahaja. Tukang urutnya ada uniformn khas. Tempatnya terdedah. Cara mengurut lebih baik dari tempat-tempat yang tersebut di atas. Bayarannya lebih mahal.

Ibrah

Setelah lima kali berurut secara reflexology, Allah belum mengizinkan sakit saya sembuh di mana kedua-dua bahagian paha hingga kedua-dua bahagian betis saya masih rasa tegang/otot terasa keras. Kesannya bila melangkah agak berat sedikit, jalan pun menjadi perlahan. Kencing manis, darah tinggi dan cholestrol semuanya terkawal. Begitu juga bahagian jantong. Yang kurang pada saya ialah senaman sekalipun ringan. Jika sekiranya di antara anda yang ada pengalaman atau tahu pengubatannya sila hubungi saya dengan email awangpon@hotmailcom.

Saya bercadang tidak mengunjungi lagi pusat reflexology seumpama itu. Kalau nak pergi pun mungkin ke tukang urut reflexology di kaki lima. Selain daripada bayarannya murah, tukang urutnya pastinya seorang lelaki seperti yang pernah kita tonton melalui kaca TV. Juga ia dilakukan di khalayak ramai dan sudah pasti ia tidak menimbulkan sebarang fitnah. Walau bagaimanapun saya mendapatinya ada ibrah dan hikmah daripada pengalaman tersebut di atas di mana sebelum ini. Kerajaan telah mengambil tindakan tegas dengan menutup beberapa buah pusat seperti ini yang berselindung dengan nama pusat rawatan kesihatan dan seumpamanya lantaran menyalahgunakan permis dan permit kebenaran yang dikeluarkan untuk tujuan maksiat.

Saya sebelum berurut, sempat juga menjengok-jengok beberapa buah bilik-bilik lain-bilik khas untuk seorang pelanggan sahaja. Dari segi pandangan mata kasar selain daripada pakaian tukang urut perempuan yang memakai pakaian serba pendek, bilik tempat mengurutnya memang memudahkan berlakunya mukaddimah zina (bunga-bunga zina). Sesetengah bangunan tersebut ada yang menyediakan apartment dan hotel. Bisa sahaja, kata orang Indonesia urut mengurut lebih daripada reflexology boleh berlaku di sini.

Cuba anda bayangkan bagaimana keadaan empat orang lelaki muslim yang saya ceritakan di atas tadi jika di urut oleh permpuan yang halal nikah dengannya ditempat yang tertutup dapat mengilak diri daripada perbuatan yang terkutuk itu kalau sudah orang ketiga Syaitan mencelah duduk disamping mereka. Sudah pasti di mana Allah? Di mana maruah Islam di hadapan orang bukan muslim. Di mana kepercayaan yang diberikan oleh seorang isteri, sudah pasti semunya dilupakan. Makanya selain daripada berdakwah kepada mereka yang lalai, bukan sahaja kerana hal yang tersebut sahaja malah dalam hal-hal yang lain juga pihak kerajaan perlu konsisten; mempastikan persekitaran maksiat dan mungkarat dihapuskan, agar tidak menghambat dan menjejaskan usaha dakwah. Peranan amar makruf nahi mungkar hendaklah serentak dilaksanakan. Bukan hanya makruf sahaja digalakkan, sedangkan pintu maksiat dibuka seluas-luasnya. Mana mungkin masalah denggi dapat dihapuskan dengan sekadar penyamburan asap anti denggi kalau punca merebaknya nyamuk denggi tidak bersihkan.

Jadi, anda jangan mudah terpedaya oleh keindahan yang bersifat luaran sahaja. Perlu berhati-hati. Banyak perkara yang berselindung di sebalik nama itu dan ini tetapi ada udang di sebalik mee. Cara mengesannya ialah dengan memantapkan sifat takwa kerana sifat takwa itu semacam radar yang boleh mengesan. Firman Allah yang mafhumnya, "Hai orang yang beriman, jika kamu bertakwa kepada Allah, nescaya Dia akan memberi kepadamu furqan/petunjuk yang dapat membedakan antara yang hak dan batil (S:al-Anfal:8:29). Insya Allah dengan izin Allah banyak lagi perkara yang berselindung di sebalik itu dan ini akan menjadi bahan Dewan Syura akan datang.

Wallahu aklam.

Shah Alam 24.4.09

0 Komen: