Berfikiran Positif Terhadap Allah

Sunday, April 5, 2009

Gambar hiasan. Sebelah kanan saya Allah Yarham Us. Hj Abd Wahab Hj Zakaria,
mantan Pensyarah UTM. Sebelah kanan saya, Sayed Isa bin Smith,Mufti Negara
Republik Singapura sekarang ini dan sebelah kanan Mufti,
Prof. Dato Hj Abd. Shukor Hj Husin,Naib Canselor University Sains Malaysia,
Merangkap Pengeusi J/K Fatwa Kebangsaan Malaysia

Bila melakukan amal ibadat bukan sahaja pahala yang dikejar dan yang dicari tetapi juga pengajarannya agar dapat mencorak pemikiran dan seterusnya tindakan kita namun ia perlu difahami, dihayati dan diamalkan. Dengan cara yang demikian baharulah amalan ibadat tersebut terasa kemanisannya dan sekaigus dapat membentuk akhlak yang mulia dengan Allah swt, dengan sesama manusia dan juga dengan alam persekitaran. Perkara yang cuba diketengahkan DewanSyura kali ini ialah zikrullah yang selalu kita baca setiap kali selepas solat. Malah ia juga selalu kedengaran melalui siaran Radio, Tv, Cd, Dvd dan lain lain-lagi iaitu Subhanallah walhamdulillah walailahaillallah wallalahuakbar. Apakah ianya sebagai hiburan dan halwa telinganya sahaja?

Dalam sebuah hadis dari Amru bin Sy’aib daripada bapanya dan daripada datuknya R.Anhum berkata dia, Rasulullah saw bersabda, "Sesiapa mengucap SUBHANALLAH seratus kali di pagi hari dan seratus kali pada waktu petang adalah sama dengan berbuat haji seratus kali haji dan sesiapa yang mengucapkan ALHAMDULILLAH seratus kali di waktu pagi dan seratus kali pada waktu petang adalah sama dengan dia menyerang dengan seratus kuda untuk sabililllah atau seperti dia berperang seratus peperangan dan sesiapa yang mengucapkan LAILAHAILLALLAH seratus kali waktu pagi dan seratus kali waktu petang maka kelebihannya sama dengan orang yang memerdekakan seratus orang hamba dan siapa yang mengucapkan ALLAHUAKBAR seratus kali waktu pagi dan dan seratus kali waktu petang tidak ada orang yang lebih pada hari itu daripada yang dia lakukan malainkan apabila dia mengucap saperti itu atau lebih daripada itu. (HR. Tarmizi)

Huraian

Subhanallah Ertinya: Mahasuci Allah swt dari segala sifat kekurangan sama ada dari segi zatnya, sifatnya maupun dari segi perbuatannya. Dengan kata lain melalui pengucapan Subhanallah itu, Rasululullah saw mengajar kita supaya membebaskan hati kita, fikiran dan perasaan kita dari sebarang perkara yang negatif terhadap Allah swt. Pengucapan dan penegasan tentang sifat kamilnya Allah itulah yang sering kita ulangi setiap kali kita mengakhiri doa dengan ungkapan surah as-saffaat:37 ayat 180, "Subhana rabbika rabbil ’izzati ’amma yasifuun" yang mafhumnya "Mahasuci Tuhanmu Yang mempunyai keperkasaan dari apa yang mereka katakan." Hal yang sama juga terdapat dalam Surah as-saffaat:37:109 dan surah:al-hasyr:59:23.

Memang wajar zikir subhanallah tidak kering diucap oleh bibir mukmin yang bergelar ulul albab iaitu mereka yang berakal fikiran, yang memahami apa yang tersurat dan tersirat, yang selalu zikir kepada Allah swt pada setiap sa’at samada ketika berdiri, duduk, mau pun ketika berbaring sambil memikir dan memerhatikan serta merenungkan kejadian alam raya. Setelah memerhati dan merenung dengan mendalam tentang alam raya itu mereka tanpa ragu dan dengan penuh keyakinan membuat kesimpulan, "Rabbana ma khalaqta haaza baathila, subhana faqina ’azabannar" (S: ali’Imran:190-192) Mafhumnya: Ya Tuhan Kami, tiadalah Engkau ciptakan ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari siksa neraka."

Semakin maju ilmu sains dan teknologi semakin terserlahlah kebenaran firman Allah yang tersebut di atas baik yang menyangkut paut dengan kejadian ciptaan manusia, makhluk-makhluk Allah yang lain atau hukum hakam halal dan haramnya samada yang berbentuk perintah atau tegahan. Begitu juga tentang sistem ekonominya, politiknya, pendidikannya, kemasyarakatnnya dan seumpamanya, semuanya sempurna. Jadi pengucapan Subhanallah, menolak secara total semua perkara negatif yang tidak layak bagi Allah swt. Maka wajarlah zikir Subhanallah diiringi dan digandingkan dengan ucapan Alhamdulillah sebagai bukti bukan sahaja fikiran kita perlu menolak segala yang negatif tentang Allah malah fikiran kita juga mesti positif terhadapnya. Di antara adab berdoa memulainya dengan alhamdulillah dan disudahi dengan alhamdulillah sebagaimana fiman Allah swt dalam surah:Yunus:10:10.

Pengajaran

Pengajaran dari tahmid/alhamdulillah bukan sahaja sebagai tanda syukur di atas segala nikmat yang dikurniakan Allah ke atas hambanya yang tidak terhingga banyaknya itu, malah ia sekaligus mendidik kita supaya optimtis di atas takdir yang akan menimpa kita, tidak kira baik atau buruk. Buruk pada pada pandangan mata kasar kita sebaliknya ia baik pada Allah swt kerana Allah sahaja yang tahu segala rahsia dan hikmatnya. Bagi orang sufi apa yang didatangkan oleh Allah swt, semuanya baik sekalipun ia kelihatan buruk Sebab ianya datang dari Allah swt. Lantaran itu hati mereka sentiasa tenang dalam situasi macam mana sekalipun. Dengan kata lain, zikir tahmid/alhamdulillah, mendidik kita juga supaya jangan berputus asa bila menerima musibah kerana sikap putus asa adalah sifat orang kafir (S:Yusuf:12:87) Sebaliknya ucapkanlah Alhamdulillah juga sebagaimana ucapan kita bila menerima perkara yang baik dari Allah swt.

Dengan memahami dan meresapkan makna tasbih/subhanallah, kemudian diiringi dengan ucapan tahmid/alhamdulillah menanamkan dalam jiwa kita sikap yang positif, optimis, dan penuh harapan kepada Allah swt bagi masa depan kita. Lantaran itu ucapan tasbih dan tahmid dapat menjadi sumber kekuatan rohani bagi menghadapi karenah pasang surut kehidupan ini; seperti keadaan ramalan cuaca yang tidak pasti, yang kadangkala, disangka panas hingga ke petang, rupanya hujang di tengah hari.

Dengan pandangan yang positif dan optimis kepada Allah, menurut Dr Nurkhalis Majid kita memperolehi sumber energi dan keghairahan hidup ini, pada urutannya, akan membuat kita lebih mampu mengatasi masalah-masalah kita. Kerana itu, iman kepada Allah membuat kita tabah, dan tidak mudah patah semangat dalam perjalanan hidup ini.

Apabila zikir tasbih/subhanallah dan zikir tahmid/alhamdulillah, diikuti pula dengan zikir takbir/Allahhu Akbar(Allah Maha Besar) maka ia memperkuatkan lagi azam dan tekad kita untuk mengharungi lautan hidup ini. Ia seolah-olah semacam pengisytiharaan dan pernyataan: Semua halangan, betapapun besarnya, dapat kita atasi dengan hidayah dan inayah Allah yang Maha Besar, sebab yang lainnya semua kecil belaka. Inilah janji Allah dalam surah at-Thalaq:65:2 yang mafhumnya, "Barang siapa yang bertakwa kepada Allah nescaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar.”

Justeru, ucapan tasbih, tahmid dan takbir kalau difahami dan dihayati dengan mendalam ia dapat membentuk fikiran kita agar berfikir secara positif tentang Allah dan seterusnya terus maju kehadapan bersama-sama dengan Allah swt.

Wallahu aklam bissawab.

0 Komen: