Rasa Kurang Senang Hati Segelintir Rakyat Terhadap Segelintir YB

Tuesday, May 12, 2009

Bergambar pada 10 May 09 dalam majlis makan ringan diadakan oleh
anaknda Syifa untuk bonda tersayangnya Hajah Husna sempena Hari Ibu 09


Rasa Kurang Puas Hati Segelintir Orang Ramai terhadap segelintir YB dan juga terhadap agensi-agensi yang tertentu dalam beberapa perkara.

(Selepas ini bahan blog Dewan Syura tidak akan menemui anda buat seketika, sehingga Allah memulihkan kesihatan saya seperti sediakala. Sama-sama kita berdoa’ agar anda dan saya alfaqir ilalllah dalam keadaan sihat dan dikurniakan kesabaran dan istiqamah dalam menegakkan Addin. Ameen)

Memandangkan saya, tidak menganggotai mana-mana pertubuhan parti politik dan juga tidak pernah hadir dalam rapat umum yang dianjur oleh parti politik yang memerintah atau sebaliknya dan kalau saya bercakap, saya bercakap dengan bahasa dakwah-tidak fanatik kepada orang perseorangan dan tidak juga menerima bulat-bulat sebarang berita yang disampaikan. Yang benar dikatakan benar dan yang salah dikatakan salah. Itulah pendirian saya dan tanda sayang saya dengan sdra seIslam saya. Mungkin kerana sikap saya ini, mereka mudah mendekati saya dan bersimbang dengan saya tanpa ragu-ragu dan rasa takut, untuk meluahkan perasaan terkilan di hati mereka dalam beberapa hal termasuklah karenah segelintir YB dan juga peranan agensi-agensi yang lain dalam beberapa perkara. Mungkin bagi YB dan mereka yang berkenaan perkara yang menyebab mereka mengeluh perkara biasa, perkara remeh temeh tetapi bagi mereka ia suatu perkara yang besar. Di antara keluhan mereka adalah dalam perkara seperti berikut:

1. Kehidupan seharian mereka sentiasa tertekan dan terhimpit kerana barang keperluan makanan terlalu mahal dan tidak terkawal. Mereka kurang senang hati, sebab kerajaan tidak mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang mengambil kesempatan dari krisis ekonomi dunia yang tidak menentu.

2. Harga rumah terlalu tinggi meskipun rumah kos murah mampu milik seperti yang diwar-warkan oleh pihak kerajaan. Mereka mengharapkan polisi Kerajaan sebelum ini dengan mengurniakan sebidang tanah secara percuma kepada mereka yang terlibat dalam penempatan semula (kerana duduk di tanah makruh) dan lain-lain, dikurniakan juga kepada mereka yang tidak terlibat dalam penempatan semula seumpama itu.

3. Ada di antara Yang Berhormat masih jarang menjejak kaki mereka ke Surau di kawasan pilihanraya mereka, untuk sama-sama berjemaah dengan penduduk setempat. Kalau ada pun sekali sekala dan ada yang menjengkoknya hanya waktu pilihan raya sahaja. Bukankah lebih baik Surau/Masjid dijadikan Dewan Suarah/Balai Raya yang kedua untuk bertemu dan bersilaturrahim dengan masyarakat setempat dengan cara yang tidak formal. Jadi YB kena bahagilah masa bertugas dan masa urusan perniagaan jika ada, untuk berjumpa dengan mereka. Bukan semata-mata projek yang mereka harapkan. Seandainya YB dapat bertemu dan berjumpa sambil berandau dengan mereka dalam keadaan bersahaja tanpa terikat dengan protokol, itu sudah merupakan khidmat yang tidak ternilai bagi mereka.

4. Pada kebiasaaannya, kalau ada upacara-upacara kegiatan agama di kawasan Yang Berhormat, maka Yang Berhormatlah yang akan merasmikan pembukaanya. Sekiranya orang lain merasmikannya ia dianggap semacam tidak sah oleh penduduk setempat. Dan pada kebiasaanya juga setelah merasmikannya, YB akan balik tanpa ikut serta dalam program tersebut. Bukankah lebih baik YB turut hadir sama mendengar satu dua slot ceramah sebagai tanda tawadhuk dan juga untuk mengelak dari salah faham dan tanggapan serong masyarakat bahawa peranan YB hanya tukang buka dan tutup upacara rasmi agama sahaja.

5. YB bila bercakap, banyak menyentuh soal pembangunan material. Ini bukan beerti mereka menolak pembangunan. Mereka mahu YB bercakap tentang Islam; persoalan akidah dan iman dan peranannya dalam pembangunan negara. Mereka sudah acap kali mendengar persoalan pembangunan melalui media cetak dan sebagainya, namun yang meraih keuntungan dari pembangunan negara tentulah bukan rakyat merhin seperti mereka. Saya ulangi sekali lagi, mereka kepingin benar pada masa hadapan YB dan siapa sahaja yang bergelar YB bukan sahaja bercakap tentang pembangunan dan seumpamanya malah mereka mengharapkan YB juga bercakap tentang Islam serta menghayatinya. Tugas dakwah bukan tugas para asatizah sahaja, malah tugas semua mukallaf muslim termasuk YB. Percakapan dan kedudukan YB amat besar pengaruhnya. Wajarlah kedudukan itu di manfa’atkan untuk dakwah. Sebagaimana YB sedia maklum, jawatan YB itu bukan suatu keistemewaan tetapi satu tanggungjawab. Maka penuhilah harapan rakyat dengan sebaik mungkin. Rasulullah Sallallah ’alaihi wasallam ada bersabda yang mafhumnya, "Pemimpin suatu kaum itu adalah Khadim kepada mereka. Sila baca tajuk bahan blog sebelum ini seperti Turba: Pemimpin semua peringkat perlu turun kebawah, Lagu Bangau Oh Bangau, Qualiti vs Quantiti, Nak Jadi Pemimpin, Kepimpinan Melalui Teladan dan Pengalaman Saya Ketika Perang Antara Arab dan Israel.

6. Bila tiba musim pilihan raya, surah al-Imran:3:103 adalah surah yang paling popular dan paling banyak diperakatakan oleh YB dan penyokong-penyokong YB iaitu ayat yang menyeru supaya bersatu padu, jangan berpecah belah. Orang ramai tidak menolak pentingnya perpaduan tersebut tetapi mereka masih tertanya-tanya kenapa perpecahan masih terus berlaku. Apakah kerana kegagalan YB dan penyokong-penyokong YB menghuraikan asas-asas dan perkara yang menjadi tunjang kepada perpaduan dalam surah tersebut atau pihak YB masih gagal merealisasikannya sesama sendiri, sehingga tidak berbekas dan berkesan dan tidak menyentuh hati nurani orang ramai, atau YB menyeru orang lain bersatu padu tetapi dalam masa yang sama YB masih melakukan perkara yang tidak disukai oleh orang ramai seperti memonopoli dalam peluang perniagaan dan seumpamanya, yang boleh mengundang kebencian orang ramai sehingga boleh membawa kepada perasaan tidak puas hati dan seterusnya merungkaikan rasa mahabbah dan perpaduan.

7. Adakalanya rakyat biasa terasa terhina, seolah-olah dilayan semacam pengemis dan sebagai kanak-kanak kecil, terutama ketika menjelang pilihanraya di mana berbagai-bagai projek dijanjikan dan diluluskan, Seolah-olah kelulusan projek tersebut mempunyai motif-motif yang tertentu. Ada udang di sebalik mee. Sepatutnya berbuat kebaikan dan kebajikan tidak ada motif lain melainkan kerana Allah dan tidak bermusim.

8. Ada YB yang perihatin dalam masalah dakwah sehingga sanggup mengeluarkan wang peribadinya sebagai saguhati kepada pendakwah untuk menyibarkan dakwah/mengajar asas-asas agama kepada penduduk setempat kawasan pilihanrayanya. Pendakwah ini akan membuat jadual bulanan ke kawasan-kawasannya. Program ini sifatnya bukan bermusim, sama ada waktu pilihan raya atau sebaliknya. Kalau sekiranya sumbangan YB ini dapat dicontohi oleh YB-YB yang lain tentulah amat membanggakan masyarakat.

9. Perananan Jawatankuasa Fatwa ialah membincang perkara yang berkaitan dengan hukum Syarak. Yang kurang menyenangkan hati orang ramai ialah bilamana jawatankauasa tersebut lebih ramai di anggotai oleh mereka yang bukan ahli dalam bidangnya. Ini bukan bertujuan untuk merendahkan kedudukan mereka tetapi semata-mata untuk memelihara imej institusi Jawatankuasa Fatwa. Sekiranya sesuatu keputusan tersebut tidak sebulat suara maka kata pemutusnya adalah undi. Di sinilah dibimbangi keputusan tersebut tidak menyebelahi pihak yang ahli dalam bidangnya sekalipun ianya belum pernah berlaku. Untuk mengelak dari kurang hormatnya orang ramai terhadap Jawatankusasa Fatwa tersebut, memadailah dengan menjemput mereka yang pakar dalam isu-isu yang hendak dibincangkan itu untuk menghuraikannya sebelum diputus hukum-hakamnya oleh Ahli Jawatankuasa Fatwa. Perara ini kalau tak silap saya telah menjadi amalan Jawatankuasa Fatwa Peringkat Kebangsaan.

Begitu juga Jabatan Mufti sepatutnya kewujuannya dapat dirasai oleh masyarakat setempat dan mendepani dalam isu-isu semasa jika ada, seumpama isu khilafiah dan seumpamanya. Ia perlu ditangani bukan oleh orang perorangan sahaja tetapi perlu digerak bersama oleh agensi yang berauthoriti seperti Jabatan Mufti.

10. Masyarakat mengharapkan penyata kewangan Tabung BaitulMal dapat diedarkan secara meluas ke Suaru/Masjid supaya dapat diletakkan di papan kenyataan. Tidak memadai penyebarannya melalui internet dan majalah Al-Mal. Laporan tersebut hendaklah merupakan laporan kewangan yang lengkap. Semua agihan untuk pelajaran dan seumpamanya hendaklah diletak di bawah asnaf fisabilillah-bukan di bawah asnaf fakir dan miskin. Di bawah asnaf fi sabilillah yang berhak menerima bukan sahaja fakir miskin, malah golongan selain daripda itu juga berhak menerimanya.

Asnaf Fakir Miskin wajib dikekalkan. Mereka wajib menerima bahagian mereka untuk keperluan asas seperti makan minum dan seumpamanya. Dalam membuat agihan dana zakat kepada asnaf, Jawatankuasa Pentadbiran Baitul Mal perlu meminta kerjasama dari mereka yang pakar dalam bidang ekonomi Islam/atau tidak pakar tetapi tahu masalah hukum yang berkaitan untuk mempastikan semua agihan menepati hukum syarak.

11. 1/8 wang hasil kutipan zakat fitrah oleh Amil dalam sesebuah kampong hendaklah di bahagi terus kepada Surau atau Masjid. Dengan wang tersebut dapatlah digunakan oleh Jawatankauasa Suaru/Masjid membayar bill api dan air, sagu hati kepada penceramah-penceramah agama dan keperluan-keperluan yang berkaitan dengan institusi tersebut. Sebenarnya sistem ini telah lama diamalkan sebelum diwujudkan Tabong BaitulMal, tetapi telah ditukar ke pembahagian berpusat di mana jika pihak Surau atau Masjid memerlukan bantuan boleh memohon kepada pihak Baitul Mal. Namun demikian prosedur untuk mendapatkannya mungkin agak ketat sehingga ia dilihat oleh segelintir masyarakat menyukarkan institusi berkenaan bagi mendapatkan hak mereka. Jadi pihak Tabung Baitulmal perlu menyerahkan terus agihan bahagian tersebut terus kepada pihak yang tersebut setelah sistem kawalan dalam bagi pengurusan kewangan institusi itu dibangunkan. Saya percaya institusi berkenaan telah faham urusan yang berkaitan kerana sudah banyak kali didedah dengan kursus dan seminar yang berkaitan. Pihak Tabung hanya bertanggungjawab untuk mengaudit akaun institusi tersebut.

Apa yang saya kemukakan ini tujuannya tidak lain selain daripada menghayati surah al-’asri. Sekiranya betul harap sudi jadikan teladan. Sekiranya satu kesilapan harap jadikan sempadan’. Dan saya memohon ma’af jika terkasar bahasa dan kurang beradab dan juga memohon ma’af menggunakan saluran internet ini untuk mengemukakan pandangan sebagai lanjutan juga dari pertemuan secara interpersonal kepada pihak yang berkenaan setelah tidak ada tanda-tanda penerimaan yang positif. Melalui saluran ini sekurang-kurangya mereka yang mengharapkan saya menyampaikan kepada pihak yang berkaitan telah mengetahui saya telah menyampaikan keluhan mereka.

Shah Alam
12 May
Jam 1.30 malam

Wallahu a’lam bissawab.

0 Komen: