Tuesday, January 27, 2009
Kalau sekadar laungan atau retorik semata-mata atau ucapan sekadar untuk memukau pengikut sahaja, nak menjadi pemimpin umat, jauh pangang dari api tetapi insya Allah kalau umat Islam tahu menggunakan kekuatan yang sedia ada yang telah dianugerahkan Allah itu, Insya Allah umat Islam akan menjadi pemimpin, bukan sahaja pemimpin kepada umat Islam, malah menjadi pemimpin umat yang lain. Apakah kekuatan itu? Ikuti penjelasan Prof Dr Yusuf Al-Qardhawi dalam bukunya “الأمة الاسلامية….حقيفة لا وهمyang terjemahannya dalam bahasa Malaysia “Membangun Ummah Suatu Kenyataan bukan Khayalan” yang saya petik sebahagian daripadanya seperti berikut:
Kekuatan Pertama: Ramainya bilangan umat Islam.
Bilangan yang banyak merupakan salah satu faktor kekuatan kerana mereka dapat bergabung tenaga, fikiran dan kemampuan untuk mewujudkan projek-projek besar dengan tenaga yang besar yang mereka miliki. Namun demikian kuantiti semata-mata tidak mencukupi tetapi yang lebih penting lagi adalah kualiti dan kemampuan yang tinggi, sama ada dalam bidang ilmu pengetahuan, fizik, mental, spritual, ekonomi dan ketenteraan. Sebab kaum yang banyak kuantitinya tetapi tidak memiliki kemampuan yang setanding, biasanya menjadi ‘alat permainan” pihak pihak yang ada kepentingan dan juga musuh. Dengan kata lain bilangan yang ramai tanpa kualiti ibarat BUIH ayer bah kata Rasulullah.
Perbezaan antara air yang mengalir di dalam sungai dan air bah adalah: bahawa air sungai mempunyai jalan dan aliran yang jelas dan sudah dikenal pasti arahnya, sedangkan air banjir tidak siapa yang mengetahui dari mana datang, ke arah mana pergi dan jalan mana yang akan dilaluinya. Sebab itu, air banjir hanya dapat merosakkan rumah, bangunan, taman dan kebun, hampir tidak berguna untuk kegiatan pertanian, malahan meranapkan dan memusnahkan. Dan demikian jugalah gambaran ummat Islam di dalam peringkat kelemahannya.
Oleh kerana itu, demi untuk membina dan membangun semula kekuatan umat, dari peringkat kelemahan dan kemundurannya, kita mesti berupaya untuk mempertingkatkan kualiti dan kemampuan kaum muslimin yang sudah cukup banyak dari segi jumlah dan bilangannya. Pusat-pusat pendidikan, pengajaran dan aktiviti-aktiviti pembinaan serta tarbiah mesti terus ditambah, disempurnakan dan ditingkatkan dari masa ke semasa. Sumber daya manusia muslim yang cukup banyak ini mesti terus dibina dan dididik agar menjadi satu kekuatan yang mantap dan berkualiti. Mereka mesti didedahkan kepada tujuan dan matlamat ‘Umat Islam’ yang besar dan agung, iaitu menegakan Shariat Allah di atas muka bumi ini
Kekuatan Kedua: Kekuatan Material
Umat Islam mempunyai kekuatan material dan bidang ekonomi. Mengikut data dan fakta yang ada, Negara umat Islam seluruhnya memiliki dataran yang sangat luas. Jika diusahakan dengan baik dan profesional, maka dataran tersebut boleh digunakan sebagai kawasan pertanian, sama ada untuk sayur sayuran dan pokok buah-buahan ataupun sebagai taman bunga untuk bahan asal pengeluaran minyak wangi dan lain-lain. Dalam perut bumi negeri-negeri umat Islam yang sangat luas itu tersimpan khazanah semula jadi yang telah diberkati Allah s.w.t. untuk kesejahteraan para hambanya yang beriman. Demikian juga di dalam lautan dan samudera nan luas terbentang, tersimpan khazanah dan kekayaan yang berbagai-bagai jenis dan tidak ternilai harganya, mungkin tidak dapat dijumpai di kawasan-kawasan negeri dan jajahan bangsa-bangsa bukan Islam. Minyak bumi, umpamanya, yang menjadi nadi penggerak utama Negara-negara industri kebanyakannya tersimpan di dalam perut bumi negeri-negeri umat Islam. Hingga hari ini kita belum lagi mampu dan tidak memanfaatkan kesemua khazanah yang tinggi nilai ekonomi tersebut dengan cara yang lebih baik kerana keterbatasan kemampuan dan teknologi. Malahan sebahagiannya telah diterokai dan dimanfaatkan oleh pihak-pihak asing.
Kekuatan Ketiga: Kekuatan Rohani.
Kekuatan rohani adalah merupakan salah satu kekuatan yang paling utama dimiliki oleh umat Islam. Kekuatan tersebut bersumber daripada “Risalah Islam” yang telah dianugerahkan Allah s.w.t. yang mempunyai beberapa cirri-ciri khas, di antaranya adalah “Syumul” iaitu mencakupi seluruh aspek kehidupan manusia. Ciri khas yang lain adalah “al-Tawazun” iaitu seimbang, adil dan tidak berat sebelah. Mengabungkan antara unsur-unsur bumi (manusia) dengan perkara-perkara langit, antara unsur-unsur kebendaan dan nilai nilai kerohanian; berhubung kait antara kehidupan dunia dengan akhirat; memperkukuhkan ilmu pengetahuan dengan nilai-nilai keimanan; menambahkan sinaran akal budi dengan cahaya wahyu. Dengan konsep seperti ini, Islam sekaligus memberikan agama kepada manusia, tetapi tidak merampas dunia dari tangan mereka; menganugerahkan keimanan dan ketakwaan, tetapi tidak melarang mereka untuk bergiat cergas memperdalam ilmu pengetahuan; menghubungkan manusia dengan langit, tetapi tidak mencabut mereka dari permukaan bumi; menyuruh manusia menunaikan kewajipan dan tanggungjawabnya, tetapi tidak menafikan hak-hak mereka.
Risalah islam juga mempunyai keistimewaan tersendiri dan berbeza dari lainnya, iaitu; ianya seiring dan sejalan dengan tuntutan fitrah manusia yang suci dan akal yang sihat, menjaga dan memelihara kepentingan manusia; tidak memberatkan dan memberikan kemudahan kepada mereka; membebankan tugas yang sesuai dengan tenaga dan kemampuan insan; mengambil kira semua keadaan dan kondisi kehidupan, apatah lagi keadaan darurat (kecemasan) yang sering berlaku; menyingkirikan kesukaran, bebanan dan kesusahan yang dihadapi manusia. Rujuk (Surah al-akraf:156-157). Keistimewaan risalah Islam yang lain ialah ia menghormati orang-orang yang berbeza keyakinan dan kepercayaan agama. Mereka yang bukan Islam mendapat penghormatan yang sewajarnya sebagai manusia, makhluk ilahi yang mulia; hak-hak asai kehidupan mereka tidak dinafikan ataupun di cerobohi selama mereka berkelakuan baik dan tidak memerangi orang-orang Islam secara terang-terangan. (Rujuk Surah: Hud: 118-119) Dan al-quran telah meletakkan dasar-dasar perhubungan yang sangat bijaksana dan mantap di antara manusia yang saling berbeza keyakinan agama. (Rujuk Surah al-Mumtahanah:8-9)
Seluruh manusia memerlukan dan berhajat kepada satu “risalah Langit” yang suci, lurus, bersih dan penuh dengan kemudahan seperti yang dibawa oleh Al-Islam. Namun demikian ia tidak mampu ditampilkan ke permukaan bumi ini, kecuali oleh umat yang sanggup menjadikannya sebagai satu-satunya cara hidup (the way of life). Dengan itu, barulah mereka mampu menampilkan contoh teladan yang sempurna kepada umat yang lain dan sesuai dijadikan sebagai pedoman dan ikutan yang baik. Apabila mereka tidak mampu menjelmakan al-Islam di dalam semua aspek kehidupannya, bagaimana mungkin mereka akan menjadi contoh teladan dan ikutan bagi yang lainnya? Kerana orang yang yang tidak mempunyai apa-apa, tidak mungkin dapat memberikan sesuatu kepada orang lain. Laksana orang buta yang menjadi penuntun jalan bagi seorang yang celik, pasti si celik tersebut akan mendapat kecelakaan, kerana mahu dituntun oleh si buta..!!. Oleh sebab itulah, menjadi kewajipan dan tanggungjawab seluruh kaum muslimin untuk melaksanakan ajaran Islam secara kaffah (keseluruhan) iaitu menyeluruh dan sempurna, agar mereka beroleh kelayakan untuk menjadi pemimpin ke atas umat yang lainnya di suatu masa nanti.
0 Komen:
Post a Comment