Kepimpinan Melalui Teladan

Saturday, April 11, 2009

Gambar hiasan2007.Barisan ketiga, saya. Dan sebelah kanan saya
sahibulbait Ustaz Sayed Umar Abdullah as-Syathiri bersama-sama
dgn pelajar- pelajarnya di halaqah yang diadakan di rumah beliau
di Subang Jaya.Bersyukur kpd Allah kerana mempertemukan saya
dengan beliau setelah sekian lama berpisah. Kemana tumpah kuah
kalau tidak ke nasi. Almarhum abahnya seorang ulamak yang tersohor
di Singapura. Pernah menjadi guru kpd saya, waktu saya belajar
di Aljunid Singapura. Semuga Allah mencucuri rahmat ke atas ruh almarhum.Ameen.
Sayed Umar pernah berkubur di bawah runtuhan rumah yang disewanya
beberapa hari ketika rumah yang disewanya runtuh waktu belajar di Madinah.
Ramai pelajar yang menemui ajal termasuk tiga orang pelajar dari Singapura

Juma’at 14 Rabiulakhir 1430 bersaman dengan 10 April 09, saya tidak ada pilihan lain melainkan solat Juma’at di Surau Hijrah yang berhampiran dengan Kota Kemuning Hill, Shah Alam. Jaraknya tidak jauh dari tempat saya tinggal,lebih kurang 10 minit sahaja dengan menaiki kenderaan kereta. Tajuk khutbah Juma’at Khatib pada hari yang tersebut ialah kepimpian melalui Teladan. Di antara kandungan khutbah Jumaat tersebut adalah seperti berikut:

Tidak ada kepimpinan yang terbaik melainkan kepimpinan Rasulullah saw sebagaimana di tegaskkan oleh Allah swt dalam surah:al-Ahzab:21 yang mafhumnya, "Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah saw itu contoh ikutan yang baik.”

Kepimpinan yang berlandaskan keimanan kepada Allah serta menghayati sunnah Rasululllah saw mampu mendekatkan pemimpin dengan masyarakat dan mampu menjalinkan hubungan yang harmoni dengan semua peringkat masyarakat. Dengan yang demikian menyebabkan rakyat menghormati dan menyanjung pemimpin berkenaan. Rasulullah saw telah mewariskan model kepimpinan baginda kepada para sahabat dan umat seluruhnya.

Saidina Umar Ibnul Khattab telah menterjemahkan kepimpinan Rasulullah saw ketika menjadi Khalifah makanya beliau sangat disayangi oleh rakyatnya kerana tanggungjawabnya yang luar biasa. Di dalam suatu peristiwa ketika beliau sedang meronda di sekeliling kota pada waktu malam untuk meninjau kehidupan rakyatnya, beliau terdengar tangisan kanak-kanak yang sedang kelaparan, sedangkan ibunya tidak mempunyai apa-apa untuk dimasak. Ibu tersebut terpaksa berpura-pura memasak dengan memasukkan beberapa ketul batu ke dalam periuk supaya anak itu akan berhenti menangis.

Melihat suasana yang menyayat hati itu, maka Khalifah Umar Ibn Khattab telah membawa beberapa guni gandum dan memasak sendiri untuk ibu dan anak yang kelaparan tadi. Perbuatan Khalifah Umar Ibnu Khattab mendapat pujian dari wanita tersebut tanpa mengetahui bahawa orang yang menolongnya tadi adalah pemimpin besar Islam yang disegani ketika itu. Kita yakin sikap bertanggungjawab pemimpin seperti yang ditunjukkan oleh Khalifah Umar Al-Khattab sudah pasti dihormati, disanjungi dan disayangi oleh rakyat. Hakikatnya semua manusia adalah pemimpin sebagaimana ditegaskan oleh sabda Rasulullah saw yang mafhumnya, "Setiap kamu adalah pemimpin, dan setiap kamu akan dipertanggungjawabkan darihal pimpinannya.”

Ciri-ciri seorang pemimpin.

1.Berpegang teguh dengan dasar hidup dan dasar perjuangan yang benar. Dalam konteks umat Islam mestilah mereka yang berpegang teguh dengan akidah dan perjuangan Islam sebenar. Mereka bukan pengikut fahaman ’asabiah jahiliah atau fahaman Islam Liberal atau fahaman selain daripada Islam sebagaimana firman Allah dalam surah:Az-Zukhruf:43:43 yang mafhumnya, "Dengan yang demikian, berpegang teguhlah engkau kepada al-Quran yang telah diwahyukan kepadamu, kerana sesungguhnya engkau berada di atas jalan yang lurus.”

2. Penghayatan budaya Ilmu Syarat ini perlu dipenuhi oleh setiap individu yang bergelar sebagai pemimpin. Segala tindak tanduk dan corak kepimpinan mestilah bersandarkan ilmu lebih-lebih lagi dalam suasana cabaran globalisasi hari ini. Firman Allah dalam surah:Az-Zumar:39:9 yang mafhumnya, "Katakanlah: Adakah sama orang yang mengetahui dengan orang yang tidak mengetahui? Sesungguhnya orang-orang yang dapat mengambil pelajaran dan peringatan hanyalah orang-orang yang berakal sempurna.”

3, Mengikut syari’at dan akhlak islam, seorang pemimpin terikat dengan peraturan-peraturan Islam dan boleh terus memegang kepimpinan selagi ia mengikut perintah Allah swt. Semasa mengendalikan urusannya ia mesti patuh kepada adab-adab Islam, khususnya ketika berurusan dengan rakyatnya. Firman Allah dalam surah al-Ahzab:33:36 yang mafhumnya, "Dan tidaklah wajar bagi lelaki dan perempuan mukmin apabila Allah dan Rasulnya menetapkan keputusan mengenai sesuatu perkara (tidaklah wajar mereka) mempunyai hak memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka. Dan sesiapa yang tidak ta’at kepada hukum Allah dan Rasulnya sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang jelas nyata.”

4. Keterbukaan dan menerima pandangan yang baik. "As-samahah" iaitu bersifat terbuka dan mengamalkan dasar bersedia menerima kritikan, bersedia mendengar, menerima pandangan, berbincang, menerima teguran dan mengamal pentadbiran dengan cara muwafakat dan mesyuwarah. Sebagai pemimpin ia memiliki keyakinan diri, kental dan tidak merasa terancam dengan pandangan-pandangan dan saranan orang lain sebagaimana mafhum dari firman Allah dalam surah az_zumar:39:18, "Yang berusaha mendengar perkataan-perkataan yang sampai kepadanya lalu mereka memilih dan menurut akan yang sebaik-baiknya (pada segi hukum); mereka itulah orang-orang yang diberi hidayah petunjuk oleh Allah swt dan mereka itulah orang-orang yang berakal.”

5. Pemimpin yang santiasa bermuhasabah. Pemimpin yang cemerlang ialah pemimpin yang sangat kerap membuat penilaian terhadap tugas dan tanggungjawab serta memiliki tahap-tahap pencapaian dan natijah atas hasil usahanya. Tujuan penilaian dibuat ialah untuk mencari kelemahan-kelemahan supaya diperbaiki dan untuk melihat kejayaan yang boleh dipertingkatkan. Saidina Umar RA berkata,yang mafhumnya, "Hisablah diri kamu sebelom kamu dihisab.”

6. Pemimpin yang sanggup berkorban dan tidak mementingkan diri. Pemimpin yang cemerlang ialah pemimpin yang prihatin terhadap kepentingan rakyat umum. Dalam melaksanakan tugas beliau dapat membezakan kepentingan diri atau keluarga dengan kepentingan umum. Firman Allah dalam surah al-Hasy:59:9 yang bermaksud, "Dan mereka juga mengutamakan orang-orang yang berhijrah itu lebih daripada diri mereka sendiri, sekalipun mereka dalam kekurangan dan amat berhajat. Dan ingatlah, sesiapa yang menjaga serta memelihara dirinya daripada dipengaruhi oleh tabi’at bakhilnya, maka merekalah orang-orang yang berjaya."

0 Komen: