Pengalaman saya ketika perang di antara Arab-Israel

Tuesday, February 17, 2009

Pengalaman saya ketika perang di antara
Arab-Israel 5-10 Jun 1967 (Perang 6 Hari)

Tempoh saya berada di bumi Anbia-Mesir, empat tahun lebih, sebanyak sedikit telah meninggalkan kenangan manis dan pahit dalam kehidupan saya. Manisnya ialah seorang budak kampung dari Malaysia Timur dari keluarga fakir bin miskin telah berjaya menyeberangi laut China Selatan dan seterusnya ke Mesir untuk menimba ilmu dengan berbekalkan semangat jihad ilmu. Mengikut keratan akhbar Sarawak Tribune 9.Jan 1966, sama ada betul atau sebaliknya laporan tersebut, saya dianggap orang yang pertama dari keturunan Melayu yang belajar di Mesir. Hal ini pernah saya ceritakan kepada anak-anak saya ketika mereka masih kecil sama ada mereka masih ingat atau sebaliknya. Pun perkara yang serupa saya ulangi semula kepada generasi-generasi muda supaya kemiskinan tidak menjadi penghalang cita-cita murni dan supaya mereka menjadikan sabda Rasulullah saw berikut “Man Jadda wajada.”. Ertinya: “Siapa bersungguh-sungguh dia dapat”. Sebagai suntikan semangat.

Ongkos penerbangan dari Malaysia Timur Ke Mesir terpaksa IOU dengan seorang hamba Allah kerana Kerajaan pada ketika itu termasuk Majlis Islam Sarawak tidak ada mengeluarkan sebarang biasiswa maupun dermasisiwa. Apabila setelah berada di Mesir dalam beberapa bulan baharulah saya mendapat biasiswa dari pihak university al-Azhar. Biasiswa tersebut hadiah daripada pihak Universiti setelah saya berjaya menduduki temuduga biasiswa yang diadakan di Kedutaan Besar Republik Arab Mesir Bersatu di Kuala Lumpur. Untuk makluman anda kebanyakan pelajar-pelajar dari seluruh dunia yang belajar di Universiti tersebut dibiayai oleh Kementerian Waqaf Al-Azhar. Biasiswa sebanyak Pound Mesir 12 sekadar keperluan makan minum,buku teks dan wang saku. Syukur alhamdulillah ketika di Mesir tinggal di Asrama Pelajar-pelajar Melayu, yang dibina oleh Kerajaan Malaysia banyak meringankan bebanan saya di mana bayaran asramanya murah tanpa mengurangi segala kemudahan asrama dan makan minum. Cukup mewah dan selesa.

Beberapa orang pelajar-pelajar Malaysia beranggapan saya datang dari keluarga yang berada, maklum sahajalah Malaysia Timur terkenal dengan kayu balaknya. Siapa tahu beberapa helai baju yang dibawa dari Malaysia termasuklah baju sejuk yang saya beli dari Sungai Road (tempat jualan baju-baju terpakai). Baju itu jugalah yang saya bawa pulang ke Malaysia. Hanya saya agak bernasib baik ada beberapa orang sahabat dari PAHANG yang senasib dan sepenangungan dengan saya, ketika mereka berada di Mesir mendapat biasiswa dari kerajaan mereka. Apabila mereka makan di luar, mereka ajak saya makan bersama di Restaurant yang agak terkemuka di Bandar Kaherah. Mungkin itulah di antara sebabnya mereka menganggap saya dari keluarga yang berada.

Cerita yang sama juga berlaku ke atas saya, ketika saya menuntut di Singapura awal tahun 60an di mana tahun pertama saya belajar di Singapura, bantuan kewangan dari keluarga berjalan dengan lancar tetapi pada tahun berikutnya ada sedikit masalah, namun patah dan undur kebelakang kerana kesempitan kewangan, pantang dalam kamus hidup saya, kerana saya berkeyakinan jika prestasi pelajaran baik, Allah akan membuka jalan kelapangan. Benar! Segala-segalanya benar, tidak ada yang tidak benar, melainkan benar belaka, maka dengan izin Allah, Allah Yarham Tuan Haji Othman Abd. Ghani, yang pernah dipenjara kerana memperjuangkan nasib Natrah, tuan punya Jublie Restaurant di North Bridge Road Singapura, dengan murah hati memberi makan minum secara percuma kepada saya, pagi, tengah hari dan petang dengan sokongan Allahyarham Al-‘ellamah Abdullah Bilfeqih, mudir Madrasah Aljunid. Bayangkan siapa sangka saya orang miskin, keluar masuk, pagi, tengah hari dan petang makan di Restaurant tersebut sekalipun berlauk semacam sahaja dengan sedikit sayur. Begitu juga tuan rumah almarhum Tuan Hj Salleh Hj Ali (Wak Alih) tempat saya tinggal juga dengan ihsannya tidak mengenakan saya sebarang sewa. Saya hanya dikehendaki membersih rumah tersebut dan pejabat nya di tingkat bawah. Keluasan bilik rumah di tingkat atas saya dan beberapa orang pelajar yang senegeri dengan saya tinggal, tidaklah sebesar mana, boleh memuat 6 buah katil. Di atas katil itulah tempat tidur, dan di atas katil itu jugalah tempat belajar dan bersembang.

Berbalik kepada pengalaman hidup di Mesir, bunyi bising dari jet-jet pesawat tentera udara Angkatan Tentera Mesir yang terbang di atas bangunan Asrama Pelajar-Pelajar Melayu adalah perkara biasa saja kerana secara kebetulan bangunan Asrama tersebut tidak bagitu jauh dari pangkalan tentera udara Mesir. Beberapa hari sebelum perang, saya telah menonton melalui TV dan surat-surat khabar bahawa Mesir telah menghantar beratus-ratus buah kereta kebal dan tenteranya ke sempadan sebagai persiapan untuk menyerang Israel. Lagu-lagu patriotik sentiasa berkumandang ke udara.

Pada hari terakhir saya menduduki peperiksaan, kedengaran bunyi bedilan meriam bedentan dentum. Saya pun menganggap itu hanyalah sebagai latihan juga. Tiba-tiba cermin tingkap bilik kuliah pecah berderai. Rupanya bukan latihan tetapi ruang udara Bandar Kaherah telah diceroboh oleh tentera udara Israel. Bunyi tembakan itu tadi rupanya datang dari pihak tentera Mesir untuk menghalau kapal terbang tentera Israel keluar dari ruang udara Mesir. Punca pecahan kaca jendela bangunan kuliah itu tadi ialah kerana tekanan udara yang kuat yang datang dari pesawat Jet kapal terbang Phantom Israel yang terbang di atas ruang bangunan Universiti. Pada hari tersebut saya terpaksa berjalan kaki balek ke asrama kerana semua pengangkutan awam tidak beroperasi. Dalam perjalanan pulang saya nampak kapal terbang kejar mengejar, samada kapal terbang Mesir mengejar kapal terbang musuh tidaklah saya mengetahuinya. Katanya, sama ada benar atau tidak, kalau tentera Israel hendak menawan Bandar Kaherah pada masa tersebut ia boleh melakukannya tetapi kenapa tidak?

Setelah perang berlaku 6 hari, yang lebih dikenali dengan Harab Alayam As-sittah, Mesir, Jordan dan Suria yang bersama-sama memerangi tentera Israel telah kalah di tangan Israel. Dengan kekalahan tersebut Israel telah menawan beberapa wilayah baru dan dengan sendirinya semakin luaslah kawasan negeri Israel. Keterangan lanjut sila lihat di bawah:



Ketika peperangan sedang berlaku warga Mesir dalam keadaan bimbang, takut dan cemas. Kehidupan harian mula tidak menentu. Siang hari terpaksa berkurung dalam rumah kecuali masa-masa tertentu dibenarkan keluar rumah. Pada malam hari, jalan raya gelap gelita. Jendela-jendela rumah mesti ditutup rapat dan cermin-cerminnya mesti ditutup dengan apa sahaja benda yang boleh menghalang cahaya tembus dari lubang-lubang tingkap. Sedikit sahaja cahaya kelihatan dari celah-celah tingkap, pasukan-pasukan pertahanan awam yang meronda di jalan-jalan raya akan segera memberi ingatan melalui pembesar suaranya agar tingkap-tingkap tersebut segera ditutup. Bila siren semboyan berbunyi, tanda kapal terbang musuh memasuki ruang udara Mesir, maka masing-masing saya dan sahabat-sahabat yang lain terdiam dengan mulut, terkumat kamit, masing-masing berdoa mendoa semoga Allah menjauhkan diri dari segala malapetaka. Suatu malam ledakan bom jelas kedengaran dan menggegar bangunan Asrama. Saya agak tentulah lapangan terbang angkatan tentera yang menjadi sasaran musuh.


Memang benarlah peringatan Rasulullah saw bahawa peperangan jangan dicari. Demikian murninya konsep perang dalam Islam. Perang dalam Islam bukan menjadi amalan. Ia tidak lebih dari mempertahankan diri dan demi hak dan keadilan. Padah dari peperangan bukan sedikit. Ia melibatkan harta dan nyawa. Lihat sahajalah sebagai contoh dengan kalahnya tentera Mesir, Jordan dan Suria di tangan tentera Israel dalam masa enam hari sahaja, telah banyak mengorbankan nyawa dan harta benda dan juga berlakunya penaklukkan baru ke atas wilayah-wilayah Arab dan sekaligus meluas lebar kawasan tanah Israel.


Bumi Pelastin Tinggal
Sekengkang Kera

Bumi Palestin dari segi sejarahnya adalah hak mutlak kaum Arab dari Bani Kan’an. Mereka datang dari Jazirah Arab sekitar 25000 tahun S.M. tetapi sekarang kawasan bumi Palestin semuanya telah menjadi milik orang Yahudi. Selebihnya masih dikuasai oleh Arab Pelastin tetapi ianya tidaklah sebesar mana, sekadar Sekengkang Kera. Lihat dibawah peta bumi Palestin dahulu dan sekarang. Besok entah bagaimana Kenapa terjadi demikian? Tidak lain kerana Zionis Yahudi dan kuncu-kuncunya dan kelemahan Arab/Muslim juga. Mudah-mudahan Allah menyelamatkan bumi Palestin dan para Mujahid Islam, di Gaza dan di mana-mana. Ameen.

Ibrah Dari Palestin


Penguasaan ke atas bumi Palestin memang jelas kepada kita permainan secara kasar oleh Zionis Yahudi dan kuncu-kuncunya tetapi di sana masih banyak lagi cara berseni untuk mereka menakluki Dunia Islam dan umatnya seperti yang dimuatkan dalam Protokol Zionis Yahudi.


Tidak kurang pentingnya yang perlu kita ambil perhatian ialah serentak dengan pembangunan yang sedang rancak dijalankan oleh kerajaan, harga tanah pun naik melonjak, maka ramailah peminat-peminatnya yang akan berjumpa dengan anda untuk membelinya. Kalau memang dirasakan anda perlu menjualkannya anda perlu mendapat nasihat dari orang yang arif tentang kandungan perjanjian jual beli atau nak join venture membangun tanah tersebut, perlu mendapat nasihat dari orang yang ikhlas, supaya tidak berlaku penipuan dan sekaligus mengelak tanah tersebut jatuh ke tangan orang yang tidak bertanggungjawab. Jangan terjadi; harapkan pagar, pagar makan padi. Apalah ertinya kita anak merdeka tetapi bumi tempat kita berpijak suatu hari nanti terlepas di tangan orang. Inilah yang selalu diperingatkan oleh pemimpin-pemimpin kita.

0 Komen: