Mati dalam tidur

Thursday, February 19, 2009

Mati dalam tidur

Dalam buku “La Tahzan” /Jangan Bersedih/Don’t be sad/ tulisan Dr. ‘Aidh al-Qarni menceritakan tentang kisah seorang ibu dengan anaknya. Cerita ini dimuat dalam surat khabar Al-Qasim. Ceritanya begini; seorang pemuda dari Negeri Dimasyk-Suria akan pergi ke sebuah negeri dengan menaiki kapal terbang. Sebelum tidur dia telah berpesan kepada ibunya supaya mengejutkannya pada jam yang telah ditetapkan supaya dia tidak terlepas penerbangan tersebut. Secara kebetulan si ibu terdengar siaran dari Radio yang menghebahkan tentang cuaca kurang baik dengan anginnya bertiup kencang, langit mendung serta ribut pasir. Apabila telah sampai waktu yang yang si ibu sepatutnya mengejutkkan anaknya itu dari tidur, tetapi dia tidak melakukannya kerana bimbang, kalau anaknya naik kapal tersebut, dikhuwatiri kapal terbang tersebut akan terhempas dik cuaca buruk dan sekaligus menyebabkan anaknya akan terkorban. Setelah si ibu yakin waktu penerbangannya telah berlalu dan kapal terbang telah berangkat, baharulah si ibu mengejutkkan anaknya. Ternyata ketika mengejut anaknya, si anak telah meninggal dunia di atas tempat tidurnya-bukan meninggal kerana kapal terbang terhempas.


Ibrah dari cerita tersebut.

Benarlah firman Allah “ قل إن الموت الذى تفرون منه فإنه ملاقيكم

Ertinya: Katakanlah: “Sesungguhnya kematian yang kamu lari daripadanya, maka sesungguhnya kematian itu akan menemui kamu” (S:al-Jumu’ah:67:8)


Mati akan datang kepada kita tanpa dijemput atau diundang. Ia pasti akan datang. Kedatangannya tidak akan dapat ditempoh. Tidak ada baginya pilih kasih sama ada pemimpin negara atau rakyat biasa sama ada si kaya maupun si miskin, sama ada si Muslim atau si Kafir, tidak mengenal usia, waktu, maupun penyakit, baik di mana kita berada sama ada kita bersembunyi atau sebaliknya. Apabila tiba masanya ia akan tetap menjemput kita. Firman Allah “أينما تكونوا يدرككم الموت ولو كنتم فى بروج مشيدة

Ertinya: “ Di mana sahaja kamu berada , kematian akan mendapatkan kamu, meskipun kamu berada di dalam benteng yang tinggi lagi kokoh” (S: an-Nisak:4:78)


Sikap manusia terhadap mati


Apabila kita menyebut perkataan mati, dua sifat yang bertentangan akan kita dapati pada sesorang itu; sikap ngeri dan takut dan sifat yang satu lagi ialah sifat redha menerima takdir daripada Allah swt. Bagi mereka yang beriman dan beramal salih, soal mati adalah satu hal yang dinanti-nati dan dirindui kerana dengan kematian itu mereka akan berjumpa dengan Allah swt, Tuhan yang Amat Pemurah dan Penyayang yang mengurniakan segala nikmat-nikmat yang tidak pernah mereka rasai sewaktu hidup dalam dunia di mana mereka juga terlepas daripada hidup di dunia yang penuh dengan tipu daya dan akan berada di dalam dunia yang kekal abadi. Sebaliknya bagi mereka yang ‘aasi/yang melakukan maksiat kepada Allah swt seperti tidak solat dan beramal salih sangat takut dengan mati-takut kerana belum ada bekalan untuk di bawa dengan Allah swt. Juga dia takut mati kerana masih sayangkan harta, isteri dan anak-anak yang akan ditinggalkannya atau dia takut mati kerana tergambar dalam fikirannya seseorang yang mati itu kaku terbujur, pucat lesu tidak berdarah. Juga dia takut mati kerana dia akan dimasukkan kedalam kubur, ditimbus dengan tanah, bertilamkan tanah, bertemankan cacing, kemudian ditinggalkan seorang diri tanpa teman dan kawan yang akan menemaninya.

Apakah mati itu?

Apabila bercerai roh dari badan, maka itulah sa’at kematian bagi seseorang akan tetapi kematian itu sebenarnya bukanlah penyudah hidup seseorang hamba itu atau dengan kata lain; kematian di dunia ini bukan lah mati buat selama-lamanya, sebaliknya dengan kematian itu dia akan menempoh kehidupan yang kekal abadi. Tegasnya kematian hamba Allah sewaktu di dunia ini tanda-tanda bermulanya hidup di akhirat yang kekal abadi iaitu alam kubur. Dengan kematian itu kembalilah manusia ke anasir kejadiannya ia itu dari tanah dia datang, dan ke tanah jugalah dia akan di kembalikan.

Firman Allah “ منها خلقناكم وفيها نعيدكم ومنها نخرجكم تارة أخرى

Ertinya: “Dari bumi(tanah) itulah Kami menjadikan kamu dan kepadanya Kami akan mengembalikan kamu dan daripadanya Kami akan mengeluarkan kamu pada kali yang lain” (S:Thaha:20:55)


Syuhadak di Ghazah korban Zionis Yahudi

Selalu mengingat mati

Biarpun kematian itu satu hal yang tidak menarik bagi segelintir orang malah ada yang menganggap dengan mengingatinya akan membawa kepada kemunduran tetapi pendirian Islam sebaliknya, “dimana mereka yang lalai terhadap mati, tidak peduli, dan jarang memikirkannya serta tidak beramal baik sebagai persiapan untuk menghadapi kematiannya adalah musibah yang lebih besar dari musibah kematian itu sendiri” (Imam Syahmsuddin al-Qurtubi).malah menganjurkannya, sabda Rasulullah saw; “ أكثروا من ذكر هازم اللذات يعنى الموت”

Ertinya: Sering-seringlah kamu mengigati perkara yang memutuskan segala kelazatan”.

Sabda Rasulullah saw lagi : يا رسول الله أي المؤمنين أفضل قال أحسنهم خلقا قال فأي المسلمين أكيس قال أكثرهم الموت ذكرا وأحسنهم لما بعده استعدادا أولئك الاكياس”

Ertinya: “Wahai Rasululah saw, orang mukmin manakakah yang paling utama?. Beliau menjawab, “Orang yang paling baik akhlaknya.” Orang itu bertanya lagi, “Orang muslim manakah yang paling cerdik?” Beliau menjawab. "Orang yang paling banyak mengingati mati, dan paling baik persiapannya untuk kehidupan setelah mati. Mereka itulah orang yang paling cerdik”.


Cara mengingatinya, bukan dengan sekadar duduk termenung sambil menggambarkan sa’at-sa’at kematian yang akan ditempohi tetapi dengan beberapa cara. Di antaranya ialah dengan sama-sama melakukan soat jenazah, mengsusung mayat ke kubur, menziarahi kubur, memberi mandi mayat , menghadapi orang yang sedang nazak dan seumpamanya. Dengan cara yang demikian akan terdetiklah hati dengan suara halusnya: “Beginilah keadaanku bila tiba sa’at nya nanti”

Menginginkan mati dan berdoa supaya mati dibolehkan dengan syarat bukan kerana kecewa dan putus asa disebabkan musibah yang menimpa Sabda Rasulullah saw yang berbunyi: “ لا يتمنين أحدكم الموت لضر نزل به فإن كان لا بد متمنيا فليقل أللهم أحيني ما كانت الحياة خيرا لي وتوفني إذا كانت الوفاة خيرا لي

Ertinya: “Sekali-kali jangan ada seorang pun dari dari kamu sekalian yang menginginkan mati sebab bencana yang menimpanya. Kalaupun terpaksa menginginkannya, maka ucapkanlah, “Ya Allah, hidupkanlah aku, jika hidup akan lebih baik bagiku, dan matikanlah aku, jika mati akan lebih baik bagiku”.

(H.R. Al-Bukhari dan Muslim)


Jenazah almarhumah Hajah Nafisah Hj Yusuf

Hikmah mengingat mati

1. Menurut Imam Syamsuddin al-Qutthubi dalam kitabnya At-Tazkirah fi ahwalil mauta waumulul aakhirati, ia boleh menimbulkan rasa gelisah ke atas negeri yang fana ini (dunia), lalu mengarah kepada negeri yang abadi pada setiap detiknya.

2. Manusia tidak terlepas dari dari dua keadaan; sempit atau lapang, nikmat atau bencana. Jika dia dalam keadaan sempit dan sedang mendapat bencana, maka dengan mengingati mati menjadikannya terasa ringan menghadapinya. Kerana dia tahu bahwa hal itu tidak akan kekal dan bahawa mati lebih berat daripada semua itu. Atau, jika dalam keadaan nikmat dan sedang mendapat kelapangan, maka mengingati mati itu akan mencegahnya dari kesombongan atau keterpedayaan terhadapnya, kerana ingat bahawa semua itu boleh terputus darinya.

3. Ad-Daqqaq berkata: “Barangsiapa sering mengingati mati, maka dia diberi tiga macam kemuliaan: Segera bertobat, kepuasaan hati, dan semangat beribadah. Dan barangsiapa melupakan mati, dia diberi tiga macam balasan; Menunda Tobat, tidak rela menerima rezeki yang cukup dan malas beribadah”.

4. Boleh menimbulkan sifat takwa yang mendalam untuk menjunjung titah perintah Allah swt dan meninggalkan segala larangan dan tegahannya kerana yang menjamin kebahagiaan hidup yang hakiki ialah amalan akhirat. Kalau amalan akhirat menjadi paspot untuk masuk ke syurga, sedang yang lain-lainnya tidak dapat menyelamatkannya dari siksaan Allah swt, maka sudah barang tentu bagi mereka yang waras fikirannya akan berikhtiar mencari jalan bagi menyelamatkannya. Jalannya tidak lain melainkan dengan amalan akhirat. Biarpun harta menggunung tinggi, anak berkeliling pinggang, berpangkat tinggi, kalau diri sendiri miskin dengan amalan-amalan ibadat akhirat, kesemuanya itu tidak akan dapat menolongnya sewaktu berada di alam kubur dan seterusnya di alam yaumil makhsyar nanti. Sabda Rasulullah saw “ يتبع الميت ثلاثة فيرجع اثنان ويبقى واحد يتبعه أهله وماله وعمله فيرجع أهله وماله ويبقى عمله”

Ertinya: Mayat akan dihantar sampai ke kuburnya oleh tiga hal; Yang dua pulang (ke rumah) dan hanya satu yang tetap bersamanya. Yang menghantarnya ialah keluarganya, hartanya dan amalannya. Keluarga dan hartanya pulang, dan yang tetap bersmanya hanya amalannya”.(H.R. Bukhari dan Muslim)

5. Dengan mengingat mati sesorang itu akan bersungguh-sungguh berusaha untuk memperbanyakkan hartanya untuk diwarisi oleh anak isteri dan keluarga yang akan ditinggalkannya supaya keadaan hidup mereka tidak melarat sewaktu peningalannya nanti dan ianya akan menjadi ongkos terutama oleh anak-anak yang masih kecil untuk perbelanjaan persekolahannya nanti dan seumpamanya dan harta yang ditingalkan itu nanti boleh diinfakkan oleh keluarganya untuk kegiatan-kegiatan amal salih yang pahalanya akan dikecapi berterus-terusan dari dunia sampailah kealam akhirat nanti dan menjadi kenangan manis masyarakat sepanjang zaman.

Apabila kebaikan meniti di bibir masarakat ia semacam zikir dan dengan sendirinya umur diri tetap panjang sekalipun diri sudah berda di alam kubur. Jadi meninggalkan nama yang baik kerana amalan itulah hakikatnya apa yang dikatakan umur yang panjang. Nabi Allah Ibrahim pernah memohon kepada Allah swt supaya dia selalu dingat kebaikannya oleh orang lain.


Kesimpulan dan ibrah dari kematian


Keimpulan yang dibuat oleh Dr.’Aidh al-Qarni tentang kisah mati adalah seperti berikut: وعلى العبد أن يتذكر دائما أنه يحمل الموت وأنه يسعى الى الموت، وأنه ينتظر الموت صباح مساء، وما أحسن الكلمة الرئقة الرائعة التى قالها علي أبى طالب –رضى الله عنه- وهو يقول: ان الاخرة قد ارتحلت مقبلة، وإن الدنيا قد إرتحلت مدبرة، فكونوا من أبناء الاخرة ولا تكونوا من أبناء الدنيا، فإن اليوم عمل ولا حساب ، وغدا حساب ولا عمل. وهذا يفيدنا أن على الانسان أن يتهيأ وأن يتجهز وأن يصلح من حاله، وأن يجدد توبته وأن يعمل أنه يتعامل مع رب كريم قوي عظيم لطيف. ان الموت لا يستأذن على أحد ولا يحابى أحدا،ولا يجامل وليس للموت انذار مبكر يخبربه الناس. : وما تدرى نفس ماذا تكسب غدا وما تدرى نفس بأي أرض تموت” (لقمان:34)

Ertinya: Seorang hamba hendaklah ingat selalu bahwa dia sedang membawa kematian dan sedang menuju kematian dan sedang menunggu kematian sama ada ia datang sebelah pagi atau sebelah petang. Sungguh indah ungkapan Ali bin Thalib: “ Sesungguhnya kematian itu terus mendekati kita dan dunia pula terus meninggalkan kita. Maka jadilah anda anak anak akhirat dan janganlah anda menjadi anak-anak dunia. Hari ini adalah untuk beramal dan besok tidak ada hisab dan esok adalah hisab dan bukan masa lagi untuk beramal.

Kematian tidak pernah minta izin kepada sesiapa dan tidak pernah pilih kasih dan tidak pernah merajuk. Kematian tidak pernah memberi amaran terlebih dahulu . Firman Allah yang mafhumnya: “ Dan tiada sesiapapun yang akan dapat mengetahui(dengan pasti) apa yang akan diusahakannya besok hari. Dan tiada seorang pun dapat mengetahui di bumi mana dia akan mati. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal: (S:Luqman:31:34)

Pada hakikatnya kita tidak mati. Setelah mayat kita dikuburkan kita akan hidup semula dan seterusnya menunggu hari kiamat dan seterusnya menunggu hari perbicaraan di hadapan HAKIM YANG MAHA ADIL, tidak ada saksi. Semuanya sudah disediakan untuk kita dan kita juga tidak perlu mengangkat tangan dan bersumpah “ Saya akan bercakap benar, tidak ada yang tidak benar, melainkan yang benar belaka.”

Mahkamah di akhirat terbuka. Beramallah dari sekarang. Tinggalkan perkara yang negatip samada ianya dilakukan dengan senghaja atau sebaliknya. Enough is Enough. Mari kita sama-sama bertobat dan menjadi orang yang bertakwa agar Allah menurunkan Malaikat bersama-sama kita dalam perjuangan menegakkan ISLAM. Perjuangan menegakkan Islam belom selesai dan masih jauh lagi jarak Islam sebagai Addin dan bukan Addin. Yang penting bukan berteori tetapi bertindak dan beramal dengan ikhlas dan mengikut keupayaan masing-masing. Wallahu aklam bissawab.

0 Komen: