TURBA; Pemimpin di semua peringkat perlu turun ke bawah menemui golongan fakir miskin

Friday, May 1, 2009

Mina-musim haji 78. Sebelah kiri sekali Dato Seri Haji Harussani (Mufti Perak sekarang).
Sebelah kanan beliau Encik Ismail dan sebelah kanan saya Ustaz Hj Jais Anwar, menantu Dato Asri,
menetap di London.


Teladanilah Keperihatinan Rasulullah saw dan para sahabat terhadap gulongan fakir miskin

1. Ketika Rasulullah saw pergi ke Kaabah bersama-sama sahabatnya, ada di antara sahabatnya yang bernama Sa’ad bin Abi Waqas bersikap kasar kepada orang miskin dan membangga-banggakan diri, lalu ditegur oleh Rasulullah saw, “Kejayaan dan kemewahan yang engkau kecapi itu disebabkan oleh orang miskin tersebut.”

2. Rasulullah saw berkata kepada Aisyah r.anha, “Ya Aisyah, jangan biarkan orang yang memerlukan (miskin) pergi dari pintu rumah engkau dengan tangan yang kosong. Berikanlah sesuatu walaupun setengah biji buah tamar. Cintailah orang miskin, dekatilah mereka kepadamu, nescaya Allah akan membawa kamu dekat kepadanya pada hari kebangkitan semula.”

3. Penyertaan Rasulullah saw di dalam perperangan (ghazwah) tidak lain menunjukkan betapa perihatinnya Rasulullah saw terhadap agama dan umatnya. Keperhatinan Rasulullah saw terhadap Islam, umatnya. Perperangan Badar dengan jelas membuktikan betapa sensitifnya Rasulullah terhadap agama Islam seperti dalam doanya, “Ya Allah, aku nantikan janji mu, ya Allah. Jika pasukan ini kalah, nescaya tidak ada lagi orang yang akan menyembah Mu di Bumi ini.”

4. Surah al-Fath :48:29 yang mafhumnya, “Muhammad itu adalah utusan Allah dan orang-orang yang bersama dengan dia adalah keras terhadap orang orang Kafir tetapi berkasih sayang sesama mereka”. Ayat tersebut mengandungi pengajaran pengajaran berikut:

1. Orang Islam yang sama seakidah saling sayang menyayangi, tidak menghinakannya dan tidak mengkecewakannya.

2. Sikap berlembah lembut sesama mereka, kata Pak Hamka tidaklah mudah saja buat di sudu dan kerasnya tidak mudah buat di kutik. Dia bersikap baik kepada orang lain, tetapi akidahnya jangan dipermainkan, agama jangan dihinakan. Orang yang beradab pastilah pandai menghormati keyakinan orang lain, walaupun dia sendiri tidak sesuai dengan keyakinan itu.

Keperihatinan Saidina Abu Bakar r.a.

Ketika menjadi Khalifah rezeki dan harta negara melimpah ruah tapi kehidupannya seperti rakyat biasa. Dia boleh menerima harta dari Baitulmal lebih dari keperluannya tetapi dia hanya mengambil sekadar yang perlu dan kehidupannya tidak lebih daripada kehidupan kaum muslimin yang lain.

Saidina Abu Bakar sebelum dilantik menjadi Khalifah memiliki harta yang banyak tetapi dia bertanya kepada dirinya sendiri, “Mengapakah saya menikmati harta benda yang banyak, sedangkan kaum muslimin dalam kemiskinanan” Kerana keperihatinannya kepada Islam dan kaum muslimin semua hartanya di infak fisabilillah sehingga Rasulullah bertanya kepadanya, “Apakah yang kau tinggalkan untuk keluargamu hai Abu Bakar?”. Jawab Abu Bakar “Untuk mereka yang saya tinggalkan Allah dan Rasul kepada mereka”.

Sejurus sebelum meninggal Saidina Abu Bakar berpesan kepada anaknya Aisyah r.anha supaya menyerahkan harta peninggalannya kepada kaum muslimin. Rupanya harta peninggalanya itu tidak lebih daripada seekor unta untuk membawa air, alat pemerah susu dan baju luar untuk menyambut tetamu. Apabila harta itu diserahkan kepada Saidina Umar, Amirul mukminin terus meleleh air matanya seraya berkata “Semoga Allah menyayangi Abu Bakar…… Sesungguhnya dia memayahkan orang yang datang selepasnya”.

Saidina Abu Bakar selalu mengamalkan doa yang menjadi amalan Rasulullah saw “Wahai yang membalikkan hati, teguhkanlah hatiku pada agamamu” Khutbah saidina Abu Bakar ketika dilantik menjadi Khalifah “Wahai manusia…sesungguhnya saya dilantik sebagai pemimpin kamu tetapi saya bukanlah orang yang terbaik diantara kamu…… Jika saya berbuat baik maka sokonglah saya. Sebaliknya jika saya berbuat perkara yang tidak baik maka perbetulkanlah saya. Ketahuilah orang yang lemah di kalanganmu adalah kuat disisiku sehingga saya mengembalikan haknya baginya. Ketahuilah orang yang kuat di kalanganmu adalah lemah di sisiku sehingga saya mengambil hak dari orang itu. Ta’atlah kepadaku selama saya ta’at kepada Allah dan rasul. Apabila saya durhaka, maka tidak ada ketaatan kepadaku”

Keperihatinan Saidina Umar r.a

Ketika Pemerintahan Saidina Umar r.a. pernah umatnya menghadapi kemarau yang panjang. S. Umar r.a. amat perihatin dan empati nasib yang menimpa rakyatnya sehingga mukanya pucat masai kerana hanya makan buah Zaitun sahaja. Melihat kesihatan S. Umar r.a. terganggu lalu para sahabatnya mencadangkan kepada beliau supaya mengambil harta dari Baitul Mal untuk keperluannya tetapi dia enggan malah S. Umar menegaskan ”Bagaimana aku dapat memerhatikan kepentingan rakyat apabila aku tidak merasakan derita yang mereka rasakan”. Malah S. Umar r.a. menyamar seperti rakyat biasa-turun padang- untuk melihat sendiri kehidupan rakyatnya.

Pesan Saidina Ali r.a.kepada Gabenornya

Saidina Ali bin Abi Thalib sewaktu melantik Malik bin Al-Haris Al-Ashtar sebagai Gabenor Mesir berpesan kepadanya dengan katanya, “Awas! Takutilah Allah, apabila kamu berdepan dengan masalah fakir miskin yang tiada pembela, yang hidup terbiar, miskin dan tidak berdaya-orang orang yang menjadi mangsa perubahan peristiwa. Antara mereka, ada beberapa orang yang tidak menyesal untung nasib mereka dalam kehidupan ini walaupun mereka hidup susah, mereka tidak pergi meminta sedekah. Atas nama Allah, lindungilah hak mereka kerana kamulah yang bertanggungjawab menyelamatkan. Untuk meringankan beban hidup mereka, berilah bahagian mereka yang ada di baitulMal, tanpa mengira di mana sahaja mereka berada samada dekat maupun jauh. Hendaklah kamu berlaku ‘adil kepada hak mereka. Janganlah kamu lalai sehingga kamu lupa akan tanggungjawab kamu terhadap mereka, kerana Allah tidak akan menerima sebarang alasan atas pengabaian kamu terhadap hak mereka. Janganlah kamu menganggap kesejahteraan mereka kurang penting daripada kesejahteraan kamu dan janganlah kamu melupakan mereka apabila kamu membuat sebarang ketetapan yang penting dan pulaukan orang yang memandang rendah pada fakir miskin dan orang yang tidak menceritakan perihal kehidupan fakir kepada kamu.

Pilihlah di kalangan pegawai pegawai kamu, orang yang benar benar ta’at dan bertaqwa kepada Allah supaya mereka dapat memberitahu kamu keadaan hidup fakir yang sebenarnya. Hendaklah kamu menyediakan bantuan untuk orang-orang fakir dan miskin agar kamu tidak perlu berdolak dalik di depan Allah di akhirat kelak kerana fakir miskinlah yang paling memerlukan belas ihsan kamu. Usahakanlah untuk mendapatkan ganjaran daripada Allah dengan memberikan hak tiap-tiap orang yang empunya diri dan anggaplah tugas menyempurnakan keperluan orang orang tua yang tidak mempunyai mata pencarian tetapi tidak rela meminta sedekah sebagai satu amanat dan tugas yang mulia. Dan kewajipan inilah yang biasanya sukar disempurnakan oleh para pemerintah. Tetapi dalam sesebuah masyarakat yang berpandangan jauh, tugas ini dilaksanakan dengan penuh kerelaan. Hanya bangsa atau kelompok masyarakat seperti ini sahaja yang benar-benar taat akan perintah Allah dalam melaksanakan kewajipan mereka terhadap fakir miskin.

Shah Alam
8.56 pagi

0 Komen: