Punca suami mudah jemu

Wednesday, May 6, 2009

Bergambar bersama-sama dgn tiga orang cucu;Mohd Irfan,
Nur 'Adilah dan siti Sarah Amirah ketika berada di Doha Qatar
12 Dec07-3 Jan 09

Jawapan kepada soalan madam x Suami mudah Jemu

Perasaan jemu atau bosan memang perkara lumrah dialami oleh semua orang, baik kaum lelaki maupun kaum wanita samada yang bergelar suami mau pun yang bergelar isteri, pelajar atau guru, pekerja maupun majikan. Jemu bukan sahaja berlaku dalam menguruskan pekerjaan harian malah berlaku juga dalam menunaikan ibadah kepada Allah s.w.t. kalau dilakukan semata-mata ikutan, tanpa iman dan ilmu. Punca dan sebab jemu berbagai-bagai sebab, bergantung dengan tugasan. Jemu seorang pelajar tentu tidak sama dengan jemu yang dialami oleh seorang pekerja. Demikian juga punca seorang suami jemu kepada seorang isteri sudah pasti tidak sama dan tidak semestinya ia dikaitkan dengan tempoh masa, lama atau baru perkahwinan tersebut. Ada pasangan yang baru berkahwin beberapa bulan bercerai-berai, berbanding dengan pasangan yang bertahun-tahun lama mendirikan rumah tangga terus ceria dan bahagia. Sebenarnya ia bergantung kepada kebijaksanaan menguruskan perasaan jemu itu.

Puncanya

Berbalik kepada persoalan anda, kalau suami berasa jemu kepada isterinya apa puncanya. Banyak sebab-sebabnya. Ada yang berpunca dari sejuknya perhubungan kelamin dan ada juga kerana sikap negatif isteri seperti suka melitir, terlalu demand, memandang rendah suami, bersikap kasar, cuai dalam menguruskan rumah tangga, tidak mahir dalam penyediaan makan minum, tidak menghormati keluarga suami dan lain-lain lagi.

Akibatnya.

Akibatnya perasaan cinta dan sayang suami kepada isterinya semakin sehari semakin luntur, bukan semakin sehari semakin sayang dan akhirnya menimbulkan perasaan jemu dan bosan si suami. Akhirnya kalau tidak bijak mengendalikannya menyebabkan perceraian atau si suami akan menjadikannya sebagai alasan untuk berpoligami. Cara mengatasinya si isteri perlu sedia berubah ke arah kebaikan.

2. Dalam hidup berumah tangga kesilapan dan kesalahan tidak dapat dielakkan, sedangkan lidah lagikan tergigit, inikan pula manusia. Bumi mana yang tidak ditimpa hujan. Yang pentingnya suami isteri hendaklah sentiasa berlapang dada, mencari punca masalah dan coba menyelsaikannya,saling bermaafan di antara satu sama lain. Jangan kerana kesilapan kecil boleh menguncang kerukunan rumah tangga sehingga tidak nampak kebaikan yang dilakukan oleh pasangan. Sekiranya si isteri menyedari ia telah melakukan kesilapan hendaklah segera meminta ma’af dan jangan mengulangi nya lagi. Sekiranya kerap kali mengulangi kesalahan tersebut, apatah lagi kesalahan yang dilakukan itu perkara yang besar yang boleh menyentuh maruah dan kesucian agama. Jika membiarkannya ia boleh menjadi dayus, ini yang menyebabkan si suami agak sukar untuk mema’afkan kesalahan si isteri. Kalau kesalahan-kesalahan kecil biasanya si suami sedia mema’afkannya.

Memang ada kerana karenah negatip isteri yang berterus-terusan menjadi sebab suami menggugut malah tanpa ada ugutan pun ada suami yang terus berpoligami tanpa diketahui si isteri.

. Namun demikian poligami tidak menyelsaikan masalah jika tidak diurus dengan bijaksana dan berbekalkan ilmu dan sifat jujur.

Nasihat
Apa nasihat tuan sekiranya ada lelaki yang hendak berpoligami? Jawapan saya:Kepada lelaki yang bergelar suami yang bercadang untuk berpoligami sebaik-baiknya perlu lah memahami dan menghayati surah al-Nisak yang berikut: “Maka kahwinilah wanita-wanita lain yang kamu senangi:dua, tiga atau empat. Kemudian jika kamu takut tidak akan dapat berlaku adil, maka kahwinilah seorang sahaja”(an-Nisak:4:3:). Dari segi ilmu usul fikh perkataan “Kahwinlah” bukanlah suruhan atau perintah yang wajib dilaksanakan dan jika meninggalkannya pula menjadi berdosa dan kahwin poligami juga bukan merupakan perintah sunat di mana kalau ianya ditinggalkan tidak berdosa dan melakukannya dapat pahala kecuali nikah bukan poligami ada ketika hukumnya sunat, wajib ,makruh, haram dan mubah.

Poligami bukan sunnah Nabi mengikut setengah pendapat.

Sandaran bagi mereka yang berpendapat poligami merupakan sunnah Nabi tidak tepat kerana Nabi Muhammad s.a.w. sepanjang tempoh berumah tangga dengan Siti Khadijah r.anha selama 28 tahun tidak pernah pun berpoligami. Kalau sunnah hukumnya sudah pasti Rasulullah saw berpoligami lebih awal lagi. Setelah dua tahun kewafatan Khadiiah r.anha baharulah Nabi berpoligami. Dan perkahwinan Nabi dengan ummahat mukminin (Isteri-isteri yang dipoligami Rasulullah sa.w.) sekitar lapan tahun dari sisa-sisa hidup baginda. Kebanyakan mereka adalah janda, kecuali Aisyah,r.anha. Selain daripada itu, Rasulullah s.a.w berpoligami bukan kerana perkara-perkara remeh temeh dan didorong oleh nafsu sebaliknya kerana menghuraikan dan menyelesaikan persoalan sosial ketika itu. Makanya kahwin poligami bukan merupakan keistimewaan bagi kaum lelaki tetapi ia merupakan tanggungjawab yang berat dan hukumnya bukan perintah/suruhan/anjuran dan bukan sunnah tetapi mubah/harus tetapi dengan syarat mampu berlaku adil. Jika berkahwin juga dalam keadaan tidak mampu, nikah tersebut sah dari segi hukum fikh tetapi ia berdosa jika tidak berlaku adil. Untuk berlaku adil dalam berpoligami adalah perkara yang sukar sebagaimana ditegaskan oleh Allah dengan firmannya yang bermaksud, “Dan kamu sekali-kali tidak akan dapat berlaku adil di antara isteri-isteri kamu walaupun kamu sangat ingin berbuat demikian kerana itu janganlah kamu terlalu cenderung (kepada yang kamu cintai) sehingga kamu biarkan yang lain terkatung-katung:.(S;an-Nisak:4:129). Suami yang tidak berlaku adil akan bergelumang dengan dosa dan di akhirat nanti separuh badannya akan lepas dan terputus, sebagaimana sabda Rasul yang mafhumnya, “Barang siapa yang mengawini dua perempuan, sedangkan ia tidak berlaku adil kepada keduanya, pada hari akhirat nanti separuh tubuhnya akan lepas dan terputus.”

Di antara syarat berpoligami dan akibat daripadanya jika tidak berlaku adil.

1. Sebelum berpoligami pastikan terlebih dahulu sama ada anda berupaya dari segi mental, emosi dan berlaku adil dari segi penyediaan makan minum,tempat tinggal isteri yang sedia ada, isteri yang bakal dimadu, belanja perubatan, giliran bermalam, pendidikan anak-anak dan sebagainya. Kalau tidak yakin atau anda ragu-ragu tidak akan dapat berlaku adil, fikir dua kali sebelum meneruskan cadangan berpoligami sekalipun anda melepasi syarat-syarat berpoligami seperti isteri anda mandul, berpenyakitan yang tidak membolehkan anda melakukan perhubongan kelamin dan sebagainya namun syarat keadilan tetap wajib. Kalau diteruskan juga hasrat anda itu sedang anda tidak mampu berlaku adil, maka dikhuwatiri anda akan bergelumang dengan dosa setiap hari sekalipun anda orang yang ta’at mendirikan solat dan seumpamanya.

2. Boleh menimbulkan perasaan curiga-mencurigai, hasad dengki di kalangan isteri-isteri yang dimadu. Demikian juga ia akan mempengaruhi perkembangan anak-anak juga.

3. Boleh menjejaskan ekonomi rumah tangga kerana terpaksa menanggung nafkah keluarga yang sedia ada dan isteri yang dimadu dan anak-anak yang bakal lahir.

4. Lumrahnya kehidupan berpoligami tidak ada keharmonian dan ketenangan dan akibatnya akan menjejaskan pertumbuhan minda dan pembelajaran anak-anak kerana sering berhadapan dengan karenah-karenah yang negatif yang dipertontonkan oleh ibubapa sehingga menyebabkan anak tidak berasa aman tinggal dirumah.

Pengalaman mereka yang berpoligami.

Saya pernah bertanya kepada mereka yang telah dan sedang berpoligami yang muda atau yang sudah berumur tentang pengalaman mereka berpoligami.Malah ada di antara sahabat-sahabat saya yang berkahwin poligami di atas persetujuan isterinya,malah isterinya meminang bakal isteri yang kedua. Jawapan mereka, sesiapa yang hendak berpoligami kena fikir dua kali. Bagi mereka sukar untuk mendapat kemanisan dalam bermadu samada ia berpunca dari pihak si suami atau isteri-isteri yang dimadu . Banyak cabarannya sama ada dari segi kewangan, mental, emosi, layanan dan sebagainya. Demikian juga saya dapati ada golongan yang berpoligami bukan kerana alasan syarie sebaliknya kerana terpengaruh oleh unsur-unsur kebendaan seperti kecantikan luaran, pergaualan bebas, nafsu yang tidak terurus dan sudah terlanjur; kata P.Ramlee, “Makan dahulu baharu baca doa selamat”

Dengan kata lain kalau hendak berpoligami fikir dahulu samada sumber kewangan anda kukuh dan kuat, pendidikan anak-anak yang sedia ada sudah beres atau sebaliknya. Kena maklumkan kepada isteri tentang cadangan anda hendak berpoligami. Alasan-alasan untuk berpoligami mestilah berdasarkan syarak dan sebagainya. Kalau belum bersedia carilah jalan untuk menghindarkan diri dari berpoligami. Kalau ada masalah dari pihak isteri yang tidak menyenangkan perlu diselesaikan dan isteri pula hendaklah sedia berubah. Kalau diteruskan juga niat tersebut ia tidak akan menyelesaikan masalah malah ia akan mengundang masalah baru sama ada dengan isteri yang sedia ada atau dengan isteri baru. Apatah lagi kalau berpoligami secara sulit tanpa kebenaran dari mahkamah ia telah melakukan kesalahan jenayah dan boleh di ambil tindakan di bawah undang-undang jenayah syariah. Selain daripada perkahwinan tersebut, kalau tidak didaftar ia tidak sah dari segi undang-undang keluarga Islam. Perkahwinan itu hanya dianggap sah dari segi undang-undang setelah didaftarkan dan setelah pasangan menjalani hukuman denda. Kalau perkahwinan tersebut tidak didaftarkan dan berlaku perceraian atau sebaliknya pihak isteri yang baru dikahwin tidak berhak mendapat haknya sebagai seorang isteri dan hak nafkah anak kalau si suami mengabaikan tanggungjawabnya apatah lagi kalau ia diceraikan sebelum perkahwinan belum didaftarkan maka si isteri tidak berhak mendapat hak nafkahnya samada harta sepencarian atau hak-hak yang lain. seperti nafkah iddah atau nafkah anak. Begitu juga kelahiran anak sukar untuk didaftar di Jabatan Pendaftaran Negara dan lain-lain lagi kerana perkahwinan itu dianggap tidak sah di bawah undang-undang keluarga Islam. Seorang wanita yang dipujuk-pujuk oleh seorang lelaki yang bergelar suami untuk menjadikannya isterinya yang kedua dan pernikahan tersebut dijalankan secara sulit atau nikah keluar negeri tanpa kebenaran mahkamah berfikirlah dua kali supaya tidak menyesal di belakang hari nanti. Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya kecualilah anda kenal hati budinya dan rumahtangganya yang sedia ada terurus dan terpimpin.

Di bawah sebahagian dari petikan undang-undang poligami di seluruh Malaysia.

1. Apabila menerima permohonan itu, Mahkamah hendaklah memanggil pemohon dan isteri atau isteri-isteri yang sedia ada supaya hadir apabila permohonan itu didengar, yang hendaklah dilakukan dalam mahkamah tertutup, dan Mahkamah boleh memberi kebenaran yang dipohon itu jika berpuas hati-

a. bahawa perkahwinan yang dicadangkan itu adalah patut dan perlu, memandangkan kepada antara lain, hal-hal keadaan yang berikut, iaitu, kemandulan, keuzuran jasmani, tidak layak dari segi jasmani untuk persetubuhan, sengaja engkar mematuhi perintah untuk pemulihan hak-hak persetubuhan, atau gila di pihak isteri atau isteri-isteri yang sedia ada.

b. Bahawa pemohon mempunyai kemampuan yang membolehkan dia menanggung, sebagaimana dikehendaki oleh hukum syarak, semua isteri dan orang tanggungannya, termasuk orang-orang yang akan menjadi orang-orang tanggungannya berikutan dengan perkahwinan yang di cadangkan itu.

c. Bahawa pemohon akan berupaya memberi layanan sama rata kepada semua isterinya mengikut kehendak hukum syarak dan

d. Bahawa perkahwinan yang dicadangkan itu tidak akan menyebabkan darar syarie kepada isteri atau isteri-isteri yang sedia ada.

Dari penjelasan secara ringkas dan tidak tersusun itu harap sekurang-kurangnya dapat menjawab pertanyaan anda. Wallahu’alam.

0 Komen: