Di mana Allah?

Tuesday, April 21, 2009

Bergambar kenangan pada 4.3.07 bersama-sama dgn
Pro. Datuk Dr Sidek Fadhil, sdra Hj Abd Rahim dan sdra Abd.Rahman
ketika mereka bersilaturrahim ke rumah saya.


Dr. As-Sayyid Muhammmad Nuh dalam bukunya Taujihat Nabawiyah ala’ ath-Thariq ada menceritakan tentang kisah seorang guru, Abu Al-Qasim Al-Junaid dengan murid-muridnya yang mana beliau cuba hendak menguji sejauh mana keyakinan mereka tentang perasaan selalu diawasi oleh Allah swt.

Besoknya Abu Al-Qasim memberitahu murid-muridnya supaya pergi ke padang sahrak yang sunyi sepi. Guru meminta murid-muridnya masing-masing membawa anak seekor burung. Dan burung tersebut hendaklah disembelih di mana-mana sahaja tempat asalkan tiada dilihat oleh sesiapapun. Selepas burung tersebut disembelih mereka masing-masing diminta menyerahkannya untuk dimasak dan dimakan bersama-sama.

Mereka pun berangkat ke tempat yang telah ditetapkan. Pada keesokan harinya murid-murid Abu Qasim pun datang dan membawa bersama-sama mereka anak burung yang telah disembelih seperti yang telah diperintah oleh guru mereka; Abu Al-Qasim kecuali seorang muridnya yang datang dengan anak burung yang masih hidup-tidak disembelihnya, lalu gurunya pun bertanya kepadanya; Kenapa tidak disembelih burung tersebut seperti yang diperintah?. "Mana mungkin saya dapat menyembelih tanpa diketahui oleh sesiapa pun. Ketika saya hendak menyembelih burung ini, Zat Allah tetap bersama saya. Ketika saya naik ke bahagian atas rumah saya, saya dapati Zat Allah Yang Maha Esa bersama saya. Dan jika saya pergi ke tempat yang kosong, saya dapati juga Zat Yang Maha Esa juga bersama saya.” Mendengar jawapan muridnya tersebut si guru pun bertanya kepada muridnya itu; "Siapakah yang dimaksudkan dengan zat itu? Si murid tersebut menjawab dengan tegas, "Allah”. Tanpa berlengah-lengah murid tersebut dipeluk erat-erat oleh gurunya, sambil berkata kepadanya ”Engkau benar, wahai anakku”

Cerita yang sama juga pernah diriwayatkan oleh Abdullah bin Dinar bahawa pada satu hari dia berjalan dengan Khalifah Umar Ibn al-Khattab RA dari Medinah menuju ke Mekah. Di tengah perjalanan mereka berjumpa dengan seorang anak gembala, yang sedang turun dari tempat pengembalaan kambing-kambing yang banyak. Khalifah ingin menguji sampai di mana anak gembala itu bersifat amanah. Antara keduanya terjadi percakapan sebagai berikut:

Khalifah: Wahai pengembala, juallah kepadaku seekor anak kambing ternakan mu ini.
Pengembala: Aku ini hanya seorang budak/hamba.
Khalifah: Katakanlah saja nanti kepada tuanmu, anak kambing itu telah dimakan serigala.
Pengembala berkata: Fa inalllah? "Kalau begitu di mana Allah”. Amat pendek jawapannya, Fa inallah. Di mana Allah.’. Mendengar jawapan tersebut bercucuranlah air mata Khalifah Umar RA lantaran terharu. Lalu Khalifah pun pergi bersama-sama pengembala itu menjumpai yang empunya ternak itu. Ditebuskannya kemerdekaan anak pengembala itu dan lalu berkata, ”Dengan kalimah ini Fa inallah telah memerdekakan kamu di dunia ini. Semuga kalimah ini pula akan memerdekakan kamu di akhirat kelak”.

Bagi Khalifah Allah dan bagi anggota jemaah muslimin di kala itu umumnya pertanyaan yang sependek itu sudah cukup untuk menggerakkan dhamir/hati, meremangkan bulu roma. Fa inallah? Itu sudah cukup memancing ingatan mereka kepada bunyi jawapan seperti termaktub dalam surah al-Hadid:4 yang mafhumnya ” …..Dan dia (Allah) berserta kamu di mana pun kamu berada. Dan melihat apa yang kamu perbuat.” (sumber;Fikqud-dakwah).

Ibrah dari kisah yang tersebut di atas.

Ibrah dari kisah yang tersebut di atas tiada lain melainkan menunjukkan kepada kita betapa pentingnya keyakinan yang bulat tentang Ilmu Allah yang tiada sempadan dan batasan. Allah yang tidak mengantuk dan tidak tidur pula. Allah mengetahui apa-apa yang dihadapan kita dan di belakang kita. Tahu sahaja tentang adanya Allah, dan luasnya ilmu Allah. Tahu sahaja tentang adanya alam akhirat dan hari pembalasan. Tahu sahaja tentang akibat dari pelanggaran larangan Allah dan tahu sahaja tentang kebaikan hukum hakam Allah tetapi tidak meyakininya dengan sepenuh hati tidak akan menjadi benteng dari sifat-sifat mazmumah.

Untuk mengetahui sama ada kita yakin atau sebaliknya, menurut Abu Akla al-Maududi mudah sahaja, iaitu beliau memberi contoh dengan mengemukan soalan. Kenapa kita tidak membiarkan kanak-kanak kanak kecil bermain pisau. Kerana kita yakin pada kebiasaannya pisau itu akan melukakan. Kalau begitu bagaimana tahap keyakinan kita terhadap Allah dan ajaran-ajaran yang dibawa oleh Rasulullah saw?

Jadi, untuk menumbuhkan perasaan selalu diawasi oleh Allah swt, maka kita perlu

1. YAKIN Allah Tahu apa sahaja yang kita lakukan ketika sendirian atau bersama-sama orang lain.

2. Yakin apa sahaja yang kita lakukan akan dicatat oleh Malaikat Raqib dan Atid dan kita akan menerima pembalasannya di alam akhirat nanti. Bagaimana caranya untuk mencapai keyakinan itu?. Wallahu aklam.

Shah Alam

0 Komen: