Ibrah wajah dari wajah gambar

Sunday, March 29, 2009

Gambar adalah sebahagian daripada sejarah yang tidak mungkin dibohongi kebenarannya. Kalau kurang percaya cuba anda ambil albam anda dan buka lambarannya demi lambaran. Pasti anda akan tersenyum simpul tanda gembira terkenang nostalgia di sebalik kisah gambar tersebut. Namun demikian kegembiraan itu rupanya sebentar sahaja bilamana anda melihat betapa jauh bezanya paras dan wajah anda pada masa dahulu dengan keadaan wajah anda pada masa kini. Itulah namanya proses perubahan yang pasti dilalui oleh setiap makhluk yang bergelar manusia. Yang tidak berubah kewujudannya, yang tiada ada permulaan dan tiada ada penghujungnya. Itulah Allah swt. Semua makhluk bermula dengan tiada, kemudian ada, kemudian tiada ada pula. Semuanya akan binasa dan menerima perubahan. Lantaran itu anda jangan cuba berangan-angan hendak kembali kepada keadaan anda seperti sediakala dahulu. Teringat saya ketika belajar nahu dengan tok-tok guru saya di madrasah aljunid Singapura dahulu yang menyuruh saya mengikrab 'LAITAS SYABABA YA’UDU' Ertinya; semuga zaman muda kembali semula”. Yang sudah berlalu tetap berlalu. Makanya terimalah perubahan itu dengan redha kerana ia sunnatullah.

Yang penting bila anda melihat wajah anda melalui gambar tersebut ia dapat menimbulkan kesedaran dan keinsafan; betapa umur itu sendiri adalah hakikat kehidupan diri sebenarnya. Ia menuntut tindakan yang derastik; Apa yang patut dilakukan untuk mengisi umur yang berbaki ini yang diibaratkan seperti matahari yang terbenam perlahan-lahan di waktu senjakala. Sebagai seorang muslim, biarpun sisa umur pada hukum adatnya hanya tinggal sedikit sahaja lagi, ia tidak manjadi masalah. Yang penting manfa’atkan ianya sebaik mungkin. Dalam hal ini Rasulullah saw meninggalkan pesan melalui sabda baginda yang mafhumnya, "Jika sa’at kiamat tiba dan anda sedang menyemai benih tanaman, teruskanlah semaian anda itu.’ Kata Ibnu Umar ra yang mafhumnya, "Apabila Engkau berada di waktu petang maka janganlah menunggu sampai waktu pagi."

Ada sebuah Al-Kisah tentang seorang lelaki yang sudah lanjut usianya sedang menanam pokok kelapa. Ia hanya akan menghasilkan buahnya mengambil beberapa tahun di mana pada perkiraan adat; orang tua tersebut belum sempat merasa hasil tanamannya itu, dia akan menemui ajalnya lebih awal dan anak yang mempusakainya pun tidak ada pula. Apa jawapan orang tua tersebut; "Saya telah pernah memakan kelapa yang ditanam orang, maka saya menanam kelapa ini bukan untuk saya, tetapi kiranya orang akan dapat pula memakan apa yang saya tanam."

Khusus kapada para remaja dan para beliawanis dan siapa sahaja yang sudah hampir ke garis penamat, manfa’atkanlah dua nikmat yang selalu diabaikan oleh kebanyakan manusia iaitu nikmat kesihatan dan masa lapang dengan kegiatan-kegiatan untuk meraih kecemerlangan di dunia di akhirat. Saidina Umar r.a pernah bertanya kapada anak-anak Harima bin Sinam, "Apa yang diberikan Zuhair kapada mu dan apa yang kamu berikan kepadanya?” Mereka manjawab, "Mereka telah memuji kami dan kami memberinya harta benda.” Saidina Umar ra berkata: "Demi Allah, lenyap sudah apa yang kamu berikan kepadanya dan akan tetap lastari apa yang dia berikan kepadamu.” Maksud perkataan Saidina Umar ra bahawa pujian itu akan kekal abadi selamanya.” Itulah maksud yang sebenarnya umur yang panjang. Jadi umur yang panjang bukan diukur dengan tarikh, minggu, bulan dan tahun. Umur yang panjang ialah bilamana nama anda meniti dari bibir ke bibir menjadi sebutan kerana pengorbanan yang anda sumbangkan, sama ada ianya berbentuk fikiran, ilmu dan tulang empat kerat. Contoh yang paling dekat ialah sirah Rasulullah saw dan para sahabat radiallahu anhum. Biarpun Rasulullah saw dan para sahabat telah berabad-abad wafat namun mereka semacam masih hidup bersama-sama dengan kita kerana pengorbanan mereka. Demikian juga para ulamak dan cendikawan yang telah meninggalkan hasil karya masing-masing dan amal bakti mereka, mereka tetap kita kenang, lebih-lebih lagi bila kita membaca hasil karya mereka, seolah-oleh mereka sedang berada di hadapan kita dan sedang berbicara dengan kita. Rasulullah saw bersabda yang mafhumnya: "Sebaik-baik manusia adalah orang panjang usianya dan bagus amal perbuatannya. Seburuk-buruk manusia adalah orang yang panjang umurnya dan buruk amal perbuatannya.” Dengan kata lain, usia lanjut tidak wajar dijadikan alasan untuk anda tidak menyumbang sesuatu demi pembangunan Islam.

Wallahu uklam.

0 Komen: