Rasa Kurang Senang Hati Segelintir Rakyat Terhadap Segelintir YB

Tuesday, May 12, 2009

Bergambar pada 10 May 09 dalam majlis makan ringan diadakan oleh
anaknda Syifa untuk bonda tersayangnya Hajah Husna sempena Hari Ibu 09


Rasa Kurang Puas Hati Segelintir Orang Ramai terhadap segelintir YB dan juga terhadap agensi-agensi yang tertentu dalam beberapa perkara.

(Selepas ini bahan blog Dewan Syura tidak akan menemui anda buat seketika, sehingga Allah memulihkan kesihatan saya seperti sediakala. Sama-sama kita berdoa’ agar anda dan saya alfaqir ilalllah dalam keadaan sihat dan dikurniakan kesabaran dan istiqamah dalam menegakkan Addin. Ameen)

Memandangkan saya, tidak menganggotai mana-mana pertubuhan parti politik dan juga tidak pernah hadir dalam rapat umum yang dianjur oleh parti politik yang memerintah atau sebaliknya dan kalau saya bercakap, saya bercakap dengan bahasa dakwah-tidak fanatik kepada orang perseorangan dan tidak juga menerima bulat-bulat sebarang berita yang disampaikan. Yang benar dikatakan benar dan yang salah dikatakan salah. Itulah pendirian saya dan tanda sayang saya dengan sdra seIslam saya. Mungkin kerana sikap saya ini, mereka mudah mendekati saya dan bersimbang dengan saya tanpa ragu-ragu dan rasa takut, untuk meluahkan perasaan terkilan di hati mereka dalam beberapa hal termasuklah karenah segelintir YB dan juga peranan agensi-agensi yang lain dalam beberapa perkara. Mungkin bagi YB dan mereka yang berkenaan perkara yang menyebab mereka mengeluh perkara biasa, perkara remeh temeh tetapi bagi mereka ia suatu perkara yang besar. Di antara keluhan mereka adalah dalam perkara seperti berikut:

1. Kehidupan seharian mereka sentiasa tertekan dan terhimpit kerana barang keperluan makanan terlalu mahal dan tidak terkawal. Mereka kurang senang hati, sebab kerajaan tidak mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang mengambil kesempatan dari krisis ekonomi dunia yang tidak menentu.

2. Harga rumah terlalu tinggi meskipun rumah kos murah mampu milik seperti yang diwar-warkan oleh pihak kerajaan. Mereka mengharapkan polisi Kerajaan sebelum ini dengan mengurniakan sebidang tanah secara percuma kepada mereka yang terlibat dalam penempatan semula (kerana duduk di tanah makruh) dan lain-lain, dikurniakan juga kepada mereka yang tidak terlibat dalam penempatan semula seumpama itu.

3. Ada di antara Yang Berhormat masih jarang menjejak kaki mereka ke Surau di kawasan pilihanraya mereka, untuk sama-sama berjemaah dengan penduduk setempat. Kalau ada pun sekali sekala dan ada yang menjengkoknya hanya waktu pilihan raya sahaja. Bukankah lebih baik Surau/Masjid dijadikan Dewan Suarah/Balai Raya yang kedua untuk bertemu dan bersilaturrahim dengan masyarakat setempat dengan cara yang tidak formal. Jadi YB kena bahagilah masa bertugas dan masa urusan perniagaan jika ada, untuk berjumpa dengan mereka. Bukan semata-mata projek yang mereka harapkan. Seandainya YB dapat bertemu dan berjumpa sambil berandau dengan mereka dalam keadaan bersahaja tanpa terikat dengan protokol, itu sudah merupakan khidmat yang tidak ternilai bagi mereka.

4. Pada kebiasaaannya, kalau ada upacara-upacara kegiatan agama di kawasan Yang Berhormat, maka Yang Berhormatlah yang akan merasmikan pembukaanya. Sekiranya orang lain merasmikannya ia dianggap semacam tidak sah oleh penduduk setempat. Dan pada kebiasaanya juga setelah merasmikannya, YB akan balik tanpa ikut serta dalam program tersebut. Bukankah lebih baik YB turut hadir sama mendengar satu dua slot ceramah sebagai tanda tawadhuk dan juga untuk mengelak dari salah faham dan tanggapan serong masyarakat bahawa peranan YB hanya tukang buka dan tutup upacara rasmi agama sahaja.

5. YB bila bercakap, banyak menyentuh soal pembangunan material. Ini bukan beerti mereka menolak pembangunan. Mereka mahu YB bercakap tentang Islam; persoalan akidah dan iman dan peranannya dalam pembangunan negara. Mereka sudah acap kali mendengar persoalan pembangunan melalui media cetak dan sebagainya, namun yang meraih keuntungan dari pembangunan negara tentulah bukan rakyat merhin seperti mereka. Saya ulangi sekali lagi, mereka kepingin benar pada masa hadapan YB dan siapa sahaja yang bergelar YB bukan sahaja bercakap tentang pembangunan dan seumpamanya malah mereka mengharapkan YB juga bercakap tentang Islam serta menghayatinya. Tugas dakwah bukan tugas para asatizah sahaja, malah tugas semua mukallaf muslim termasuk YB. Percakapan dan kedudukan YB amat besar pengaruhnya. Wajarlah kedudukan itu di manfa’atkan untuk dakwah. Sebagaimana YB sedia maklum, jawatan YB itu bukan suatu keistemewaan tetapi satu tanggungjawab. Maka penuhilah harapan rakyat dengan sebaik mungkin. Rasulullah Sallallah ’alaihi wasallam ada bersabda yang mafhumnya, "Pemimpin suatu kaum itu adalah Khadim kepada mereka. Sila baca tajuk bahan blog sebelum ini seperti Turba: Pemimpin semua peringkat perlu turun kebawah, Lagu Bangau Oh Bangau, Qualiti vs Quantiti, Nak Jadi Pemimpin, Kepimpinan Melalui Teladan dan Pengalaman Saya Ketika Perang Antara Arab dan Israel.

6. Bila tiba musim pilihan raya, surah al-Imran:3:103 adalah surah yang paling popular dan paling banyak diperakatakan oleh YB dan penyokong-penyokong YB iaitu ayat yang menyeru supaya bersatu padu, jangan berpecah belah. Orang ramai tidak menolak pentingnya perpaduan tersebut tetapi mereka masih tertanya-tanya kenapa perpecahan masih terus berlaku. Apakah kerana kegagalan YB dan penyokong-penyokong YB menghuraikan asas-asas dan perkara yang menjadi tunjang kepada perpaduan dalam surah tersebut atau pihak YB masih gagal merealisasikannya sesama sendiri, sehingga tidak berbekas dan berkesan dan tidak menyentuh hati nurani orang ramai, atau YB menyeru orang lain bersatu padu tetapi dalam masa yang sama YB masih melakukan perkara yang tidak disukai oleh orang ramai seperti memonopoli dalam peluang perniagaan dan seumpamanya, yang boleh mengundang kebencian orang ramai sehingga boleh membawa kepada perasaan tidak puas hati dan seterusnya merungkaikan rasa mahabbah dan perpaduan.

7. Adakalanya rakyat biasa terasa terhina, seolah-olah dilayan semacam pengemis dan sebagai kanak-kanak kecil, terutama ketika menjelang pilihanraya di mana berbagai-bagai projek dijanjikan dan diluluskan, Seolah-olah kelulusan projek tersebut mempunyai motif-motif yang tertentu. Ada udang di sebalik mee. Sepatutnya berbuat kebaikan dan kebajikan tidak ada motif lain melainkan kerana Allah dan tidak bermusim.

8. Ada YB yang perihatin dalam masalah dakwah sehingga sanggup mengeluarkan wang peribadinya sebagai saguhati kepada pendakwah untuk menyibarkan dakwah/mengajar asas-asas agama kepada penduduk setempat kawasan pilihanrayanya. Pendakwah ini akan membuat jadual bulanan ke kawasan-kawasannya. Program ini sifatnya bukan bermusim, sama ada waktu pilihan raya atau sebaliknya. Kalau sekiranya sumbangan YB ini dapat dicontohi oleh YB-YB yang lain tentulah amat membanggakan masyarakat.

9. Perananan Jawatankuasa Fatwa ialah membincang perkara yang berkaitan dengan hukum Syarak. Yang kurang menyenangkan hati orang ramai ialah bilamana jawatankauasa tersebut lebih ramai di anggotai oleh mereka yang bukan ahli dalam bidangnya. Ini bukan bertujuan untuk merendahkan kedudukan mereka tetapi semata-mata untuk memelihara imej institusi Jawatankuasa Fatwa. Sekiranya sesuatu keputusan tersebut tidak sebulat suara maka kata pemutusnya adalah undi. Di sinilah dibimbangi keputusan tersebut tidak menyebelahi pihak yang ahli dalam bidangnya sekalipun ianya belum pernah berlaku. Untuk mengelak dari kurang hormatnya orang ramai terhadap Jawatankusasa Fatwa tersebut, memadailah dengan menjemput mereka yang pakar dalam isu-isu yang hendak dibincangkan itu untuk menghuraikannya sebelum diputus hukum-hakamnya oleh Ahli Jawatankuasa Fatwa. Perara ini kalau tak silap saya telah menjadi amalan Jawatankuasa Fatwa Peringkat Kebangsaan.

Begitu juga Jabatan Mufti sepatutnya kewujuannya dapat dirasai oleh masyarakat setempat dan mendepani dalam isu-isu semasa jika ada, seumpama isu khilafiah dan seumpamanya. Ia perlu ditangani bukan oleh orang perorangan sahaja tetapi perlu digerak bersama oleh agensi yang berauthoriti seperti Jabatan Mufti.

10. Masyarakat mengharapkan penyata kewangan Tabung BaitulMal dapat diedarkan secara meluas ke Suaru/Masjid supaya dapat diletakkan di papan kenyataan. Tidak memadai penyebarannya melalui internet dan majalah Al-Mal. Laporan tersebut hendaklah merupakan laporan kewangan yang lengkap. Semua agihan untuk pelajaran dan seumpamanya hendaklah diletak di bawah asnaf fisabilillah-bukan di bawah asnaf fakir dan miskin. Di bawah asnaf fi sabilillah yang berhak menerima bukan sahaja fakir miskin, malah golongan selain daripda itu juga berhak menerimanya.

Asnaf Fakir Miskin wajib dikekalkan. Mereka wajib menerima bahagian mereka untuk keperluan asas seperti makan minum dan seumpamanya. Dalam membuat agihan dana zakat kepada asnaf, Jawatankuasa Pentadbiran Baitul Mal perlu meminta kerjasama dari mereka yang pakar dalam bidang ekonomi Islam/atau tidak pakar tetapi tahu masalah hukum yang berkaitan untuk mempastikan semua agihan menepati hukum syarak.

11. 1/8 wang hasil kutipan zakat fitrah oleh Amil dalam sesebuah kampong hendaklah di bahagi terus kepada Surau atau Masjid. Dengan wang tersebut dapatlah digunakan oleh Jawatankauasa Suaru/Masjid membayar bill api dan air, sagu hati kepada penceramah-penceramah agama dan keperluan-keperluan yang berkaitan dengan institusi tersebut. Sebenarnya sistem ini telah lama diamalkan sebelum diwujudkan Tabong BaitulMal, tetapi telah ditukar ke pembahagian berpusat di mana jika pihak Surau atau Masjid memerlukan bantuan boleh memohon kepada pihak Baitul Mal. Namun demikian prosedur untuk mendapatkannya mungkin agak ketat sehingga ia dilihat oleh segelintir masyarakat menyukarkan institusi berkenaan bagi mendapatkan hak mereka. Jadi pihak Tabung Baitulmal perlu menyerahkan terus agihan bahagian tersebut terus kepada pihak yang tersebut setelah sistem kawalan dalam bagi pengurusan kewangan institusi itu dibangunkan. Saya percaya institusi berkenaan telah faham urusan yang berkaitan kerana sudah banyak kali didedah dengan kursus dan seminar yang berkaitan. Pihak Tabung hanya bertanggungjawab untuk mengaudit akaun institusi tersebut.

Apa yang saya kemukakan ini tujuannya tidak lain selain daripada menghayati surah al-’asri. Sekiranya betul harap sudi jadikan teladan. Sekiranya satu kesilapan harap jadikan sempadan’. Dan saya memohon ma’af jika terkasar bahasa dan kurang beradab dan juga memohon ma’af menggunakan saluran internet ini untuk mengemukakan pandangan sebagai lanjutan juga dari pertemuan secara interpersonal kepada pihak yang berkenaan setelah tidak ada tanda-tanda penerimaan yang positif. Melalui saluran ini sekurang-kurangya mereka yang mengharapkan saya menyampaikan kepada pihak yang berkaitan telah mengetahui saya telah menyampaikan keluhan mereka.

Shah Alam
12 May
Jam 1.30 malam

Wallahu a’lam bissawab.

Berhati-hati di jalan raya. Bagaimana pula sikap anda dgn hati anda

Sunday, May 10, 2009

Bertemu semula dgn Sheikh Ahmad Fahmi ZamZam pada 10 May
ketika beliau menyampaikan kulliah di Masjid Alfalah USJ setelah
berpisah 20 tahun yang lampau.


Hati yang dimaksudkan di sini bukanlah hati sanubari iaitu seketul daging yang berbentuk jantung yang terletak di sebelah kiri dada yang mengepam darah ke seluruh tubuh untuk membekalkan oksigen dan zat makanan kepada sel-sel. Ianya satu latifah (tenaga seni) yang bersifat rohaniah. Ia merupakan hakikat manusia yang bertanggungjawab menerima perintah Allah, menerima hukuman dan sebagainya.

Akhlak samada ianya baik atau sebaliknya adalah cermin dalaman, keadaan atau suasana yang terdapat dalam jiwa seseorang. Kalau perbuatan atau perlakuan yang muncul tersebut itu elok dan terpuji dari sudut pandangan akal dan syarak, maka keadaan atau suasana itu diistilahkan sebagai akhlak yang baik dan kalau sebaliknya yang terjadi maka ia dinamakan akhlak yang buruk. Demikian juga pegangan akidah seseorang itu samada ianya sahih atau sebaliknya bergantung kepada sifat kalbu. Dengan kata lain akidah dan akhlak tertumpu secara khusus kepada perihal kerohanian atau perihal dalaman diri manusia.

Ahli-ahli Sufi amat mengambil berat persoalan hati. Hal ini dapat difahami dari definasi tasawuf yang sekian banyak diberikan oleh ahli tasauf. Di antara definasi tersebut ialah definasi yang diberikan oleh Syeikh Abu Bakar al-Kattani iaitu “at-Tasawuf Safaa’ wa musyaahadah”. Maksudnya: Tasawuf ialah kejernihan dan musyahaadah. Yang dimaksudkan dengan kejernihan, kebersihan, keheningan, kecahayaan itu ialah kejernihan jwa dan hati.

Keadaan Hati

1. Sabda Rasulullah saw, “Ketahuilah! Bahawa di dalam badan ada seketul daging. Apabila ia baik, baiklah badan seluruhnya dan apabila ia rosak, rosaklah sekeliannya. Ketahuilah! Itulah yang dikatakan hati.” (H.R. Bukhari dan Muslim)

2. Saiyidatuna ‘Aisyah r.a. telah meriwayatkan sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud, “Manusia itu kedua matanya adalah sebagai penunjuk, kedua telinganya sebagai pemberi isyarat awas, lidahnya sebagai juru bahasa, kedua tangannya sebagai sayap, kedua kakinya sebagai posmen dan hatinya sebagai Raja. Jika Raja itu baik maka baiklah bala tenteranya.”

3. Iman Ghazali dalam huraiannya mengenai erti mendirikan solat mengatakan di antaranya ialah, “Engkau menjaga jiwa solat iaitu ikhlas dan kehadiran hati dalam segala bahagiannya. Maka janganlah engkau sujud dan ruku’ melainkan apabila hati engkau sudah bersedia melakukan khusuk, dengan apa yang dikerjakan oleh anggota zahir engkau kerana yang dikehendaki di dalam solat ialah kepatuhan hati, bukan kepatuhan anggota badan.” Dari keterangan tersebut nyata kepada kita bahawa yang utama bagi orang yang mendirikan solat ialah jiwa atau hakikat solat, bukan rangkanya atau rupa zahirnya sahaja.

Anggotanya yang zahir dan yang batin iaitu hatinya, jiwanya, perasaannya, fikirannya mestilah sama-sama mendirikannya baharulah sempurna pengertian solat yang sebenarnya.

4. Hati sentiasa menjadi rebutan di antara syaitan dan malaikat. Ibnu Mas’ud meriwayatkan bahawa Rasulullah saw telah bersabda yang maksudnya, “Di hati itu ada dua kumpulan; kumpulan Malaikat menjanjikan kebaikan dan membenarkan yang hak, siapa yang menemuinya maka ketahuilah ianya dari Allah dan bertahmidlah kepadanya; dan kumpulan musuh menjanjikan keburukan, mendustakan kebenaran dan melarang perbuatan yang baik, siapa yang menemuinya mintalah perlindungan kepada Allah dari syaitan yang direjam”.

5. Kesibukan hati itu paling banyak. Sesungguhnya ‘akal dan hawa nafsu, kedua-duanya berada di hati. Makanya hati merupakan medan peperangan diantara dua pasukan askar iaitu hawa nafsu dengan tentera-tenteranya dan ‘akal serta tentera-tenteranya. Maka hati selama-lamanya menjadi medan peperangan, pembunuhan dan pertentangan oleh kedua-dua pasukan tadi. Oleh itu wajiblah medan dan kota pertahanan di kawal, dijaga dan tidak dialpakan daripada pengawasan.

6. Perkara yang datang kepada hati itu terlalu banyak. Lintasan-lintasan hati datang bertalu-talu kepadanya seperti anak-anak panah yang sentiasa jatuh padanya dan seperti air hujan yang sentiasa menghujaninya malam dan siang, tidak putus-putus dan kita tidak mampu menghalang lintasan lintasan hati itu lalu ianya terhalang daripada mendatangi kita dan tidaklah hati itu menempati dan sama dengan mata yang berada di antara dua kelopak mata,apabila dipejamkan kita dapat beristirehat atau kita berada di tempat sunyi daripada manusia atau di malam yang gelap maka penglihatan keduanya akan terpelihara daripada ternampak yang dilarang atau seperti lidah yang ianya terletak di belakang dua dinding iaitu gigi dan dua bibir dan kita dapat menghalangnya dan mendiamkannya, sebaliknya hati adalah sasaran bagi lintasan-lintasan hati yang kita tidak berdaya menghalanginya dan memeliharanya daripada lintasan hati. Ia adalah suatu perkara yang sukar dan ujian yang amat besar yang kita terpaksa berada dalam kepayahan belaka.

Memandangkan hebatnya pengaruh kalbu atau hati itu dan supaya ianya sentiasa dalam keadaan bersih dari sifat sifat yang tercela maka disinilah peranannya Ilmu Tasawuf.

Menurut Imam al-Ghazali Tasawuf adalah ilmu yang dapat menimbulkan perasaan takut/khawuf kepada Allah swt, melihat kelemahan dan keaifan diri sendiri, meningkatkan makrifat/pengenalan dan ibadat kita kepada Allah swt, mengurangkan kegemaran terhadap dunia dan menyemarakkan kecintaan terhadap akhirat, membukakan mata hati tentang amal-amal yang boleh membinasakannya dan ilmu yang dapat mengenal pasti tipu daya syaitan dan perdayaannya. Tanpa ilmu tasawuf dibimbangi kematiannya berakhir dengan suul-khatimah.

Sementara Abul Hasan as-Syazali melahirkan pula kebimbangannya kepada mereka yang tidak mempelajari ilmu tasawuf mati dalam keadaan berdosa besar tanpa pengetahuan mereka. Makanya Ibn ‘Atta’illah al-Iskandari menyarankan kepada mereka yang hendak mencapai kemenangan di dunia dan di akhirat jangan jemu-jemu mempelajari ilmu tasawuf sepanjang hayatnya sekalipun dia telah mengetahuinya dan menguasainya, apatah lagi bagi mereka yang sebaliknya yang hanya mengetahui sedikit sahaja daripadanya

Kritikan terhadap tasawuf dan sejarah perkembangannya

Menyuruti perkembangan tasawuf berbagai-bagai sikap yang kita temui. Ada yang mencelanya dan menganggap ajarannya tidak benar, bida’ah, bukan dari ajaran Islam kerana perkataan tasawuf tidak terdapat dalam al-Quran. Ia disadur dari ajaran Kristian, Budha, Hindu, Yahudi. Malah ia boleh melemahkan semangat orang Islam dalam mencapai kemajuan. Makanya terdapatlah kitab-kitab yang dihasilkan khusus untuk menyenggahnya.

Ustaz Mustafa Muhammd al-Jayasy al-ahmady menyimpulkan ada tiga kumpulan manusia dengan masing-masing pendirian mereka terhadap ilmu tasawuf itu. Kumpulan

Pertama: Memandang ilmu tasawuf itu dengan hati yang kosong yakni tidak menaruh apa-apa perasaan terhadap ilmu tasawuf samada berupa ingin atau berupa bencinya terhadap ilmu tasawuf malah dari mencelanya adalah jauh sekali.

Kedua: Ada keinginan untuk mengetahui ilmu tasawuf tetapi ianya tidak diteruskan.

Ketiga: Memandang ilmu tasawuf itu dengan sikap “alhikdu ‘alattasawuf” iaitu penyakit dendam, memandang curang dan sakit hati terhadap ilmu tasawuf.

Pendapat yang Pro terhadap ilmu tasawuf

Ketiadaan istilah tasawuf pada zaman Rasulullah saw tidak bererti amalan tasawuf itu tidak wujud. Tidak adanya istilah tersebut kerana telah ada istilah atau gelaran yang paling tinggi pada zaman tersebut seperti gelaran Sahabah dan gelaran Tabii’n. Demikian juga pada era zaman sahabat, kaum muslimin serta pengikut-pengikutnya mereka belajar dan mengajar Islam secara menyeluruh. Tiada satu pun dari ajaran Islam yang tidak di pelajari dan dipraktikkan, baik yang lahir maupun yang batin, urusan dunia maupun urusan akhirat; seperti yang diungkapkan oleh para fuqahak “Kemaslahatan (kepentingan) manusia dalam kehidupan dunia dan akhirat. Mereka juga mengambil berat masalah peribadi maupun masalah kemasyarakatan, bahkan masalah yang ada hubungannya dengan penggunaan akal, perkembangan jiwa dan jasmani. Pendek kata roh, makna dan kandungan ajaran tasawuf telah lahir seiring dengan kelahiran agama Islam. Hal ini pernah ditegaskan oleh Syeikh Abu Hussain al-Busanji(348) dengan katanya yang bermaksud, “Tasawuf pada hari ini (zaman kehidupan Syeikh Abu Hausain al-Busanji) ada namanya, tidak ada pada hakikatnya, pada hal zaman sebelumnya Nabi, para sahabat, tabie’n dan tabi’e al-tabi’en), ada hakikatnya tidak ada namanya. Demikian juga tidak wujudnya istilah tasawuf di zaman
Rasulullah saw lalu dengan mudah menghukumkannya bid’ah, adalah satu fenomena yang sangat malang bagi umat Islam menurut pendapat Dr. Othman bin Nafiah.

Oleh yang demikian, ada baiknya jika kita imbas semula beberapa perkembangan yang melibatkan persoalan ini. Antaranya Ilmu Tauhid sebagai satu ilmu pengetahuan yang teratur di samping mempunyai kaedah yang tertentu seperti yang terdapat sekarang ini, sebenarnya tidak wujud pada zaman Rasulullah saw. Disiplin ilmu ini hanya tersebar luas kepada pengetahuan umum dalam bentuk yang tersusun pada kurun yang ketiga dan keempat hijrah dengan kemunculan Syeikh Abu Hasan al-Asy’ari (260-330). Begitu juga tentang ilmu fekah, walaupun Rasulullah saw tidak terlibat dalam hal ini tetapi isi daripadanya telah pun diajar oleh Rasulullah saw kepada masyarakat pada zaman tersebut.

Sedangkan disiplin ilmu ini mula disusun pada abad pertama Hijrah oleh Imam-imam mujtahid seperti Imam Abu Hanifah (80-150H), Imam Malik (93-179H), Imam Syafi’e ( 150-204H) dan Imam Ahmad bin Hambal (164-241 H).

Perubahan dan perkembangan umat manusia menyebabkan semua hal di atas terjadi. Maka ianya memerlukan pengawasan yang rapi daripada berbagai-bagai aspek ilmu agar amalan tersebut tidak terkeluar daripada lingkungan yang telah ditetapkan oleh syari’ah itu sendiri. Keharusan untuk berbuat demikian telah dinyatakan oleh Rasulullah saw dengan sabdanya yang bermaksud, “Kamu lebih mengetahui urusan dunia kamu.” Ajaran ajaran tasawuf yang terdapat dalam al-Quran akan dihuraikan kemudian.

Amalan tasawwuf dalam kehidupan Rasulullah saw.

Kemudian kalau ditinjau dari segi realiti kehidupan Rasulullah saw ajaran tasawuf itu telah menjadi budaya hidup baginda. Sebagai contohnya, sifat:

a- Zudud.

Bagi Rasulullah saw kekayaan yang sebenarnya bukanlah kekayaan pada harta benda melainkan kekayaan kerohanian pada hal baginda berhak memilikinya sebagai Ketua Negara dan sahabat-sahabat baginda tidak mempertikainya kerana ianya adalah hak baginda yang sah tetapi baginda tetap dengan sifat zuhud baginda.

b- Hidup sederhana

Dalam kehidupan seharian baginda, tercermin sifat kesederhanaan baginda samada dari segi perumahan, pakaian, makan minum baginda. Baginda tidur di atas tikar kasar sehingga berbekas pada bahagian pinggang dan belakang. Pernah seorang sahabat terharu melihat kesederhanaan baginda bila baginda memakai kasut diperbuat dari kulit berisi sabut dengan menawarkan kepada baginda kasut yang empuk tetapi ditolak oleh baginda dengan berkata, “Apalah ertinya bagiku kehidupan dunia ini. Bagiku kehidupan di dunia ini ibarat seorang penunggang yang berteduh sejenak di bawah pohon, kemudian pergi meninggalkannya”.

Begitu juga pakaian baginda begitu sederhana sekali dimana ‘Aisyah r.a. pernah memperlihatkan sehelai pakaian baginda yang kasar yang dipakai oleh baginda pada detik-detik hayat baginda yang terakhir. Dari segi makan minum, baginda banyak berpuasa dan tidak makan kecuali apabila lapar dan kalaupun makan, makannya tidaklah sampai kenyang.

c-Bekerja kuat

Hidup sederhana yang ditunjukkan oleh baginda bukan kerana sifat malas. Baginda menyuruh bekerja kuat untuk memenuhi keperluan hidup dan kelebihan rezeki yang diperolehi dari titik peluh sendiri untuk kepentingan infak di jalan Allah. Baginda pernah menegaskan, “Bekerjalah untuk duniamu, seolah-olah engkau akan hidup selama-lamanya dan bekerjalah untuk akhiratmu seakan-akan engkau mati esok hari.”

Dalam bidang kemasyarakatan dan amal sosial, baginda terkenal dengan sifat baginda yang amat pemurah dan mengambil berat nasib anak-anak yatim piatu, golongan yang lemah dan sebagainya.

Amalan tasawwuf dalam kehidupan para sahabat.

Demikian juga pada peribadi para sahabat terserlah hakikat ajaran tasawwuf seperti prihal kehidupan saidina Abu Bakar ra. Sekalipun beliau menduduki tempat yang paling terhormat dalam pemerintahan namun sifat-sfat rohani yang mulia itu tidak berubah bahkan beliau selalu mengharapkan teguran dari orang banyak. Di antara kezuhudan Saidina Abu Bakar ra ialah dari segi infak fisabillah di mana beliau menyerahkan segala harta bendanya untuk sabilillah. Lalu beliau ditegur oleh Rasulullah saw tetapi beliau menjawab, “Cukuplah bagiku Allah dan Rasulnya”. Demikian juga sifat tawadhuk beliau cukup jelas ketika beliau menghantar panglima perangnya Usamah ke perbatasan kota. Usamah berkenderaan, manakala Khalifah Saidina Abu Bakar berjalan kaki. Ketika dipelawa oleh Usamah supaya naik bersama-sama diatas kenderaan, lalu jawab Saidina Abu Bakar, “Biarkanlah telapak kakiku berdebu sejenak di jalan Allah”.

Demikian juga Khalifah Umar ibnu Khattab, sebagai ketua negara tentulah mudah baginya untuk menjadi orang yang kaya raya jika beliau mahu mengambil kesempatan dari kedudukannya itu. Namun demikian pengaruh dunia itu disingkirkannya dengan menempatkan takwa diatas segala-galanya. Menurut satu riwayat seorang Raja Eropah menghantar petugasnya untuk melihat lebih dekat lagi kehidupan Khalifah Umar Ibnul Khattab. Petugas itu cuba mencari-cari Astana Khalifah Umar Ibul Khattab dengan sangkaan tentulah Astananya hebat dan mewah seperti Astana Raja Raja Eropah. Sangkaan itu meleset bahkan dia terharu bertemu dengan Khalifah di luar kota, tidur dibawah pohon berbantalkan tangan tanpa pengawal yang mendampinginya. Khalifah tidak tidur lena kerana hatinya amat empati dengan kesusahan rakyatnya. Khalifah selalu mendekati rakyatnya untuk meninjau dan mengetahui lebih dekat lagi nasib rakyat dengan menyamar seperti orang biasa. Dari segi berpakaian dan makan minumnya amat sederhana. Selalu bermuraqabah dan mengisab diri kalau-kalau terdapat tanda-tanda nifak dan kealpaan pada diri Khalifah makanya Khalifah selalu menemui sahabat-sahabatnya yang lain di antaranya ialah Salman al-Farisi minta ditunjukkan kealpaan dan kesalahannya. Jika sahabat-sahabat merasa keberatan untuk menunjukinya, dia mendesak juga agar diberitahu dimana kealpaan dan kelemahannya jika ada.

Sepeninggalan Umar Ibnul Khattab, Uthman bin Affan dilantik sebagai Khalifah. Sifat dermawannya Khalifah Uthman r.a terserlah ketika mana Nabi Muhammad saw hendak memerangi Rumawidi Tabuk, keadaan ekonomi umat Islam amatlah lemah disebabkan musim panas yang panjang. Pada sa’at susah itulah, Saidina Uthman memperlihatkan kemurahan hatinya dengan menginfakkan 1000 ekor unta, 70 ekor kuda dan wang 10.0000 dirham. Di Madinah ada sebuah perigi yang namanya Telaga Roman, milik seorang Yahudi dimana airnya baik untuk diminum. Yahudi menjual airnya dengan harga yang cukup mahal. Ianya menyusahkan kaum muslimin di mana mereka tidak mampu membelinya. Kerana empatinya Khalifah terhadap nasib rakyatnya,lalu perigi itu dibelinya dan diwakafkannya kepada kaum muslimin. Maka kesulitan kaum muslimin dalam mendapatkan air dapat diatasi.

Khalifah Saidina Ali bin Abi Thalib tidak kurang kezuhudannya kalau dibanding dengan sahabat-sahabatnya yang lain. Beliau terkenal dengan sifat berani, pengasih, pema’af dan pemurah. Musuh politiknya mudah dima’afkannya. Akhlak dan budi pekertinya yang tinggi itu kerana terpengaruh dengan akhlak Rasulullah saw selain daripada hubungan darah dan perjuangan.

Gelaran Sufi

Gelaran Sufi atau al-sufiah timbul pada kurun yang kedua Hijrah bila mana orang Islam sudah ada yang lupa daratan, hidup bermewah-mewah dan berfoya-foya, bongkak dan takabur samada yang dilakukan oleh pemimpin-pemimpin mereka maupun rakyat biasa. Lebih terserlah lagi kehidupan keduniaan dan kebendaan bilamana kekuasaan sudah pindah ke tangan Yazid bin Mua’wiyah dan tersebar luasnya Kerajaan Islam pada zaman Khalifah Bani Ummaiyah dan di zaman Bani ‘Abas di Baghdad pada tahun 132H yang berturut-turut dipegang oleh Khalifah-Khalifah Abu Abas as-sifah, Abu Ja’afar al-Mansur, al-Mahdi,al-Hadi, Harun ar-rasyhid, al-amin dan almakmun. Akibat dari kemewahan tersebut ramai umat Islam yang meninggalkan solat, tidak lagi membaca al-Quran, sudah kurang yang beristighfar.

Sebagai reaksi dari keadaan tersebut, lahirlah segolongan umat Islam yang salih yang tidak mengejar dunia dan keduniaan kembali kepada kehidupan yang diwarisi dari zaman Nabi dan zaman para sahabat. Mereka kembali ke Masjid tekun beribadat, memperbanyakkan solat, zikir, tasbih dan doa. Pakaian mereka sederhana, makanan mereka pun sederhana. Makanya timbullah gelaran gelaran al-‘Ubbad, al-Nussak, al-Zuhhad, al-Qurra, albaka’in dan akhirnya lahirlah gelaran al-Sufi atau al-Sufiah. Gelaran terakhir ini menjadi popular dan diterima oleh umum sehinggalah menjadi satu istilah yang menggambarkan perjalanan hidup mereka yang berusaha untuk meneruskan perjalanan hidup Rasulullah saw dan para Sahabat.

Ajaran ajaran tasawuf yang terdapat dalam al-Quran

a-Mujahadah an-Nafs

Dalam istilah tasawuf mujahadah bererti: berjuang bersungguh-sungguh untuk melawan hawa nafsu yang ada dalam diri masing-masing, mengekang dan membawanya ke jalan yang benar. Nafsu ada tiga jenis iaitu:

1. Nafsu ammarah iaitu nafsu yang menarik kepada perbuatan maksiat sekalipun dia telah bertaubat tetapi mengualanginya semula. Orang yang dikuasai oleh nafsu ammarah dikhuwatiri mati dalam suulkhaatimah.

2. Nafsu lauwaamah iaitu nafsu yang terselamat dari dosa besar tetapi sebagai manusia biasa dia masih berhadapan dengan dosa-dosa kecil yang tidak dapat dielakkan, namun demikian dia segera merasa kesal serta mencelanya dan berazam tidak terlibat lagi. Allah menjanjikan orang yang yang kebaikannya lebih banyak dari kejahatannya dengan janji yang baik. Firman Allah “Mereka yang telah menjauhi dosa-dosa besar dan perbuatan yang keji kecuali kesalahan-kesalahan kecil, sesungguhnya Tuhanmu amat laus pengampunannya”(An-Najm:32)

3. Nafsu mutmainnah (nafsu yang tenteram) iaitu nafsu yang berada dalam keadaan tenang dan tenteram, terselamat dari godaan nafsu. Nafsu mutmainnah tidak loba, rakus atau tamak, merasa cukup apa yang ada. Berlawananan dengan nafsu ammarah, yang tamak, loba dan rakus, mahu melakukan perkara yang keji, tenggelam dalam dosa. Ketiga -tiga jenis nafsu tersebut ada diterangkan dalam al-Quran seperti berikut:

1. Dalil Nafsu Ammaarah. Firman Allah, “Dan aku tidak membebaskan diriku (dari kesalahan) kerana sesungguhnya nafsu itu selalu menyuruh kepada kejahatan, kecuali nafsu yang diberi rahmat oleh Tuhanku. Sesungguhnya Tuhanku Maha Pengampun lagi Maha Penyayang” (S:Yusuf:12:53 )

2. Dalil nafsu Lauwaamah. Firman Allah, “Dan aku bersumpah dengan jiwa yang amat menyesali (dirinya sendiri)” (S:al- Qiyaamah:75:2)

3. Dalil nafsu mutmainnah. Firman Allah, “Hai jiwa yang tenang. Kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang puas lagi diridhai-Nya. Kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang puas lagi diredhainya. Maka masuklah ke dalam jama’ah hamba-hamba ku dan masuklah ke dalam Syurgaku” (S:al-Fajr:89:27-30)

Sifat nafsu ammarah.

Sifat nafsu ammarah yang membawa kepada dosa hati dan menjadi penyakit hati yang ada dalam diri manusia itu erat sekali hubungannya dengan sifat-sifat hati. Sifat-sifat hati seperti berikut:

1. Sifat rububiah iaitu sifat ketuhanan yang hanya layak dimiliki oleh Allah swt sahaja seperti sifat takabur, cinta kepada pujian dan sanjungan, cinta kepada kekuasaan dan minta ditinggikan dari segala yang lain, sehingga seolah-olah dia mengatakan: Akulah Tuhan yang Maha Tinggi.

2 Sifat syaithaniah atau sifat kesyaithanan yamg daripadanya muncul sifat dengki,inaya, tipu helah, mendorong membuat kerosakan, mengelirukan, nifak, mengajak orang membuat perkara-perkara yang bid’ah, sesat dan sebagainya.

3. Sifat Bahimiah iaitu sifat kebinatangan seperti tamak haloba, bersangatan dalam makan minum, berzina, mencuri, memakan harta anak yatim dan sebagainya.

4. Sifat Subi’yah iaitu sifat kebuasan yang daripadanya timbul sifat marah, iri hati, memaki hamun, membunuh, memusnahkan harta benda dan sebagainya.

5. Sifat ‘Abid iaitu sifat kehambaan seperti sifat penakut, menghina diri dan sebagainya.

Nafsu sukar dihadapi

Perjuangan melawan nafsu amat sukar dan payah sekali. Ia dianggap perjuangan yang paling berat. Lebih berat daripada peperangan menghadapi musuh di medan peperangan. Hal ini terbukti sekali dalam sabda Rasulullah saw ketika mengalu-galu sekumpulan kaum Muslimin yang pulang dari berjihad dengan sabda baginda yang bermaksud, “Aku ucapkan selamat kepada kamu. Kamu kembali dari jihad yang kecil untuk menghadapi jihad yang lebih besar”. Kemudian apabila ditanya tentang jihad yang lebih besar baginda menjawab “Jihadun nafs” Maksudnya “Jihad menentang nafsu”. Sabda Rasulullah saw lagi “Musuh mu yang paling ketat terletak diantara dua rusuk mu (nafsu yang terletak dalam badan kita).

Kata-kata ulamak yang berikut turut membuktikan betapa hebat dan payahnya menghadapi musuh yang di namakan Nafsu itu:

1. Imam al-Ghazali, “Hati-hati kamu dari hawa nafsu. Ia adalah musuh yang paling jahat dan paling sukar mengalahkannya. Rawatannya paling payah menyembuh, penyakitnya penyakit yang paling sukar dirawat dan ubatnya paling rumit. Oleh sebab itu kita wajib berwaspada daripadanya. Betapa tidak, sebab ia berada dalam diri kita, dalam tubuh kita. Musuh dari dalam, bukan seperti Syaitan, dia adalah musuh dari luar. Dan ingatlah si pencuri apabila telah berada di dalam rumah sukar untuk menghalaunya dan besar bahayanya. Benarlah kata orang “Nafsu mengajak kepada perkara yang mencederakan daku, ia memperbanyakkan penyakit dan kesakitanku. Bagaimanakah helahku untuk melepaskan diri daripada seorang seteru apabila seteruku telah berkubu di antara celah-celah tulang rusukku membuat huru hara. Selain daripada itu, nafsu itu adalah musuh yang dicintai, sedangkan manusia buta daripada keaiban kekasihnya, hampir dia tidak nampak ke’aibannya sebagaimana yang telah dikatakan oleh hukamak, “Dan anda tidak akan nampak keaiban orang yang anda cintai dan pada orang yang menjadi saudara anda, dan anda tidak nampak sedikitpun beberapa keaiban yang berada pada dirinya apabila anda telah menjadi seorang yang redha.

Dan mata yang redha, rabun untuk melihat semua keaiban tetapi mata yang benci menampakkan segala keburukan.Sesungguhnya nafsu sangat bahaya. Andainya di sana tiada dunia, tiada makhluk dan tiada syaitan sekalipun, sememangnya hawa nafsu dengan keangkuhan takburnya dan hasad dengkinya tetap melakukan dengan apa yang telah dilakukan terhadap Iblis hingga menjadi kafir lantaran enggan ta’at perintah Allah disebabkan dorongan nafsu takabur dan hasad. Lihatlah dosa Nabi Adam dan isterinya Hawa. Hawa nafsu telah mencampakkan kedua-duanya ke dalam perbuatan yang dilarangkan dengan memakan buah larangan Allah.Begitu juga cerita pembunuhan di antara Qabil dan Habil, berlaku adalah kerana nafsu hasad dengki. Begitu juga cerita Harut dan Marut, berlakunya noda kerana dorongan nafsu syahwat.

2. Kata Sufian ath-Thauri, “Tiada sesuatu yang aku rawati lebih sukar daripada nafsuku sendiri; satu ketika aku mengalahkannya dan ketika yang lain ia mengalahkan aku.”

3. Kata al-Hasan al-Basri “Tiada binatang tunggangan yang lebih memerlukan kepada tali kekang selain daripada nafsumu”

4. Yahya bin Mu’az ar-Razi pula berkata, “Berjihadlah menentang nafsumu dengan bersenjatakan riadhah empat perkara: Makanan yang sedikit, tidur yang sedikit, bercakap ketika perlu dan bersabar menanggung derita. Makanan yang sedikit mematikan syahwat, tidur yang sedikit menyelamatkan diri dari bencana dan sabar menanggung derita menyampaikan tujuan”.

5. Yahya bin Mu’az berkata lagi, “Musuh manusia ada tiga: Dunianya, Syaitannya dan nafsunya. Berjaga-jagalah dari dunia dengan mengamalkan zuhud dan dari Syaitan dengan menentang godaannya dan dari nafsu dengan meninggalkan syahwat”

Cara melawan hawa nafsu:

1. Mujahadah nafs seperti menyedikitkan makan, minum sebagaimana sabda Rasul, “Jangan kamu tumpaskan kepekaan hati dengan banyak makan dan minum. Sebab hati itu laksana tanaman. Ia boleh mati kalau digenangi air secara berlebihan.” Kenyang berlebihan akal menjadi malap, banyak mengantuk, syahwat berkubar, perangai bongkak dan malas beribadah. Rasul menggariskan kaedah pemakanan dengan sabdanya, “Sepertiga untuk makanan, sepertiga untuk minuman dan sepertiga lagi untuk nafas”. Kurangkan tidur, bercakap sekadar perlu dan sabar menanggung gangguan orang lain.

Mujahadah ialah melawan godaan hawa nafsu iaitu belajar mengasuh diri sendiri dengan cara beransur-ansur supaya kita dapat menguasainya. Dan hendaklah kita ketahui dan faham bahawa nafsu adalah tali barut syaitan. Oleh itu adalah menjadi kewajipan kita belajar mengenal dan mengecamnya bahawa nafsu kita sekarang adakah dia sedang dihasut oleh syaitan atau tidak. Dan inilah yang penting dan perlu sekali kita mengenalinya, kemudian hendaklah kita mujahadahkan ia dan kita lawan ia sebagaimana firman Allah, “Mereka yang bermujahadah pada jalan Kami nescaya kami beri petunjuk kepada mereka jalan jalan kami” (al-Angkabut:29:69)

Contoh-contoh mujahadah:

Misalnya, menurut kebiasaannya nafsu kita suka kepada makanan yang sedap dan lazat makanya kita makan sekenyang-kenyangnya hingga menyebabkan malas hendak beribadat. Cara mengatasinya ialah kita mujahadahkan ia dan kita lawan ia dengan kita makan jangan sampai melampaui batas yang menyebabkan keberatan hendak beribadah. Dan satu contoh mujahadah lagi, menurut kebiasaannya nafsu kita malas hendak bangun beribadat di tengah-tengah malam tetapi kalau hadir di majlis majlis perbualan maka sepuluh jam tidak memberi apa-apa kesan malah dirasa sekejap jua. Jika berlaku demikian maka hendaklah kita ajarkan nafsu kita dan kita cuba paksakan ia supaya bangun di tengah-tengah malam mengikut jadualnya untuk menunaikan ibadat. Dengan kata lain kita kena tahan nafsu syahwat kerana binatang yang degil akan menjadi lembut dan lemah apabila dikurangkan makanannya.

2. Bebankan nafsu itu dengan banyak melakukan ibadat kerana bahawasanya binatang Himar apabila ditambah pada muatan pikulannya serta dikurangkan makanannya nescaya ia akan tunduk dan menurut perintah tuannya. Dengan kata lain perbanyakkan ibadah solat sehinggalah ke akhir hayat. Firman Allah, “Dan sembahlah Tuhanmu sampai datang kepadamu yang diyakini (ajal)” (S:al-Hijr:15:99). Firman Allah lagi, “Dan dirikanlah solat. Sesungguhnya solat itu mencegah dari perbuatan perbuatan keji dan mungkar”.(S: al-Angkabut:29:45)

3. Dengan berzikir. Menurut ahli sufi amalan zikrullah jalan yang paling dekat untuk sampai kepada Allah swt. Sebab itulah apabila Saidina ‘Ali bin Abi Talib memohon kepada Nabi Muhammad saw supaya baginda mengajarkan amalan khusus yang cepat sampai kepada Allah swt, maka Nabi Muhammad saw menjawab dengan sabdanya yang bermaksud, “Wajiblah ke atas kamu sentiasa berzikrullah di tempat-tempat yang sunyi”. Malahan ada di antara tokoh sufi meletakkannya sebagai salah satu rukun dalam amalan tasawuf sebagaiman ditegaskan oleh Syeikh Abu ‘Aliu al-Daqaq yang antara lain katanya, “Zikrullah adalah merupakan satu rukun yang penting pada jalan Allah, bahkan ia merupakan asas yang sangat kuat dipegang di jalan Allah itu, seseorang tidak akan sampai kepada Allah dan keredhaannya kecuali dengan sentiasa berzikrullah.”

Zikrullah yang mampu mengikis hati yang berkarat menjadi suci dan bersih secara automatik laksana api dapat meleburkan sisa-sia tembaga yang bercampur aduk dalam cecair emas hingga menjadikan ia emas bermutu, ialah dari zikir ghaflah (hati lalai mengingati Allah swt ketika berzikir) kepada zikir yaaqazah (ketika berzikir hati telah sedar,bangun terhadap Allah swt) kepada zikir hudhur (hati sentiasa hadir dengan Allah swt semasa berzikir dan akhirnya akan meningkat kepada zikir al-ghaybah (yang lain daripada Allah akan lenyap dari hati dan yang ada hanya Allah swt di dalam hati)

4. Taubikh atau mu’aatabah iaitu berdailog mutmainnah dengan diri sendiri yang memiliki nafsu ammarah. Maksudnya ialah diri mengajari diri. Sebagai contohnya ialah seandainya nafsu kita ingin mencari pangkat dan kedudukan, mengumpul harta duniawi sebanyak-banyaknya, kepadanya hendaklah kita katakan, “Hai nafsuku! Tidak kah engkau tahu bahawa Firaun yang gagah dan sampai mendakwakan dirinya menjadi Tuhan, ditenggelamkan Allah. Tidakkah engkau tahu bahawa Qarun yang kaya raya sampai ditelan oleh bumi. Tidak kah engkau tahu Hitler seorang diktator dalam perang yang kedua yang sangat berkuasa akhirnya mati juga. Apalah gunanya pujian, apalah gunanya sanjungan. Tidak ada faedahnya dan gunanya di alam akhirat nanti. Oleh kerana itu kembalilah kamu hai nafsu ammarah, ke jalan yang benar, jalan yang diredhai Allah, supaya kamu selamat di akhirat nanti.

5. Memohon pertolongan daripada Allah swt dan merendah diri (berdoa) kepadanya agar terselamat dan dapat melepaskan diri daripada godaan nafsu durjana sebagaimana ucapan Nabi Yusuf yang difirmankan oleh Allah swt yang bermaksud, “Sesungguhnya nafsu itu amat menyuruh dengan kejahatan melainkan orang yang diberi rahmat oleh Tuhanku (maka terselamatlah dia dari runtunan nafsu jahat).